Khamis, 6 Jun 2013

TOLONG-menolong demi kesatuan ummah


TOLONG-menolong demi kesatuan ummah ...
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang Dan Politik, Institut Kefahaman Islam (IKIM)
INDIVIDU dalam masyarakat masing-masing mempunyai pandangan dan cita rasa yang berbeza dalam aspek kehidupan harian mereka. Walaupun rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Bahkan pasangan kembar pun walaupun nampak sama tetapi mempunyai perbezaan tertentu sehingga kita boleh mengenali di antara satu dengan yang lain.

Perbezaan yang ada merupakan anugerah Allah SWT yang merupakan sunnah kehidupan manusia. Walaupun begitu, Islam telah mengatur sistem yang menjadikan perbezaan sebagai satu rahmat. Sebagai contoh perbezaan cita rasa masyarakat dalam memilih pemimpin mereka akhirnya akan menampilkan pemimpin yang baik, antara lain berdasarkan reputasi umum yang dilihat oleh masyarakat.

Perbezaan yang ada tidak harus membawa kepada perpecahan dan pergaduhan sesama manusia. Sebab itu apabila timbul perbezaan di antara dua pihak dalam isu khasnya berkaitan urusan keduniaan sehingga menimbulkan pergaduhan, Islam menegaskan mereka tidak boleh terus tidak bertegur sapa dalam masa lebih dari tiga hari.

Ini seperti dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari, maksudnya "Tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudaranya lebih dari tiga hari". Hadis ini jelas menunjukkan perbezaan yang dibenarkan Islam ada hadnya iaitu tidak membawa kepada pergaduhan sehingga berlaku perpecahan umat.

Dengan menghayati tuntutan Islam, maka sudah tentu akan wujud tindak balas positif di dalam masyarakat apabila berlaku perbezaan pandangan atau juga pergaduhan. Untuk memenuhi tuntutan ini, maka perlu ada sifat tolong-menolong di kalangan mereka.

Jika seorang atau sebelah pihak sahaja yang akur tetapi pihak lain tidak mengendahkan, maka sudah tentu proses perdamaian antara mereka tidak terlaksana. Maka sifat tolong-menolong perlu dihulurkan oleh kedua-dua belah pihak kerana Islam menggesa umatnya sama-sama menolong dalam melakukan perkara kebajikan.

Ini jelas termaktub dalam surah al-Maidah ayat 2, "Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebajikan…".

Perkara kebajikan dalam konteks ini ialah sama-sama menghulurkan tangan bekerjasama memenuhi tuntutan Islam yang mengatakan 'tidak' kepada pergaduhan. Maka mereka yang memenuhinya sudah tentu akan mendapat ganjaran pahala di samping mewujudkan suasana masyarakat yang damai dan saling bekerjasama.

Sebaliknya mereka yang ingkar sudah tentu mendapat balasan keingkaran kerana terjebak dalam perlakuan maksiat. Ini kerana mereka secara tidak langsung bekerjasama dengan nafsu dan bisikan syaitan untuk membuat perkara maksiat yang dilarang seperti maksud al-Quran dalam surah al-Maidah, ayat 2 …dan jangan tolong-menolong dalam membuat dosa dan perlanggaran".

Sebagai manusia yang tidak mampu hidup tanpa yang lain, konsep tolong-menolong perlu wujud dalam menghasilkan suatu kehidupan yang dapat memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Jadi sayugianya masing-masing harus mengenepikan ego diri, menyahkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan dan maslahah umum yang lebih besar demi membina kesatuan ummah dalam menjamin kelangsungan dan peranan mereka dalam masyarakat.

Sebagai asas untuk kesatuan ummah, umat Islam perlu menghayati dengan meletakkan akidah Islam sebagai wadah tolong-menolong kepada usaha menguatkan peranan ummah dalam masyarakat melalui persepakatan dan satu suara.

Umat Islam pada hakikatnya telah pun bersatu dalam satu akidah. Mereka percaya dan mengamalkan rukun Islam dan iman. Mereka melafazkan dua kalimah syahadah, melaksanakan ibadah solat, zakat, puasa, haji yang sama.

Mereka melakukan hubungan kelamin melalui perkahwinan berlandaskan fiqh Islam yang sama. Kesatuan ini boleh menjangkaui kepada cabang-cabang kehidupan mereka yang lain apabila al-Quran dan al-Sunnah menjadi pedoman dan rujukan dalam setiap tindakan yang diambil.

Berpegang kepada Islam termasuk menghiasi diri dengan sifat bersangka baik kepada rakan sesama ummah. Sebagai contoh apabila ada kelompok menuduh, mencemuh atau merendah-rendahkan yang lain maka tidak semestinya tuduhan dan cemuhan itu betul.

Ini kerana sebelum mengatakan pihak kedua, Islam mengajar umatnya untuk bermuhasabah diri dan melihat kekurangan diri serta motif cemuhan yang dilakukan. Ini kerana tidak semestinya pihak yang dicemuh atau dipandang rendah itu memang begitu kerana ia biasanya hanya satu bentuk sangkaan sahaja.

Jika terbukti rakan satu ummah melakukan kesilapan, maka Islam juga mempunyai wadahnya yang tersendiri untuk menguruskan isu seumpama ini. Islam menegaskan segala kesalahan dan maksiat perlu ditegur dan dibuat pengajaran.

Teguran ini mesti dilakukan berdasarkan kemampuan yang ada pada individu dan anggota masyarakat itu sendiri. Teguran itu secara literalnya perlu dibuat melalui tindakan, nasihat dan diam dengan hati yang memprotes.

Apa-apa pun sebarang penambahbaikan dan teguran memerlukan kerjasama semua pihak. Jika ramai yang sama-sama tolong-menolong menegur kesalahan yang lain maka sudah tentu hasilnya adalah lebih baik. Tolong-menolong mencegah kemungkaran dalam masyarakat akan terhasil apabila masing-masing kembali menghayati tuntutan Islam.

Kemungkaran khasnya yang menggugat kesatuan ummah perlu diatasi dengan teguran dan dakwah yang penuh hikmah. Teguran dan nasihat akan menjadi sebaliknya jika ia dilakukan dengan kasar tanpa ada hormat yang besar kepada yang kecil begitu juga sebaliknya yang kecil kepada yang besar.

Jadi perbezaan yang ada di kalangan ummah ada batasnya. Apabila ia boleh menganggu gugat kesatuan ummah maka di situ perlu dicari jalan penyelesaian dengan mewujudkan konsep tolong-menolong di kalangan anggota masyarakat untuk sama-sama memimpin dan menegur sesama mereka secara hikmah ke arah landasan yang betul berdasarkan kesatuan akidah sedia ada...
AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR ...

Tiada ulasan: