Sabtu, 29 Jun 2013

Besarnya peranan NGO, badan kebajikan Islam ...






Besarnya peranan NGO, badan kebajikan Islam ...
ISLAM, agama samawi yang memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan dan kemaslahatan seluruh umat manusia tanpa melangkaui batasan bangsa, etnik dan agama. Ruang lingkup Islam yang amat luas itu adalah asas kepada pemupukan konsep kesejahteraan sejagat yang turut mencakupi usaha memastikan kemaslahatan manusia di seluruh dunia.

Kerana itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan Islam bangkit memperjuangkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan manusia hendaklah diperkasakan di negara-negara Islam.

Peranan NGO-NGO terbabit amat penting dalam aspek pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, perlindungan wanita dan kanak-kanak, pencegahan jenayah serta pemuliharaan alam sekitar.

NGO perlu bijak, sentiasa bergerak

Ketua Komunikasi dan pengurus – program konflik Yayasan Cordoba, United Kingdom,  Amjad Saleem dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk Peranan Kemanusiaan Dalam Proses Keamanan dan Diplomasi – Peranan NGO semasa Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 bertemakan ‘Islam dan Diplomasi - Pencarian Untuk Keselamatan Manusia’ di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), Kuala Lumpur pada 16 Mei baru-baru ini menjelaskan, NGO mempunyai peranan yang luas kerana ia sangat penting dalam mengekalkan dan membangunkan proses keamanan serta diplomasi.

“NGO langsung tidak terkecuali memandangkan ia adalah badan penggerak dan lebih disertai ramai masyarakat di luar sana, sesiapa sahaja boleh menjadi ahli sesebuah badan. Sebagai contoh di Malaysia. Masyarakat Islam di sini mempunyai banyak badan bagi menyalurkan apa jua masalah yang melingkari kehidupan mereka.

“NGO perlu bijak dan kena sentiasa bergerak untuk memberi kefahaman dan pendedahan kepada masyarakat dalam sesebuah negara. NGO merangkap medium yang akan memberitahu kepada dunia bahawa peranan manusia dalam proses pembangunan tidak terpisah,” katanya dalam forum berkenaan.

Menurutnya, NGO mempunyai kepentingan yang sangat besar kerana badan itulah yang terbabit dalam melontarkan suara dan pandangan antaranya dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan, perlindungan wanita dan kanak-kanak, pencegahan jenayah serta pemuliharaan alam sekitar.

Bersikap praktikal

Antara mekanisme yang boleh dilakukan NGO adalah menerusi penerapan pemberitahuan penyebaran maklumat berhubung zakat, memberi kefahaman kepada masyarakat berkenaan implikasi cukai atau peraturan kewangan bagi zakat, selain menjelaskan kepada umum maklumat dalam aspek memperkasakan zakat.

Amjad berkata, NGO merangkap badan yang menyediakan penambahbaikan untuk medium yang sedia ada. NGO menitikberatkan pelantikan individu dan pihak berkelayakan seperti imam bagi meraih sokongan, menggunakan pihak ketiga sebagai pengantara dan timbang tara untuk meyakinkan umum bahawa walaupun badan-badan ini bukan badan kerajaan tetapi sentiasa bersedia untuk merealisasikan keperluan masyarakat.

“Saya berpandangan sebarang usaha perdamaian yang melibatkan analisis melangkaui keperluan dalam semua bidang perlu dilihat dari perspektif sektor dan konflik yang berlaku. Sebagai contoh melakukan perbincangan luaran mengenai peraturan dan sinergi.

“Saya mengambil pendekatan menjurus kepada praktikal iaitu bagaimana pertubuhan kemanusiaan dapat membantu untuk memperbaiki keadaan kacau-bilau dalam masyarakat ataupun malapetaka yang timbul, kerana ini adalah peranan NGO dan badan kebajikan Islam,” katanya.

Perpecahan kerana berkepentingan

Sementara itu, Profesor Ulung, Tan Sri Profesor Dr Mohd Kamal Hassan ketika ditanya mengenai isu yang membabitkan perpecahan dalam kalangan umat Islam hari ini menjelaskan, salah satu sebab utamanya adalah individu berkenaan bertindak bukan atas dasar kefahaman agama tetapi kebanyakan tindakan dibuat kerana desakan berkepentingan.

“Saya rasa satu dari sebabnya adalah pihak yang bertindak bukan atas dasar kefahaman mereka tentang agama membuat tindakan kerana desakan kepentingan tertentu, sama ada kepentingan negara atau ekonomi seperti kes serangan di Lahad Datu, Sarawak.

“Jadi tindakan yang menimbulkan konflik ini bukan datang daripada prinsip Islam. Sekali gus menunjukkan bahawa umat Islam di Asia Tenggara ini masih perlu kepada kefahaman mengenai Islam,” katanya ketika ditemui Rehal selepas berlangsungnya forum berkenaan.

Menurutnya, penghayatan Islam dan terdedah kepada ajaran Islam dengan lebih meluas lagi perlu supaya mereka dapat mengatasi kepentingan yang menimbulkan kekacauan pada umat Islam.
Forum itu dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah bertujuan menggalakkan keamanan, kestabilan dan keselamatan global dari perspektif Islam.

Forum ini juga menampilkan perbincangan bertemakan “Diplomasi – Warisan Dunia Islam” dan “Dalam Pencarian Keselamatan Sejagat – Diplomasi Islam dan langkah-langkah bagi kemajuan masa akan datang”.

Antara moderator dan panel yang membahaskan isu ini adalah Presiden Yayasan Cordoba, United Kingdom, Dr Anas Altikriti; Profesor Ulung, Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hassan; dan ramai lagi ilmuwan tersohor dunia...

Tiada ulasan: