Jumaat, 18 Oktober 2013

Elak perkara boleh memecahkan ummah

Abu Zar atau nama sebenarnya Jundub bin Junadah berkata, “Saya bertanya: Wahai utusan Allah, amalan mana yang lebih banyak kebaikannya? Nabi Muhammad bersabda: Beriman kepada Allah dan berjihad bagi mempertahankan agama Allah. Saya bertanya lagi: Orang suruhan yang bagaimana yang lebih baik dimerdekakan? Baginda berkata: Yang dipandang elok tuannya serta mahal sekali harganya. 

Saya bertanya lagi: Jika saya tidak berupaya melakukan kedua-duanya, sama ada berjihad mempertahankan agama Allah atau memerdekakan orang suruhan yang paling mahal harganya, apa pula yang dapat saya buat? Baginda berkata: Hulurkanlah bantuan kepada seseorang pekerja atau ambillah kerja orang yang kurang mahir melakukannya. 

Saya bertanya lagi: Tetapi bukankah tuan tahu berkenaan kelemahan saya dalam kerja tertentu? Kata baginda: Jagalah keburukan diri kamu supaya tidak terkena kepada orang lain. Ia adalah sedekah daripada kamu untuk dirimu sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Banyak jalan lakukan pahala 

Sebenarnya banyak jalan-jalan kebaikan terbuka di depan untuk kita ambil peluang melakukannya seterusnya mendapat pahala daripada-Nya. Justeru, lakukanlah perkara yang baik dan termampu kerana itulah sumbangan kita kepada diri serta mereka yang ada di sekeliling. 

Namun, apa yang menyedihkan, peluang itu dipandang sepi sebaliknya ramai antara kita berlumba-lumba melakukan perkara yang dicegah agama hingga menjurus kepada perbalahan serta perpecahan sesama umat Islam. 

Lihat saja komen yang ditulis di laman sosial atau portal berita yang menggunakan bahasa kasar. Semua itu menjadi punca cacian, keji mengeji dan kutuk mengutuk. Sebaiknya, jika tidak bersetuju, katakan pandangan dengan baik. 
Jika dirasakan perbahasan itu hanya akan menyebabkan mendapat kemurkaan Allah SWT, lebih baik berdiam diri. Mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati amat ditegah, apa lagi melabel orang lain dengan gelaran menjatuhkan air mukanya...

Tiada ulasan: