Ahad, 27 Oktober 2013

TUBUH HANYA PINJAMAN

Cara berpakaian kena ikut disiplin ditetap Tuhan

"Eleh, inikan tubuh saya, suka hati sayalah nak buat apa!” jerit seorang wanita muda yang marah apabila muncul isu kebebasan berpakaian kerana pada hematnya, hak asasi manusia (HAM) yang kini diperjuangkan pihak tertentu adalah hak mutlak semua orang. 

Adakah Islam memberikan umatnya hak kebebasan berpakaian mengikut cita rasa masing-masing, tidak kiralah sama ada ia memperlihatkan susuk tubuh dan warna kulit di bawah pakaian, bertudung jarang sehingga kelihatan rambut, telinga dan terbuka dada, berseluar ketat dan baju lengan pendek? 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan al-Hakim: “Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kita), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah mewajibkan beberapa kewajipan dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya.”

Adakah apa saja yang cantik menurut selera walaupun seksi dibenarkan atas dasar ia hak peribadi. Hak kebebasan yang dijamin Perlembagaan dan tidak boleh dicampuri urusan orang lain?

Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID), Dr Zaharuddin Abdul Rahman, berkata jawapan kepada pihak berkenaan ialah tubuh ini adalah pinjaman saja dan bukan hak milik kita. Justeru, ia mesti digayakan menurut kehendak pemiliknya iaitu Allah SWT. 

Bebas pilih pakaian tutup aurat

“Islam memang memberi kebebasan dalam pakaian tetapi tidak terbuka begitu saja, ia terikat dengan hak dan ketetapan ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya memilih pakaian tertakluk kepada disiplin ditentukan Allah dan Rasul-Nya,” katanya. 
Katanya, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah SWT, Rasul-Nya, hari kematian dan balasannya, mereka tidak boleh melanggar hak Allah SWT itu dan mencabuli hak manusia yang turut terkesan dengan tindakan pihak lain.

Dr Zaharuddin berkata, hak Allah SWT lebih utama daripada hak peribadi dan mana logiknya setelah Allah SWT memberikan segala-galanya kepada manusia, mereka tiba-tiba ingin diberikan kebebasan mengikut suka hati.

Pada masa sama katanya, mementingkan diri sendiri termasuk dalam berpakaian turut mencabuli hak manusia lain khususnya mereka yang cuba menjaga iman serta mata daripada melihat perkara mendatangkan dosa.

Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan al-Hakim: “Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kita), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah mewajibkan beberapa kewajipan dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya.” 

“Sebab itu apabila ada yang bertegas dengan pendirian hak asasi manusia mereka, jawapan saya, jika nak seksi nampak pusat, seluar dalam, coli dan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan, sila berpindah dari planet bumi,” katanya.

Kebebasan berpakaian sekadar satu contoh merujuk kepada sikap sesetengah masyarakat khususnya wanita Islam yang cuba mewajarkan keengganan mereka mematuhi perintah Allah SWT dan tidak menghormati adab sopan orang Melayu.

Kini negara turut berdepan pelbagai tuntutan pihak-pihak yang merasakan mereka memiliki hak mutlak untuk melakukan apa saja yang disukai sementara orang lain tidak ada kuasa menghalangnya dengan apa cara sekali pun termasuk undang-undang.

Semua itu atas alasan hak asasi manusia yang dibangga-banggakan sebagai hak sepatutnya diberikan kepada yang bergelar manusia. Antaranya, memaksa kerajaan mengiktiraf kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang perlakuannya memang menyalahi ajaran agama.

Keangkuhan manusia

Keangkuhan manusia terhadap hak asasi manusia juga memperlihatkan menularnya sikap ‘kurang ajar’ serta tidak menghormati orang lain apabila sesuka hati mengkritik menggunakan perkataan kasar dan menyakitkan hati.

Mengingatkan umat Islam supaya tidak terjebak dalam perkara yang boleh mendapat kemurkaan Allah SWT, Dr Zaharuddin menasihatkan umat Islam supaya memahami hakikat sebagai hamba Allah SWT mereka sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain.

Katanya, hak Allah SWT adalah hak utama atau yang tertinggi dan sama ada suka atau tidak sesuatu hukum yang ‘putus’ seperti larangan zina, riba, tinggal solat, menutup aurat, ia tidak berubah mengikut peredaran zaman. 

“Sebarang idea dan logik akal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal. Hak kedua ialah hak Nabi Muhammad SAW secara peribadi seperti berselawat ke atas baginda SAW apabila mendengar nama baginda disebut.

“Ketiga adalah hak pemerintah yang adil dengan cara mentaati mereka selagi mana tidak dibawa kepada kebinasaan. Sebarang penyalahgunaan hak oleh kumpulan ini, wajib dicanggahi. Sementara hak keempat dan seterusnya hak orang ramai,” katanya.

Justeru, dalam sesetengah kita berkeras untuk mewajarkan tindakan bagi memenuhi kehendak diri atas nama kebebasan hak asasi manusia, perlu diingat orang lain juga seperti kita yang mempunyai hak mereka yang perlu diberikan.

Bayangkan apabila semua menuntut orang lain memenuhi hak mereka, pasti akan berlaku kekacauan kerana bukan semua bersedia mengiktiraf keperluan orang lain khususnya jika jelas bertentangan dengan syariat agama.

Selain memastikan hak Allah SWT dipelihara dengan baik, menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara hak setiap makhluk di dunia supaya dapat hidup dalam suasana aman tenteram serta saling menghormati kepentingan orang lain...

Tiada ulasan: