Ahad, 30 Jun 2013

SEMBAHYANG TANDA SYUKUR

 

solat_jamaah
Sembahyang lima waktu yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan penghulu bagi segala anbia yang juga merupakan nabi dan rasul akhir zaman pada hakikatnya mempunyai nilai yang cukup tinggi kerana proses penerimaan perintah sembahyang oleh Rasulullah itu sendiri bukannya satu kerja mudah.
Berbanding dengan nabi-nabi lain yang mula melakukan sembahyang atas beberapa faktor, tetapi ibadat sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW diterima perintah oleh baginda secara terus dari Allah dengan baginda dibawa ke Sidratul Muntaha yang letaknya melepasi lapisan langit ketujuh. Sidratul Muntaha itu sendiri adalah tempat yang tidak boleh didatangi oleh manusia lain, kecuali Nabi Muhammad, malah para malaikat juga tidak boleh ke sana.
Pemergian baginda SAW pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan baginda (yakni dalam tahun 622 Masihi) dinamakan Israk Mikraj yang mana selain daripada menerima perintah kewajipan sembahyang, baginda juga berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul, malah berkesempatan beramah mesra. Rasulullah juga dipertontonkan dengan manusia yang menanggung seksa kerana memusuhi Allah dan Rasul-Nya serta mereka yang menikmati nikmat kerana bertakwa kepada Allah. Pada mulanya sembahyang yang diperintahkan adalah sebanyak 50 waktu.
Macam mana pun atas cadangan dan desakan Nabi Musa a.s. yang menyebabkan Rasulullah SAW berulang alik naik turun Sidratul Muntaha, maka jumlah waktu sembahyang hanya tinggal lima waktu sehari semalam sahaja. Nabi Musa yang merasakan jumlah sembahyang lima waktu sehari semalam itu akan malas dilakukan oleh umat Nabi Muhammad meminta baginda membuat rayuan pengurangan jumlah waktu sembahyang tetap baginda enggan kerana malu kepada Allah.
Sebenarnya sembahyang lima waktu itu adalah himpunan sembahyang-sembahyang yang telah dilakukan oleh lima orang nabi dan rasul kerana ada sebab dan peristiwanya sebagaimana berikut;
SUBUH: Manusia pertama yang mengerjakan sembahyang subuh adalah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke dunia.
Semasa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia kerana kesalahan memakan buah khuldi yang dilarang, yang pertama yang dilihat oleh bagi ialah kegelapan. Baginda berasa sangat takut. Macam mana pun apabila fajar menjelang Subuh dunia mulai terang dan kerana bersyukur apabila dunia mula menampakkan akan terang dan tidak gelap lagi, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat. Rakaat pertama sembahyang baginda adalah sebagai tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam manakala rakaat kedua adalah bersyukur kerana siang telah menjelma.
ZUHUR : Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT memerintahkan baginda agar menyembelih anak baginda Nabi Ismail a.s. sebagai melepas nazar baginda.
Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari (bertepatan dengan waktu Zohor), lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat. Rakaat pertama kerana bersyukur bagi penebusan, rakaat kedua tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya, rakaat ketiga: tanda bersyukur dan memohon keredaan Allah SWT manakala rakaat keempat tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
ASAR : Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Sebagai tanda syukur kerana dikeluarkan dari perut ikan Nun, maka Nabi Yunus a.s. bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama tanda syukur dari bebas dari kelam dengan kesalahan, rakaat kedua bersyukur kerana kelam dengan air laut, rakaat ketika kerana kelam malam dan rakaat keempat kerana kelam perut ikan Nun.
MAGHRIB : Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, yang di kala itu telah terbenamnya matahari. Kerana tanda bersyukur bagi sembahyang tiga rakaat dengan rakaat tanda bersyukur kerana baginda berjaya menafikan ketuhanan selain dari Allah yang Esa, rakaat tanda bersyukur kerana berjaya menafikan tohmahan ke atas bonda baginda Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang manakala rakaat ketiga tanda bersyukur kerana berjaya menyatakan kepada kaum baginda bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT, tiada dua atau tiganya.
ISYAK : Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat untuk mencari jalan keluar dari negeri Madyan. Sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita kerana sesat ekoran doa seorang alim yang diupah oleh Firaun agar mendoakan supaya Nabi Musa a.s.
Orang alim dan doanya sangat mustajab itu pada mulanya enggan akur kepada arahan Firaun dan enggan menerima upahan dalam bentuk jongkong emas kerana diketahuinya bahawa Nabi Musa a.s. adalah nabi dan rasul.
Hasil siasatan oleh pegawai-pegawai perisikan Firaun mendapati orang alim itu sangat sayangkan isteri dan dia adalah seorang suami yang sering mengalah kepada isteri.

Kelemahan itu diambil kesempatan oleh Firaun dengan memberi upah emas kepada isteri orang alim itu supaya meminta suaminya berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir negeri Madyan. Bila diminta dan dirayu dan direngek oleh isterinya, orang alim itu tidak dapat menolak. Bagaimanapun, dia memberi syarat akan berdoa dalam kandang kuda.
Orang alim itu menyangka bila berdoa pada tempat yang kotor, doanya tidak akan mustajab. Macam mana pun doanya tetap mustajab dan Nabi Musa a.s. tersesat manakala orang alim itu mati dalam keadaan berdosa kerana mengikut kemahuan Firaun.
Bagaimana Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya Nabi Musa a.s. apabila beliau akhirnya tidak lagi sesat dan ketika itu adalah waktu Isyak yang akhir. Sebagai tanda syukurnya, Nabi Musa bersembahyang empat rakaat dengan rakaat pertama tanda syukur kerana baginda akan dapat kembali ke pangkuan isteri dan kampung halaman. Rakaat kedua tanda bersyukur kerana dapat bersua kembali dan berganding bahu dengan saudara Nabi Harun a.s. bagi menyampaikan seruan Allah. Rakaat ketiga pula kerana selamat daripada tindakan Firaun manakala rakaat keempat tanda bersyukur selamat daripada pengkhianatan anak Firaun terhadap baginda dan umat baginda yang bertakwa.
Ertinya kesemua waktu sembahyang yang diwajibkan ke atas umat Nabi Muhammad adalah merupakan amalan-amalan tanda ketakwaan terhadap Allah oleh para nabi dan rasul dan nilainya tidak boleh disamakan dengan apa jua bentuk kebendaan. Kalau nabi dan rasul pun bersembahyang sebagai tanda syukur dan untuk melayakkan diri masuk ke syurga, siapa kita yang bukan nabi dan rasul untuk tidak sembahyang di samping melakukan pelbagai kemungkaran dengan bila mati kita mahukan syurga.

TAJDID IMAN: KESEDIHAN TANPA KAWALAN PUNCA KEHANCURAN INSAN



Satu daripada lintasan hati yang boleh mempengaruhi pemikiran dan perasaan manusia ialah 'kesedihan'. Jika tidak dapat dikawal dan dipujuk dengan sandaran wahyu, boleh jadi kesedihan itu menjadi punca kehancuran seseorang.


Ketika dunia mengalami krisis ekonomi global, tekanan hidup bukan hanya dirasai golongan miskin bahkan hartawan juga ikut terkena kesan kejatuhan raksasa kapitalis dunia. Orang mukmin tidak kira miskin atau kaya ikut sama merasai tekanan akibat situasi politik dan ekonomi yang membahayakan keselamatan harta serta jiwa mereka.

Tetapi, hanya mereka yang benar-benar teguh imannya boleh memenangi peperangan ini. Mereka yang berpegang dengan semangat reda atas putaran takdir yang berada dalam genggaman kuasa Allah. Mereka sentiasa mengingati pesan Allah yang dititipkan melalui al-Quran supaya orang mukmin reda dan berani menghadapi suratan kehidupan.


Firman Allah yang bermaksud: "Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)


Memang mustahil untuk tidak bersedih ketika diuji; kehilangan harta atau orang dikasihi, jawatan diidamkan atau kredibiliti diconteng dengan tinta fitnah tangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Tetapi, begitulah sunnah kehidupan yang tidak selamanya bahagia dan gembira, mesti ada kalanya ditimpa sedih dan sengsara.

Yang penting ialah kebijaksanaan kita memanfaatkan kesedihan itu menjadi potensi yang boleh melonjakkan kekuatan karakter mukmin sejati. Bukannya menjadikan kesedihan itu punca segala kehancuran atau pintu masuk syaitan ke dalam hati nurani.

Jika kita menyelami suara hati yang merintih, apakah keinginannya ketika tenggelam dalam kesedihan? Hati yang diserang sengatan syaitan akan berkata: "Malangnya nasibku, jika aku begini tidak akan jadi begini, aku sudah ditakdirkan menerima keburukan."

Hati yang sentiasa berdampingan dengan Tuhannya tidak mahu merintih dan mempersoalkan ketentuan Kekasihnya Yang Maha Rahman. Dia berkata: "Beruntungnya aku kerana masih ramai orang yang lebih teruk keadaannya dibandingkan diri dan keluargaku, mesti ada rahsia yang disimpan Allah demi untuk kebaikan agamaku, tidak patut menyalahkan sesiapa kerana itu hanya alat bukan sebab, semua takdir pilihan Allah tiada yang buruk dan jahat, semuanya baik bagi hamba-Nya yang memahami dengan hati yang beriman."

Untuk mendapatkan hati sebening mata air firdaus yang memandang segala ujian dengan pandangan iman, selayaknya kita mempelajari bahaya kesedihan dan kesannya dalam keperibadian kita. Antara kesan negatif kesedihan ialah:


Membuat jiwa kurang reda.

Ramai yang memiliki jiwa reda kepada Allah tetapi kadang-kadang kita terlepas pandang masalah surutnya keredaan itu bersamaan dengan jatuhnya ujian ke riba. Tidak banyak, mungkin sedikit saja kalimah yang terlontar mewakili perasaan marah atau sedih. Tetapi justeru kalimah itu menurunkan tahap keredaan kita kepada Allah SWT.


Walaupun tidak hilang sama sekali, sepatutnya kita berhati-hati kerana mungkin dari celah yang sedikit itu syaitan akan mengambil peluang untuk masuk ke sudut hati dan akhirnya menguasai perasaan kita. 

Sabda Rasulullah SAW ketika memeluk putera Baginda, Ibrahim yang dijemput Allah ke sisi-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya mata ini menangis, namun kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredai Tuhan kami." ? (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)


Orang yang ditimpa musibah hendaklah memperhatikan setiap ayat diucapkannya dengan perhatian baik dan kawalan yang rapi. Kadang-kadang lidah tidak dapat ditundukkan. Ia menterjemahkan kesedihan hati dengan kata-kata yang tidak beradab kepada Allah seolah-olah mahu mempersoalkan kenapa Allah berbuat begitu dan begini? Padahal siapalah kita dibandingkan ilmu-Nya yang meliputi seluruh alam. Umpama si bodoh, dungu dan terencat akal yang berhujah di hadapan Yang Maha Alim.


Lupa akan nikmat-Nya.

Satu keburukan yang dilakukan seseorang, sering kali menghapus sejuta kebaikannya di mata manusia. Begitu juga seorang hamba yang dilimpahi rahmat dan anugerah tanpa putus dari saat hirupan pertama oksigen ke dalam jantungnya hingga nafas terakhir, tetapi apabila sedikit saja Allah menguji kesabarannya dia pun berpaling.

Dia tidak mahu menerima realiti yang harus dihadapi dengan berani, larut dalam kesedihan tidak berpenghujung sehingga membutakan mata hatinya untuk melihat nikmat Allah yang begitu banyak. Bolehkah kita melafazkan puji-pujian kepada Allah ketika sakit, hilang harta benda, pergi tak kembali orang istimewa, jatuh terjunam nama dan pangkat kita angkara kejahatan manusia? Bolehkah hati sentiasa bersyukur walau apapun yang terjadi dalam hidup ini?


Bukan hanya ganjaran akhirat yang diperoleh tetapi ketenangan hati juga dirasai ketika di dunia menapak jalan kesabaran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal anak seorang hamba, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: Kalian telah mencabut nyawa buah hatinya? Mereka menjawab: Benar. Allah berfirman: Apakah yang dikatakan oleh hamba-Ku? Mereka menjawab: Dia memuji-Mu dan mengucapkan istirja'. Allah berfirman: Binalah untuk hamba-Ku ini sebuah rumah di syurga dan beri nama 'Rumah Pujian'." ? (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Mengeruhkan hubungan sesama insan.

Musuh boleh menjadi punca kesedihan. Setiap manusia mempunyai musuh, tetapi mereka mesti belajar menakluk musuh dengan cara diredai Allah. Mereka dituntut untuk mahir bergaul, bersaing dan berlumba mendapat kejayaan dengan cara bersih dan murni mengikut lunas syariat.
Adakalanya kekalahan menyebabkan kita sedih dan mengguriskan dendam di hati. Al-Fudail bin Iyadh berkata kepada sahabatnya yang mengadu disakiti oleh seseorang: "Maafkanlah dia. Sahabatnya itu menjawab: Hatiku tidak mungkin memaafkan. Al-Fudail berkata: Orang yang pemaaf dapat tidur di atas katilnya dengan tenang sedang orang yang membela diri tiada hentinya berfikir untuk membela dirinya, cara apa yang akan digunakannya dan jalan apa yang harus ditempuhnya, apakah perkataan yang akan dikatakannya untuk mengalahkan hujah orang itu. Sudah tentu ia akan gelisah dan tidak dapat tidur."


Kesedihan sebegini boleh menimbulkan penyakit hati, bahkan merosak jantung, menaikkan tekanan darah dan memecah ketenangan perasaan. Akhirnya menjejaskan kesihatan zahir dan batin. Kesedihan juga boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia, pertalian orang tua dan anak menjadi tegang apabila kepala keluarga mengalami kemurungan. Suami dan isteri mesti menampilkan imej bahagia dan lupakan kesedihan ketika berada di hadapan pasangannya supaya kehidupan rumah tangga mereka terpelihara daripada anasir jahat.

Suami isteri yang berpengalaman dalam menjaga komunikasi biasanya cepat mengawal emosi dan menstabilkannya ketika berada bersama pasangannya.  Ingatlah nasihat Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ketika peristiwa hijrah: "Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama kita." Makna daripada ungkapan Rasulullah SAW yang diabadikan dalam al-Quran ini seolah-olah memberi pengajaran kepada kita bahawa orang yang terjejas akibat kesedihan sebenarnya mereka ini jauh dari Allah...

TANGGUNGJAWAB LAKSANA AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR


Pendakwah atau petugas mesti berusaha terapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah MAKSUD amar makruf ialah mengajak manusia melakukan perkara kebaikan, manakala nahi mungkar pula mencegah manusia daripada melakukan perkara tidak baik. Oleh itu, perkataan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar selalu digunakan merujuk kepada mengajak manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
Dalam karya fiqh klasik, istilah amar makruf nahi mungkar, jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama. Dalam al-Quran, perkataan amar makruf dan nahi mungkar digunakan sekurang-kurangnya lapan kali.
Semua merujuk kepada tanggungjawab kolektif setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan itu. Firman Allah yang bermaksud:
"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya."
(Surah Ali-Imran, ayat 104)
Amar Makruf
Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud:
"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud kewajipan untuk mengubah perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah sesuatu kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap Muslim harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat. Pertama, ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan hati. Berdasarkan hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar makruf dan nahi mungkar kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan baik, manakala nahi mungkar ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.
Dakwah
Realiti masyarakat Islam sekarang, ada pelbagai sebab kenapa dakwah itu menjadi tuntutan ke atas setiap individu Muslim. Antaranya, memberi pendidikan terhadap akhlak dan moral; pendidikan akidah dan sebarang aspek penyelewengan; pendidikan aspek pemikiran barat dan cara menanganinya dan pendidikan pentingnya peranan ilmu dan perpaduan di kalangan umat Islam.
Dakwah juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan masyarakat dan semasa. Oleh kerana kita berdakwah dalam masyarakat maka pemahaman berkaitan masyarakat yang ingin diajak adalah perlu. Penyelidikan juga harus dilakukan untuk memahami budaya dan cara hidup mereka.
Berdasarkan beberapa pendapat ulama, golongan manusia berkewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ialah orang Islam. Selain itu, ada beberapa syarat tambahan iaitu seorang yang mukalaf, mempunyai akhlak baik supaya tugas dakwah dilaksanakan memberi impak positif.
Antaranya, mestilah mempunyai kemampuan dan pengetahuan (untuk membezakan antara perkara baik dan salah) dan wujud kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa.
Prinsip


Secara prinsipnya. manusia ialah sumber pembangunan ekonomi negara, sosial, budaya dan akhlak. Manusia bukan saja memiliki sumber pengetahuan, saintifik, teknologi, teknikal dan vokasional tetapi lebih mustahak lagi ialah agama dan moral.
Masalah yang sering dihadapi umat Islam dalam menjalankan amar makruf dan nahi mungkar ialah masalah manusia. Masalah manusia tidak bermaksud masalah tidak cekap ketika menjalankan kewajipan saja, tetapi masalah kefahaman, konsisten dan komitmen.
Manusia yang mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran profesional boleh menjadi tidak cekap dan telus menjalankan amar makruf dan nahi mungkar jika tidak mempunyai kebijaksanaan serta komitmen tinggi. Perkara mungkar boleh jadi tidak dapat dicegah jika manusia yang bertugas menghalangnya tidak benar bertanggungjawab, tidak diberi kepercayaan dan tidak bijaksana. Banyak pihak sudah mengetahui bagaimana sesebuah badan dakwah mengalami krisis keyakinan dan kepercayaan disebabkan orang yang terbabit dalam tugas amar makruf dan nahi mungkar itu tidak berilmu dan berkelayakan.
Mereka boleh jadi mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman dalam hal ehwal agama Islam, tetapi tidak mempunyai ciri pendakwah atau pelaksana amar makruf dan nahi mungkar yang baik. Mereka mempunyai masalah kekurangan persiapan diri dengan kemahiran asas dalam teknik komunikasi, kurang pengetahuan latar belakang sasaran, tidak menggunakan kaedah dakwah yang jelas dan kurang berjaya menjadi golongan contoh.
Jati Diri

 Amar makruf dan nahi mungkar bertujuan membetulkan jati diri manusia. Ancaman agama, budaya dan kepercayaan tidak akan berjaya memusnahkan identiti orang Islam jika mereka mampu menentangnya dengan kepercayaan dalaman yang kuat berprinsipkan nilai Islam.  Ada kalanya usaha manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar menciptakan peraturan tambahan yang tidak wajib, malah menyusahkan pula. Selain itu, hal yang perlu diberi perhatian ialah proses amar makruf dan nahi mungkar mesti berjalan seiringan.
Tidak boleh manusia berusaha menghukum atau mendisiplinkan masyarakat dan pada masa sama membiarkan budaya dan perlakuan tidak bermoral disebarkan melalui media massa. Masalah sosial dan akhlak ini tidak akan jika asyik melancarkan gerakan kilat dan mengejut untuk mencegah gejalanya, tetapi tidak membetulkan sistem yang melahirkan punca timbulnya pelbagai masalah sosial.

 Modal yang perlu ada pada setiap pendakwah ialah modal agama, pendidikan yang betul dan kebijaksanaan selain mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengetahui tabiat manusia, masyarakat dan alam sekitar serta mempunyai kesungguhan meneroka disiplin ilmu sesuai aktiviti dakwahnya. Pendakwah atau petugas amar makruf dan nahi munkar mesti berusaha menerapkan pembawaan sederhana, bersikap mencegah bukannya menghukum dan berupaya bercakap dalam bahasa moden sesuai dengan sasaran...

HIDAYAH HAK ALLAH


Syeikh Sya’rawi berkata: “Sesungguhnya hisab di dunia kadang-kadang ditakhirkan Allah SWT hingga ke akhirat dan alamat kecil tanda kiamat yang kita sedang menjalaninya dan banyak tanda besar kiamat yang belum berlaku.
“Kadang-kadang akhirat nisbah kepada yang merasa lambat hisab lebih cepat daripada hisab dunia. Perkataan hisab ialah menunjukkan ketenangan orang yang beriman bahawa Allah SWT bersifat Maha Adil sehingga tidak mengabaikan siapa yang kafir dan derhaka dengannya”.
Sebab Nuzul
Al-Alusi berkata: “Ayat ini menjadi khilaf siapa yang berdebat dengan Rasulullah SAW berkenaan agama selepas dikemukakan hujah”.
Mengikut al-Hasan ia kepada Yahudi dan Nasrani. Sedangkan Abu Muslim berpendapat kepada semua manusia. Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair pula berpendapat ia ditujukan kepada Kristian Najran.
Iktibar dan fiqh ayat:
Al-Qurtubi berkata: “Mereka berdebat dengan Nabi SAW dengan menggunakan hujah yang palsu dan silap”.
lIbn al-Jauzi berkata: “Maksud firman Allah SWT dengan Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), ialah mereka telah berhujah dan memusuhimu.
lMuqatil berkata: Yakni golongan Yahudi. Ibn Jarir berkata: Yakni kristian Najran dalam urusan Isa AS dan yang lain dari keduanya berpendapat iaitu gabungan dari Yahudi dan Kristian.
lAl-Mawardi berkata: “Maksud firman Allah SWT dengan Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah”.

Ada dua pendapat:

Pertama: “Aku berserah diriku dalam mengikhlaskan tauhid kepada-Nya”.
Kedua: “Aku mengikhlaskan qasad dan tujuanku kepada Allah SWT dan ibadat”.
Syeikh Abu Zahrah berkata: “Ayat ini menerangkan berkenaan hujah mereka terhadap Nabi SAW yang tidak ada sebarang asas untuk mematuhi kebenaran sehingga nyata. Ini kerana matlamat mereka tidak mengikut kebenaran dan berhujah dengan kebatilan”.
Al-Maraghi berkata: “Sekiranya mereka mahu menyerah dengan penyerahan yang menjadi jiwa agama itu, maka mereka akan dapat balasan pahala yang besar dan terselamat daripada jurang kesesatan. Ini kerana penyerahan diri mereka dalam bentuk seperti ini menyebabkan mereka akan menerima apa sahaja yang engkau bawa.
“Ini disebabkan orang yang memiliki pergerakan diri, hatinya akan diterangi untuk menuju ke jalan yang benar dan menjadi orang yang paling dekat untuk menerima kebenaran ketika kebenaran itu terserlah dan nyata kepadanya.
“Allah Maha Mengetahui orang yang menutup hati dan pandangannya, sehingga dia menjadi putus asa terhadap petunjuk Tuhannya. Allah SWT pun Maha Mengetahui orang yang dapat diharapkan menerima petunjuk dan taufik selepas menerima dakwah”.
Hamka berkata: “Selain ditilik dan dipandang Tuhan bagaimana cara hambanya menegakkan keyakinannya dan menyampaikan seruannya. Kalau mereka tidak melanjutkan tugas Rasul iaitu bertabligh maka kian gelaplah penerangan agama.
“Oleh yang demikian agama hanya tinggal nama. Akibat dari penyerahan itu tidak lain ialah kepatuhan dan taat mengerjakan yang diperintahkan dan menghentikan yang dilarang. Penyerahan diri ini menjadi bulat kepada yang satu itulah Tauhid. Itulah Islam yang sejati dan mereka yang tidak insaf mereka pun menyerah diri kepada thaghut dan syaitan”.
Muhammad Quraish Shihab berkata: “Perhatikanlah ucapan yang diajarkan ini. Nabi SAW diperintahkan untuk menyebut dirinya terlebih dahulu dan dalam bentuk tunggal, kemudian baru menyebut pengikut-pengikutnya. “Pemisahan itu bukan saja untuk mengisyaratkan bahawa penyerahan wajah Rasul serta keikhlasan beliau lebih sempurna dari pengikut-pengikut beliau dan lebih penting tanggungjawab utama terletak di atas bahu baginda. Janganlah meletakkan tanggungjawab kepada pemimpin bahkan jangan membebani mereka dengan melupakan dirimu sebagai pemimpin. Begitu kesan yang kita perolehi”.
Ayat ini jelas menunjukkan betapa musuh-musuh Islam sentiasa mencabar kebenaran Islam sekalipun dhamir hatinya mengakui tentang kebenaran yang dibawa oleh Nabi SAW.
Mereka yang mendapat hidayah dan mengikut agama Allah SWT adalah golongan yang berbahagia hidup di dunia serta akhirat sebaliknya mereka yang mengingkari akan menemui natijah yang cukup dahsyat pada hari akhirat kelak. Ini kerana Allah SWT pasti melihat segala tindak-tanduk hambanya.
Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mentaati Rasul-Nya dan beristiqamah dengan agama yang sebenar...

ISTIQAMAH


Istiqamah dalam menghambakan diri

Fikiran Terganggu

Ada kalanya  fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.
Gejala sosial

Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini. Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi. Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.
Jalan meraih ketenangan

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam. Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.

Menjadikan al-Quran sebagai wirid/ Bertafakur

Islam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini. Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid. Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.
Ulama berkata: "Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri'ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami.

"Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya."

Menyelami kitab-kitab ahli hikmah

Para ulama juga menyarankan kita menjadikan bacaan kitab-kitab tasauf sebagai wirid. Hendaklah kita perkemaskan renangan kita di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman bermesra pada waktu pagi dan petang, dan pegangan dalam semua keadaan.Taklifkan diri kita beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. Insya-Allah, hati kita akan menjadi lembut dan berasa lebih tenang menghadapi apa jua keadaan.

Justeru, pada minggu ini kita tinggalkan dahulu tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan dan kami ingin membawa saudara merenung satu lagi kalam hikmah yang dipersembahkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al-Sakandari r.a tentang istiqamah dalam perhambaan.

Istiqamah dalam perhambaan

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun kita tidak sepatutnya dikalahkan oleh kesalahan yang kita lakukan hingga bersikap pesimis dan berprasangka buruk dengan Tuhan. Kita seharusnya ingat bahawa setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya. Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi: "Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu".
Kita tidak seharusnya merasa putus asa daripada beristiqamah bersama Allah apabila terlanjur melakukan dosa. Dengan bersikap sedemikian, hanya akan menjadikan dosa kita lebih besar. Istiqamah bermaksud sama keadaan dalam ubudiah terhadap Tuhan. Dosa tidak menyekat seseorang hamba itu daripada terus istiqamah dalam perhambaannya kerana seseorang hamba itu tidak dapat lari daripada takdir yang telah ditulis baginya.

Cuma, perkara yang menghalang seseorang daripada istiqamah ialah jika dia berterusan melakukan dosa tersebut. Malah bertekad untuk mengulanginya. Menginsafi hakikat ini, maka wajiblah hamba tersebut segera bertaubat kerana berkemungkinan ia adalah dosa terakhir yang ditakdirkan baginya. Kadang kala kesalahan itu juga merupakan suatu rahmat dan peringatan buat kita yang sedang lalai atau leka. Apabila kita terjatuh, maka kita akan lebih berusaha untuk bangun dan maju ke hadapan. Setelah itu, kita dapati ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Perhatikan, telah berapa banyak perkara sebegini terjadi kepada orang yang pernah melakukan dosa besar. Sebelumnya mereka adalah seorang pencuri, tetapi kemudian menjadi orang yang mulia. Di antara mereka ialah tokoh sufi yang terkenal, Ibrahim ibnu Adham. Beliau bertaubat setelah mendengar suatu bisikan ketika sedang berburu. Setelah itu beliau sering berdoa dengan doanya: "Ya Allah! Pindahkanlah aku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan."

Begitu juga Fudhail ibnu 'Iyadh r.a yang asalnya seorang penyamun. Sebelum bertaubat, dia begitu berminat dengan seorang jariah. Pada suatu hari, ketika memanjat dinding rumah jariah itu, dia mendengar suara orang yang sedang mengalunkan ayat 16 surah al-Hadid: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.

Selepas mendengar ayat itu datang keinsafan di dalam hatinya sehingga hari ini kita mengenalinya sebagai seorang ahli sufi yang terkenal. Justeru, jadikanlah mereka sebagai model yang boleh membuka minda dan hati kita untuk bersangka baik dengan Allah.

Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah. Di antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Allah SWT juga berfirman : Dan tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat. (al-Hijr: 56). Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah SWT juga berfirman: Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir.

Sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat daripada dosanya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi mereka yang sentiasa mensucikan dirinya".

Maka marilah kita, sebagai hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan kesalahan berazam tidak sekali-kali berputus asa daripada berusaha dan kekal beristiqamah pada jalan 'ubudiah walau betapa perit dirasakan melalui jalan yang satu ini...

MENGHARGAI MASA ADALAH SATU TUNTUTAN


masaedit
                                                                              
Pengurusan Masa
Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa 'masa itu emas'.

masaemas01


Kepentingan Masa
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman: 
 Maksudnya:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
1) Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.
2)Melaksanakan amal salih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
3) Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.
4) Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Jangan Suka Bertangguh-tangguh
Budaya "Esok Masih Ada" hendaklah dibuang daripada diri seorang insan yang bergelar  dalam mengejar kecemerlangan diri serta kecemerlangan negara. Bertangguh dalam melaksanakan sebarang tugas adalah tidak digalakkan dan akan merugikan masa seseorang. 
Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.” 
Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Memanfaatkan Masa Di Dunia
Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia. 
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya di usahakannya dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Masa Tidak Akan Di Sia-siakan
Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan setiap keuntungan berlalu sia-sia
dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan
yang baik, sudah pasti direbutinya. Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:
i) Masa hidup sebelum mati 
ii) Masa sihat sebelum sakit 
iii) Masa lapang sebelum sibuk 

iv) Masa muda sebelum tua 
v) Masa kaya sebelum fakir."
Pernah Rasulullah S.A.W ditanya: "Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda: 
Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."

Kesimpulan
Menghargai  masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi. 
Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang. Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak...

Sabtu, 29 Jun 2013

Besarnya peranan NGO, badan kebajikan Islam ...






Besarnya peranan NGO, badan kebajikan Islam ...
ISLAM, agama samawi yang memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan dan kemaslahatan seluruh umat manusia tanpa melangkaui batasan bangsa, etnik dan agama. Ruang lingkup Islam yang amat luas itu adalah asas kepada pemupukan konsep kesejahteraan sejagat yang turut mencakupi usaha memastikan kemaslahatan manusia di seluruh dunia.

Kerana itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan Islam bangkit memperjuangkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan manusia hendaklah diperkasakan di negara-negara Islam.

Peranan NGO-NGO terbabit amat penting dalam aspek pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, perlindungan wanita dan kanak-kanak, pencegahan jenayah serta pemuliharaan alam sekitar.

NGO perlu bijak, sentiasa bergerak

Ketua Komunikasi dan pengurus – program konflik Yayasan Cordoba, United Kingdom,  Amjad Saleem dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk Peranan Kemanusiaan Dalam Proses Keamanan dan Diplomasi – Peranan NGO semasa Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 bertemakan ‘Islam dan Diplomasi - Pencarian Untuk Keselamatan Manusia’ di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), Kuala Lumpur pada 16 Mei baru-baru ini menjelaskan, NGO mempunyai peranan yang luas kerana ia sangat penting dalam mengekalkan dan membangunkan proses keamanan serta diplomasi.

“NGO langsung tidak terkecuali memandangkan ia adalah badan penggerak dan lebih disertai ramai masyarakat di luar sana, sesiapa sahaja boleh menjadi ahli sesebuah badan. Sebagai contoh di Malaysia. Masyarakat Islam di sini mempunyai banyak badan bagi menyalurkan apa jua masalah yang melingkari kehidupan mereka.

“NGO perlu bijak dan kena sentiasa bergerak untuk memberi kefahaman dan pendedahan kepada masyarakat dalam sesebuah negara. NGO merangkap medium yang akan memberitahu kepada dunia bahawa peranan manusia dalam proses pembangunan tidak terpisah,” katanya dalam forum berkenaan.

Menurutnya, NGO mempunyai kepentingan yang sangat besar kerana badan itulah yang terbabit dalam melontarkan suara dan pandangan antaranya dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, perlindungan wanita dan kanak-kanak, pencegahan jenayah serta pemuliharaan alam sekitar.

Bersikap praktikal

Antara mekanisme yang boleh dilakukan NGO adalah menerusi penerapan pemberitahuan penyebaran maklumat berhubung zakat, memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan implikasi cukai atau peraturan kewangan bagi zakat, selain menjelaskan kepada umum maklumat dalam aspek memperkasakan zakat.

Amjad berkata, NGO merangkap badan yang menyediakan penambahbaikan untuk medium yang sedia ada. NGO menitikberatkan pelantikan individu dan pihak berkelayakan seperti imam bagi meraih sokongan, menggunakan pihak ketiga sebagai pengantara dan timbang tara untuk meyakinkan umum bahawa walaupun badan-badan ini bukan badan kerajaan tetapi sentiasa bersedia untuk merealisasikan keperluan masyarakat.

“Saya berpandangan sebarang usaha perdamaian yang melibatkan analisis melangkaui keperluan dalam semua bidang perlu dilihat dari perspektif sektor dan konflik yang berlaku. Sebagai contoh melakukan perbincangan luaran mengenai peraturan dan sinergi.

“Saya mengambil pendekatan menjurus kepada praktikal iaitu bagaimana pertubuhan kemanusiaan dapat membantu untuk memperbaiki keadaan kacau-bilau dalam masyarakat ataupun malapetaka yang timbul, kerana ini adalah peranan NGO dan badan kebajikan Islam,” katanya.

Perpecahan kerana berkepentingan

Sementara itu, Profesor Ulung, Tan Sri Profesor Dr Mohd Kamal Hassan ketika ditanya mengenai isu yang membabitkan perpecahan dalam kalangan umat Islam hari ini menjelaskan, salah satu sebab utamanya adalah individu berkenaan bertindak bukan atas dasar kefahaman agama tetapi kebanyakan tindakan dibuat kerana desakan berkepentingan.

“Saya rasa satu dari sebabnya adalah pihak yang bertindak bukan atas dasar kefahaman mereka tentang agama membuat tindakan kerana desakan kepentingan tertentu, sama ada kepentingan negara atau ekonomi seperti kes serangan di Lahad Datu, Sarawak.

“Jadi tindakan yang menimbulkan konflik ini bukan datang daripada prinsip Islam. Sekali gus menunjukkan bahawa umat Islam di Asia Tenggara ini masih perlu kepada kefahaman mengenai Islam,” katanya ketika ditemui Rehal selepas berlangsungnya forum berkenaan.

Menurutnya, penghayatan Islam dan terdedah kepada ajaran Islam dengan lebih meluas lagi perlu supaya mereka dapat mengatasi kepentingan yang menimbulkan kekacauan pada umat Islam.
Forum itu dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bertujuan menggalakkan keamanan, kestabilan dan keselamatan global dari perspektif Islam.

Forum ini juga menampilkan perbincangan bertemakan “Diplomasi – Warisan Dunia Islam” dan “Dalam Pencarian Keselamatan Sejagat – Diplomasi Islam dan langkah-langkah bagi kemajuan masa akan datang”.

Antara moderator dan panel yang membahaskan isu ini adalah Presiden Yayasan Cordoba, United Kingdom, Dr Anas Altikriti; Profesor Ulung, Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hassan; dan ramai lagi ilmuwan tersohor dunia...

Jumaat, 28 Jun 2013

Rasulullah Menangis di Padang Mahsyar


Oleh Ust. Zaharuddin Abd Rahman
Alhamdulillah , kita masih dapat menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan pelbagai dosa setiap hari.
Tanpa mengetahui yang salah, umat Islam mudah terjebak melakukan dosa-dosa ini, dan sebahagiannya bukan suatu dosa kecil yang boleh dipandang ringan. Awas dan segeralah melakukan pembetulan jika kita pernah melakukannya di bulan Ramadhan.
Berikut adalah beberapa lagi kesalahan kerap yang berlaku terutamanya di bulan Ramadhan, ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan juga:-
1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat .
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.
Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-
Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan haramnya lalu dihadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" ( Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )
Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Wajiblah ke atas mereka untuk menjaga anak mereka agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.
2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.
Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.
Nabi s.a.w menyebut :-
Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )
Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.
Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.
Nabi bersabda :-
"Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )
Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu dihadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.
3) Meludah di masjid.
Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.
Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-
"Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )
4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.
Ini adalah satu lagi dosa yang berlaku secara kerap di masjid tatkala Ramadhan ini. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di 'silent' kan deringannya.
Menurut kefahaman saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan). Ini kerana :-
a) Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-
"Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )
"Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja-muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)
Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-
"Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan : pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya : yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari :dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )
Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.
b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.
Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW bersabda :-
"Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja"( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )
Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.
Pergerakan
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan :
"Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat)" ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )
Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.
5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.
Telah banyak kali saya sebut bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.
Sebagaimana ingatan Nabi :-
"Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja"( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )
6) Tidur semula selepas sahur.
Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemakbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.
Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.
Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.
Allah berfirman :-
"Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur" ( Al-Imran : 17 )
7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.
Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang bersungguh-sungguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.
Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.
Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.
Nabi s.a.w bersabda :-
"Jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)
Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )
8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah.
Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupun ketika datangnya bulan yang dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.
Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.
9) Merendah-rendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.
Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.
Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-
"Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )
Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.
10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya.
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.
Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.
Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi makbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maksudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin sedikit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.
Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.
Nabi s.a.w mengingatkan :-
"Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )
Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan...