Khamis, 31 Oktober 2013

Hikmah Al-Quran: Pejuang kebenaran kena fahami tipu daya musuh

Kemenangan, kecemerlangan hanya diberi kepada orang bertakwa 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 40) 

Ayat ini menceritakan sebahagian daripada episod hijrah Rasulullah SAW. Sebahagian kita menyangka ia turun sewaktu peristiwa besar itu berlaku atau sesudahnya. Sebenarnya, ayat itu turun sembilan tahun selepas peristiwa hijrah. Ia membayangkan peristiwa hebat itu seolah-olah hidup sepanjang masa dan zaman. 


Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Ilal Wa Adwiyah menyebut, ingatan al-Quran terhadap peristiwa hijrah adalah rentetan daripada tindakan Rom ketika itu yang menentang dan menyanggah risalah tauhid dibawa pejuang Islam, menghalang serta menghalau mereka daripada berdakwah. 

Rom ketika itu adalah kuasa tunggal yang menguasai dunia setelah berjaya menumpaskan Parsi. Setelah Rasulullah SAW membuat keputusan menentang Rom, ia menimbulkan kejutan dalam kalangan sahabat. 

Mereka bercakap sesama mereka, bagaimana hendak berhadapan dengan kuasa besar itu, lalu Allah SWT menurunkan ayat 40, surah at-Taubah untuk menghilangkan segala kelemahan serta menggesa mereka untuk keluar berhadapan dengan Rom tanpa merasa takut dan bimbang. 

Allah mengingatkan bagi yang merasa berat untuk berjihad bahawa kemenangan itu adalah dari sisi Allah SWT tanpa mengira soal berapa jumlah pejuang terbabit atau persiapan yang telah dibuat. Pelajaran daripada peristiwa hijrah diingatkan kembali. 
Saat bagaimana Rasulullah SAW keluar dari kota Makkah ditemani oleh Saidina Abu Bakar As-Sidiq, bersembunyi seketika dalam gua dengan keadaan musuh berada hanya beberapa meter saja dan ungkapan keimanan jitu daripada Rasulullah SAW. 

Hasilnya, Allah SWT tidak pernah mempersia-siakan orang yang berpaut dan bersandar kepada-Nya. Selepas beberapa tahun Rasulullah SAW dan sahabatnya berhijrah ke Madinah, akhirnya diberi ruang kembali ke Makkah untuk membukanya dengan meninggikan nama Islam. 

Umat Islam perlu mempunyai kekuatan 

Pengajarannya ialah umat Islam perlu mempunyai kekuatan dan persiapan. Pasti Allah SWT tidak menolong umat yang tidak berbuat apa-apa, lemah dan malas. Bagaimana untuk Allah SWT menolong mereka sedangkan mereka tidak mahu menolong diri sendiri. 

Hijrah untuk orang yang bertawakal setelah berusaha, berikhtiar dan merancang sungguh-sungguh bukan untuk orang yang berpura-pura bertawakal, tetapi menunggu segala-galanya daripada Allah SWT sedangkan mereka tidak melakukan sesuatu pun. 

Ayat berkaitan hijrah ini turun selepas kejayaan dan kemenangan. Ia adalah pemisah dalam dua fasa perjuangan Rasulullah SAW di Makkah dan Madinah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu ialah orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya.” (Surah al-Nahl, ayat 41-42) 

Orang yang berhijrah dari Makkah menuju Madinah telah membuat keputusan besar dalam hidup mereka dengan meninggalkan tanah tumpah darah, harta dan segala kenangan hidup. Mereka meninggalkan bumi Makkah kerana Allah SWT dan memilih untuk bersama Nabi Muhammad SAW. 

Pengajaran daripada peristiwa hijrah 

Antara pengajaran yang boleh kita pelajari daripada peristiwa hijrah, kita mendepani cabaran semasa ialah kemenangan Allah SWT hanya boleh diperoleh setelah umat Islam bersabar, berkorban dan membetulkan cara hidup di atas landasan yang benar. 

Kemenangan dan kecemerlangan sebenar hanya diberikan kepada orang yang bertakwa. Islam tidak akan mati, yang mati ialah jiwa-jiwa yang hendak mempertahankan Islam. Justeru setiap dari kita harus menjadi benteng kepada Islam. 

Pertarungan antara kebenaran dan kebatilan akan berterusan, ia memerlukan pejuang kebenaran memahami tipu daya musuh. Persaudaraan dan perpaduan hakiki hanya boleh dicapai melalui kasih sayang yang diterapkan al-Quran. 

Justeru, peristiwa hijrah yang berlaku lebih 1400 tahun lalu sepatutnya dianalisis, dipelajari dan dihayati kerana kisahnya sesuatu yang hidup bukan sekadar dibaca sebagai sejarah sudah berlalu... 

Hijrah penting, disebut 28 kali dalam al-Quran

Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab pada masa beliau memegang jawatan sebagai khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah.

Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada yang mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula mencadangkan tahun kewafatan Baginda. 

Namun, semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batil. Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. 

Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT" Riwayat al-Bukhari

Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (hijrah) kepada umat Islam. Tahun masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi), sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari). 

Perkiraan tarikh as-Syamsi, al-Qamari

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu. 
Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

Jika dulu hijrah bertujuan mengembangkan Islam dan membina negara Islam, tetapi pengertian hijrah kini lebih menjurus kepada perubahan diri memandangkan umat Islam kini berdepan pelbagai ancaman daripada musuh Islam.

Malah, umat Islam kini juga berdepan permusuhan sesama sendiri apabila masing-masing cuba menegakkan kebenaran dalam perkara yang wujud khilaf sedangkan sewajarnya umat Islam menerima perbezaan pandangan dengan berlapang dada.

Suasana merugikan umat Islam

Sebenarnya, banyak perkara menyebabkan umat Islam kini berada dalam suasana yang hanya merugikan mereka. Peperangan saudara yang berlarutan memberi kepuasan kepada pihak yang takut melihat umat Islam bersatu.

Sedangkan jika umat Islam bersatu, kekuatan mereka mampu mengalahkan musuh. Sudah tiba masanya umat Islam berhijrah daya pemikiran supaya dapat mengikut panduan agama dalam mendepani kehidupan dunia tiada sepadan ini.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukhari)

Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat bergantung kepada individu itu.

Oleh itu hijrah amat ditekankan al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali dalam pelbagai bentuk serta makna. Penghijrahan kepada perkara lebih baik menjadikan hati, perkataan dan perbuatan akan bersih daripada segala maksiat, dosa serta syirik.

Kisah Khalifah Umar bin al-Khattab menarik direnungkan kerana sebelum memeluk Islam beliau dikenali dengan jolokan penghulu pelaku kejahatan. Namun, setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin disegani, tawaduk, suka menolong orang miskin. 

Hakikatnya, hijrah sangatlah berat kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan akidah serta keyakinan supaya tidak mudah termakan pujuk rayu godaan kenikmatan dunia...

DOA

YA ALLAH KASIHANILAH DAKU

Ya Allah,
Teguhkan daku pada agama-Mu selama Kau hidupkan aku ...
Janganlah gelincirkan hatiku setelah Engkau tunjukkan aku...
Kurniakan padaku rahmat dari sisi-Mu
Sungguh, Engkaulah Maha Pemberi
Sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad
Jadikanlah daku dari pengikut dan golongannya
Kumpulkan daku pada kelompoknya
Bimbinglah daku untuk melaksanakan kewajiban ku,
yang Kau wajibkan atasku untuk aku taati dan Kau bagikan kurnia pada hari pembalasan pada orang yang layak menerimanya.
Sesungguh, Engkaulah Yang Maha mengetahui dan Maha Bijaksana...

Ya Allah,
Bimbinglah daku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Kau kurniakan padaku dan pada kedua orang tuaku, dan supaya aku dapat beramal soleh yang Engkau redhai. Kurniakan padaku kebaikan dengan kebaikan keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri...

Ya Allah,
Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kekuasaan dan bagiNya pujian dan Dia berkuasa atas setiap sesuatu .

Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan Mu Ya Allah.

Ya Allah kasihanilah daku.
Hanya kepada Mu daku bersujud, berserah dan bersyukur...
Aaminnn, Ya Rabbal Alaminnn ...


CABARAN BESAR TANGANI KRISIS AKHLAK ...

Ibu bapa kurang pengetahuan agama antara faktor gagal tarbiah anak

Mendepani krisis akhlak adalah satu cabaran besar kepada umat Islam yang bertanggungjawab. Berita keruntuhan akhlak individu Muslim daripada pelbagai peringkat usia telah sekian lama menjadi kebimbangan yang berterusan. 

Malangnya, gagasan dan wawasan yang dirangka dan dirangkum untuk menangani krisis ini seakan kurang membantu mengurangkan pandemik wabak hedonisme yang melanda. Meskipun Islam menyediakan teori pembinaan akhlak dan sosial yang lengkap, ia sering kali terlepas pandang. 

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari)

Hal ini mungkin disebabkan pelbagai faktor luaran dan dalaman yang membataskan usaha setiap ibu bapa membina akhlak Islami dalam institusi kekeluargaan atau proses pemulihan akhlak anak mengikut tarbiah kekeluargaan.

Agama, akhlak sendi ketakwaan

Akhlak adalah sifat gambaran zahir, jiwa dan batin seseorang sama ada yang baik atau buruk. Justeru, gambaran zahir dan batin yang baik melahirkan akhlak baik dan begitulah sebaliknya. Akhlak salah satu cabang yang paling utama dalam Islam. 

Pentingnya akhlak yang mulia tergambar daripada sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari) 
Tanpa akhlak, akidah, ibadah dan muamalat individu Muslim tidak akan lengkap dan sempurna. Seperti disebut Luqman Al-Hakim, agama dan akhlak adalah sendi ketakwaan. 

Hakikat ini dibuktikan hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menceritakan Nabi SAW ditanya apakah amalan kebanyakan manusia yang membolehkan mereka masuk ke syurga. 

Baginda SAW bersabda, sifat takut kepada Allah SWT dan pengamalan akhlak yang baik. Baginda juga ditanya, apakah kebanyakan amalan yang menyebabkan seseorang masuk ke neraka. Baginda SAW bersabda, mulut dan kemaluan, iaitu akibat daripada perkataan yang keji dan perlakuan zina.

Hari ini, krisis akhlak bukan saja berlaku dalam kalangan remaja Muslim di bandar, tetapi juga di luar bandar. Mutakhir ini, jenayah lebih buruk rentetan daripada kegagalan menangani masalah sosial remaja di peringkat awal telah berleluasa.

Antaranya hamil anak tidak sah taraf, pembuangan bayi, rogol dan bunuh, rompakan bersenjata serta pembunuhan berkumpulan. Sebanyak 233 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh Malaysia dalam tempoh 32 bulan, iaitu dari Januari 2010 sehingga Ogos 2012.

Perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan pada 2006 hingga 2010 seramai 234,674. Sabah, Selangor, Sarawak dan Johor mencatatkan jumlah tertinggi dalam statistik kelahiran anak tidak sah taraf dari 2008 hingga 2010.

Tidak dinafikan, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan besar dalam pembentukan jati diri dan akhlak setiap individu. Keluarga adalah hubungan sosial paling awal ditemui anak-anak sejak mereka dilahirkan ke dunia. 

Golongan remaja menyesuaikan dirinya dengan faktor persekitaran keluarga, lingkungan sosial dan budaya yang akan mencorakkan perkembangan tingkah laku mereka. Proses menghasilkan zuriat yang cemerlang sahsiah dan ketrampilan bermula seawal memilih ibu dan bapa kepada anak.

Doa makan antara proses tarbiah

Walaupun belum boleh memahami, kebiasaan ibu bapa membacakan doa makan sebelum membenarkan bayi menyusu badan adalah salah satu proses tarbiah yang boleh menjadi kebiasaan. Jika anak dibiasakan dan diajar dengan kebaikan, tidak mustahil mereka membesar dengan kebaikan tetapi jika sebaliknya, ia akan membesar dengan kejahatan.

Dalam konteks kekeluargaan, ibu bapa sering dikatakan punca krisis sosial anak-anak dan menjadi orang kena tuduh yang bertanggungjawab terhadap setiap salah laku anak. 

Walaupun terdapat faktor lain yang menyumbang kepada krisis akhlak masa kini, tidak dapat dinafikan jika setiap ibu bapa memainkan peranan utama dan berterusan dalam memantapkan serta memantau akhlak anak, krisis akhlak semasa mungkin boleh dikurangkan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari) 

Terdapat beberapa faktor yang menggagalkan tarbiah Islamiah dalam institusi kekeluargaan seperti kurangnya ilmu dan pengetahuan agama ibu bapa sendiri serta anak-anak. Selain itu, tanggungan bebanan ekonomi yang tinggi menyebabkan ibu bapa kurang memberi perhatian dan kasih sayang sewajarnya kepada anak-anak kerana terpaksa meluangkan sebahagian besar masa mencari nafkah.

Krisis akhlak menuntut iltizam tinggi semua pihak. Keutamaan kini ialah memandu kehidupan berlandaskan agama, disuluh dengan ilmu dan ditampung oleh malu. 

Mengembalikan martabat Ayahanda

Mengembalikan martabat Ayahanda

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab (duduk, tengah) bersama Ayahanda-Ayahanda pertubuhan atau NGO Melayu bertaraf Ayahanda seluruh Malaysia pada sidang media Seminar Hala Tuju Ayahanda pada 23 November 2013. - Gambar ihsan Sinar Harian

GELARAN Ayahanda bukannya sesuatu yang baharu dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tetapi kebelakangan ini nama khas yang diwariskan kepada pemimpin komuniti Melayu ini telah mendapat gambaran buruk akibat perbuatan tidak bermoral sesetengah pihak.

Sebelum ini ada pihak dalam industri hiburan menggambarkan pangkat Ayahanda itu hanya untuk ketua samseng dan gangster, kemudian operasi terhadap penjenayah pula mengesan ada individu mempunyai 'kad kuasa' Ayahanda pertubuhan atau NGO tertentu.
Sememangnya wujud individu yang menggunakan gelaran ini untuk aktiviti tidak bermoral, malahan ada di antara mereka ini berbangsa Cina dan India yang tidak diketahui asal usul warisan gelaran yang digunakan itu.

Ada juga berpendapat usaha memburukkan gelaran Ayahanda merupakan kesinambungan memecahbelah NGO Melayu selepas kejayaan agenda perpecahan politik Melayu yang semakin teruk hari ini.

Perkembangan ini telah menjejaskan nama baik dan martabat institusi Ayahanda dan pertubuhan yang dipimpin mereka berikutan tiada garis panduan bagaimana menentukan kelayakan seseorang mewarisi mahupun menggunakan gelaran itu.
Tanpa definisi khusus, maka individu yang menggunakan gelaran Ayahanda juga tidak tertakluk kepada peranan mahupun tanggungjawab tertentu dan bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak peribadi.

Untuk menangani penyalahgunaan gelaran itu daripada terus melarat, Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) dengan kerjasama pertubuhan dan NGO bertaraf Ayahanda lain di seluruh negara akan mengadakan seminar khas bagi menetapkan definisi, garis panduan, mekanisme kesinambungan dan lain-lain isu berkaitan.

Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al-Shahab menjelaskan, seminar itu akan mengumpulkan kesemua Ayahanda daripada pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membincangkan hala tuju kepimpinan mereka.
"Kita mahu dapatkan maklumat dan maklum balas melalui kupasan, soal jawab, penggulungan dan resolusi, khususnya tentang mekanisme untuk mengiktiraf, tatacara urus tadbir dan garis panduan gelaran Ayahanda.

"Ini termasuk pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan ROS dan wakil polis Bukit Aman berikutan beberapa insiden yang mencemar nama baik institusi ini. Di hujung seminar, kita akan rumuskan sebuah resolusi untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri," katanya.

Beliau mendedahkan gerakan baiah golongan bertaraf Ayahanda sebenarnya bermula sejak zaman Rasulullah lagi tetapi ketika itu dengan gelaran khalifah dan kemudian turun kepada waris kepimpinan Islam berikutnya.

Beliau menyatakan di negara ini tiada nama pertubuhan sebelum merdeka tetapi gerakan kepimpinan melalui baiah itu tetap wujud sebelum gelaran khalifah itu ditukar kepada Ayahanda sekitar 1990-an dalam Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

"Saya merupakan antara pelopor gelaran Ayahanda bersama kepimpinan Pekida sekitar 1992 dengan sekitar 50 orang veteran diberikan gelaran itu. Ramai antara mereka juga sudah meninggal dunia.

"Gelaran khalifah tidak sepadan kerana perlu kelayakan cukup. Ketika itu gelaran Ayahanda dimonopoli Pekida tetapi selepas 2004 wujud lebih 40 pertubuhan berdaftar dan lebih 1,000 individu yang menggunakan gelaran tersebut," ujarnya.

Beliau sedih melihat hari ini begitu banyak individu menggunakan gelaran Ayahanda dengan tidak betul dan tidak diketahui asal-usul warisannya sedangkan 90 peratus Ayahanda yang 'sebenar' adalah di kalangan anak didiknya sendiri.

Syed Husain mendakwa ada elemen lain yang merosakkan institusi Ayahanda sehinggakan ada orang Cina dan India yang menggunakan gelaran itu, siap dengan kad nama buatan sendiri yang ditunjuk kepada polis jika mereka ditahan.

"Baiah kepimpinan Ayahanda itu janji dengan Allah, ia sangat kuat. Saya sendiri tidak pernah ditahan polis kerana saya tidak menyeleweng, ahli-ahli YAS juga tidak pernah ditahan.
"Tetapi elemen luar yang masuk sehinggakan bangsa lain menggunakan gelaran ini, entah datang dari mana, banyak sangat. Mereka buat pertubuhan baharu terus gunakan nama Ayahanda palsu," tegasnya.

Beliau mewakili Ayahanda-Ayahanda sebenar mahu penjelasan dari mana kumpulan 'Ayahanda baharu' itu mendapat gelaran tersebut kerana ia bukan boleh dicipta sesuka hati kerana perlu ada aturan, kesinambungan, sejarah dan syarat-syarat tertentu sebagai institusi yang sah.

Sekarang ini, beliau melihat semuanya sudah berkecamuk, tidak tahu datang dari cabang mana sehinggakan tidak boleh dikenal yang mana satu intan atau kaca.
"Sampaikan budak umur 18 tahun, kahwin pun belum sudah guna 'Ayahanda', sudah jadi merapu kategori mereka ini. Bila timbul isu-isu berikutan beberapa insiden, cemar nama baik semua pertubuhan Ayahanda

"Ayahanda ini gelaran amat baik, bukan seperti digembar-gemburkan. Isu iktiraf susah sikit, siapa boleh beri pengiktirafan itu? Kerana itu seminar ini kita mahu maklum kepada semua Ayahanda hadir untuk kemaskini dan bentuk garis panduan pengiktirafan itu," katanya.
Beliau melihat seminar itu sebagai satu platform asas bukan sahaja dalam mengembalikan martabat gelaran Ayahanda malahan untuk memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi negara akan peranan, perjuangan dan sumbangan mereka kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

Beliau juga berharap langkah itu akan menyemarakkan perpaduan, kemajuan dan keamanan dalam negara, lebih-lebih lagi sesuatu yang melibatkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu tanpa melupakan hak kaum lain.

"Menjadi harapan YAS agar usaha kita ini akan menjadi titik tolak ke arah memartabatkan institusi bertaraf Ayahanda khasnya, dan orang Melayu amnya.
"NGO Melayu bertaraf Ayahanda perlu peka dan bertindak mengikut lunas-lunas keadilan dan hak-hak yang terkandung dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pejuang-pejuang terdahulu, serta perlu difahami dan diperakui semua bangsa berbumbungkan bumi Malaysia ini," ujarnya.

Individu dengan gelaran Ayahanda dijemput hadir ke Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda itu yang akan diadakan pada 23 November 2013 dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 019-2158232.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131031/re_01/Mengembalikan-martabat-Ayahanda#ixzz2jHZHYHLy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rabu, 30 Oktober 2013

MANUSIA SEBAIK KEJADIAN

"Boleh jadi kamu benci sesuatu sedangkan ia sangat baik bagi kamu,boleh juga kamu menyukai sesuatu sedangkan ia sngat buruk bagi kamu, sesungguhnya kamu tidak mengetahui, sedangkan Allah maha mengetahui" (surah al-Baqarah ayat 216)
just nak share ckit pasal pandangan sy tentang kejadian lumrah hidup manusia...

manusia diciptakan oleh Allah daripada tanah dan telah dinyatakan dalam Al-Quran dan diakui makhluk ciptaan yang terbaik dijadikan oleh Allah...mmg tidak dinafikan jika kita lihat sejarah penciptaan manusia dimana daripada tanah dijadikan dan seterusnya dijadikan daripada segumpal darah iaitu hati yang mengawal keseluruhan tubuh manusia...di mana ada dinyatakan dalam Al-Quran jika baik segumpal darah itu maka baiklah seluruh tubuh manusia itu...Allah jadikan hati dan juga nafsu kepada manusia ...sebab ape Allah berikan manusia hati dan nafsu kepada manusia?? 

jika perhatikan hati membentuk segala tindak tanduk manusia dari segi perasaan dan niat utk melakukan sesuatu ...dengan hati manusia mampu menggunakan akal fikiran yg juga dikurniakan oleh Allah sebagai pembeza dengan makhluk yang lain...benarlah yg disebut dalam Al-Quran bahawa manusia adalah sebaik2 kejadian selain dikurniakan hati , Allah kurniakan juga akal utk kite berfikir...tetapi sejauh mana kite jaga hati dan gunakan akal fikiran utk mengkaji dan memerhatikan kekuasaan dan kebesaran pencipta kita. 

kite lihat dunia hari ini manusia semakin jauh daripada Allah...hati dan fikiran mereka tidak lagi menyebut dan berckp tentang kebesaran Allah..hati mereka telah rosak dengan perkara2 dunia yang sementara...Allah juga menciptakan nafsu sebagai satu cabaran kepada hati supaya manusia mempunyai keinginan dan nafsu ini ada yang mengajak  kepada perkara yang baik dan jahat...mengapa Allah jadikan nafsu? pernahkah kite terfikir setiap kejadian Allah ada hikmahnya supaya manusia sentiasa berfikir bahawa Allah sahaja yang Maha Kuasa...kadang2 kite terlalu mengikut hawa nafsu kite sehingga kite sering melakukan maksiat..kite tidak dapat mengawal nafsu kerana kite jauh daripada Allah...hati kite tidak tenang dan lidah kite tidak berzikir kepada Allah...mengapa terjadi sebegitu?? sedangkan dengan mengingati Allah sahaja hati akan tenang...bukan igt kepada makwe atau pakwe ke? ibu bapa ke? atau sesama manusia yg lain...

sy sekadar ingin mengingatkan diri yg lemah ini bahawa manusia mmg tidak sempurna dan serba kekurangan..tetapi kite boleh berubah diri kite ke arah yg lebih baik...jgn pernah bersedih dengan diri kite sebaliknya sentiasa muhasabah diri kite ke arah yg lebih baik..dan igtlah setiap perkara yg berlaku itu ada hikmahnya dan Allah tahu yg terbaik utk kite... renungkan firman Allah dalam surah al-Baqarah  ayat 216 yang bermaksud:

"Boleh jadi kamu benci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia sgt buruk bagi kamu,kamu tidak mengetahui sedangkan Allah mengetahui"

marilah kite sama2 menjaga hati kite..jgn terlalu mengikut hawa nafsu dan perasaan kite...bykkan amalan kite dengan berzikir dan mendekatkan diri kepada Allah agar Allah igt dan membantu kite...insyallah akhir kata renungkan satu ayat di dalam gambar dibawah ini..


















akhir kata daripada saya...moga kite sama2 berubah kerana Allah akan sentiasa menerima taubat hambaNya...assalamualaikum..=)

SEBAIK BAIK KEJADIAN

Assalamualaikum w.b.t.Dengan nama Allah tuhan yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani .

Didalam surah At-Tinn ayat 4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami telah jadikan manusia dengan sebaik baik kejadian “
 
Berdasarkan ayat di atas, kita sebagai manusia sepatutnya berasa sangat-sangat bersyukur di atas segala kelebihan yang telah allah s.w.t. kurniakan. Tetapi ramai manusia pada hari ini tidak tahu untuk bersyukur kepada tuhan kerana telah memuliakan kita sebagai manusia untuk menjadi Khalifah atau pntadbir di alam ini.

Saya ingin berkongsi satu kisah yang telah diceritakan oleh sahabat saya. Kisah ini agak menarik dan boleh dikaitkan dengan ayat di atas.

Cerita ini adalah cerita rekaan sahaja. Namun mempunyai iktibar yabg cukup bermanfaat.
Kisahnya bermula dari seorang pengukir di kaki gunung. Pengukir ini merupakan seorang yang pakar dan mampu membuat pelbagai ukiran yang menarik dan cantik.
Pada suatu hari, dia terfikir ” alangkah baiknya jika aku menjadi sebuah gunung. aku mampu berdiri megah mencecah awan di samping mempunyai fizikal yang kuat dan besar.” Lantas, si pengukir tersebut telah meminta kepada tuhannya “jadikanlah aku sebuah gunung”. Maka dengan izin tuhan jadilah dia sebuah gunung.

Setelah menjadi sebuah gunung, dia berasa sangat gembira kerana permintaan telah dikabulkan. Namun begitu, tiba-tiba dia terasa bahang yang kuat daripada atas. Apabila melihat ke atas, maka dia telah melihat matahari. Si pengukir terus berfikir”alangkah baiknya jika aku adalah matahari. Aku dapat memancarkan cahayaku ke seluruh alam.”
Selepas itu, dia pun memohon kepada tuhan, “jadikanlah aku matahari”. Permintaan tersebut telah dimakbulkan, dan dia telah menjadi matahari.

Setelah menjadi matahari, dia berasa sangat gembira,kerana dapat memancarkan cahayanya ke seluruh alam. Semua makhluk dapat merasai nikmat cahaya yang dipancarkan olehnya. Tiba-tiba…

Datanglah sekumpulan awan yang besar. Awan tersebut telah menutupi cahaya yang terpancar dari matahari itu. Si pengukir berasa amat kecewa kerana ada lagi makhluk yang lebih hebat dari dirinya iaitu matahari.

Kerana tidak berpuas hati, pengukir tersebut memohon lagi kepada tuhannya. ” jadikanlah aku sebagai awan.” Permintaan tersebut telah juga dimakbulkan oleh tuhan. Maka jadilah ia segumpal awan.

Pengukir tersebut berasa gembira kerana dengan menjadi awan, dia dapat menutupi sinar matahari yang terik daripada mengenai makhluk yang lain. Disamping dapat menurunkan air hujan untuk menyuburkan tanah.

Oleh kerana awan sentiasa bergerak, tiba-tiba pergerakannya tersekat oleh sebuah gunung yang besar. Maka pengukir tersebut sangat kecewa kerana pergerakannya terbatas disebabkan oleh gunung tersebut. Dalam kekecewaan tersebut, dia ternampak seorang manusia sedang mengukir di kaki gunung. Dan, manusia itu adalah diri pengukir itu sendiri.
People / Beach / Sky / Plane
Daripada kisah di atas, dapat disimpulkan disini bahawa, tiada makhluk yang lebih mulia yang telah dijadikan Allah di atas dunia ini. Kita sebagai khalifah Allah hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat tuhan ini di samping nikmat Islam dan Iman.
Kita tidak dapat lari dari melakukan kesilapan sebagai manusia, namun Allah s.w.t. tetap akan terus memberikan keampunan. Teruskan perjuangan hidup dan sentiasalah berusaha dan bertawakkal kepada tuhan.

Saya memetik lagi ayat di dalam Al-Quran iaitu dari surah Al-Ankabut ayat 64:
” Dan tidaklah kehidupan di dunia ini,melainkan ia hanya berupa permainan dan hiburan, sedangkan kehidupan di akhirat merupakan kehidupan yang sebenar kiranya mereka mengetahui.”
 


Isnin, 28 Oktober 2013

Penjelasan secara baik tambat hati orang jahil

Daripada Abu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang nabi pun yang diutuskan oleh Allah kepada umatnya sebelumku mempunyai penyokong-penyokong daripada umatnya dan sahabat yang berpegang dengan sunnahnya dan mereka taat dengan perintahnya. Kemudian selepas mereka, muncullah beberapa penggantinya yang suka berkata tetapi tidak melakukannya dan melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya maka dia adalah Mukmin. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah Mukmin dan sesiapa yang berjuang menentang dengan hatinya maka dia adalah Mukmin, tetapi jika semua itu tiada maka sama sekali tiada keimanan walaupun sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim) 

Benci kepada kemungkaran 
Menentang orang yang menyalahi syarak dengan perbuatan dan perkataan adalah dituntut. Tidak menolak kemungkaran dengan hati adalah tanda ketiadaan iman. Kata Abdullah ibn Mas’ud: “Binasalah orang yang tidak mengenal yang makruf dan mungkar dengan hatinya.” 


Benci kepada kemungkaran adalah dalil kuat iman dan tidak menghiraukan kemungkaran adalah dalil lemahnya iman. Setiap orang wajib menolak atau menghapuskan kemungkaran menurut kemampuannya. 

Jauhkan diri daripada tergolong dalam golongan orang yang derhaka terhadap Allah SWT dan rasulnya. Kewajipan bagi mereka yang beriman dan mengetahui ialah memberi penjelasan kepada orang yang jahil dengan ajaran yang baik. 

Setiap orang digalakkan melakukan perkara yang baik dan dilarang melakukan perkara yang merosakkan iman. 

Reda dengan dosa adalah berdosa dan reda dengan kufur adalah kufur. Selemah-lemah iman seseorang itu ialah mengatasi kemungkaran hanya dengan berdoa saja dan tidak didapati darjat keimanan seseorang yang lebih lemah daripada itu...

Lima kaedah untuk kukuhkan iman

Pendakwah sering menjadi contoh teladan serta rujukan. Oleh itu, aspek pengukuhan iman dan takwa perlu sentiasa ada dalam diri pendakwah untuk melaksanakan tugas menyebarkan Islam secara berterusan. 

Tugas berat ini memerlukan pendakwah memiliki kekuatan iman bagi memastikan kejayaan berdakwah dicapai selain mendapat pertolongan serta hidayah daripada Allah SWT. 
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah meminta ulama terkenal pada waktu, Bakar bin Amar bin Hazmi untuk memberikannya nasihat serta mengingatkan mengenai iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. 


Konsep pengukuhan iman perlu bagi melembutkan hati, mengasah jiwa supaya wujud nilai kebaikan dalam diri serta untuk melatih diri sensitif terhadap keburukan hingga mampu menjauhkan diri daripada semua perkara itu. 

Selain itu, ia juga dapat melatih diri dan memberi kekuatan untuk menghalang kemaksiatan serta kemungkaran dari menghampiri. 

Pengukuhan iman individu, kumpulan 

Pengukuhan iman dapat dilakukan secara individu atau dalam bentuk kumpulan. Peringkat individu ialah dengan melakukan muhasabah supaya dapat meningkatkan diri untuk terus berdakwah meninggikan syiar Islam menerusi pendekatan dan idea baru. 
Sementara program pengukuhan iman secara berkumpulan pula dapat dilakukan dengan melaksanakan amalan rohaniah secara kolektif serta memperbaharui tekad bersama untuk lebih produktif lagi. 

Selain itu, program pengukuhan iman turut memberi kepentingan untuk memantau keseimbangan dan perubahan yang berlaku dalam gerak kerja dakwah serta mengukuhkan semangat berdakwah selain meningkatkan usaha mendapatkan tenaga baru. 

Mengenai kepentingan pengukuhan iman, Abdullah Nasikh Ulwan berkata, ketika jiwa dai penuh dengan ketakwaan kepada Allah, mereka akan merasakan dekatnya diri dengan Allah SWT, kekuatan jiwanya dipenuhi pembacaan ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkan ibadat sunnah. 

Ketika bercakap, berkhutbah atau mengajak orang lain ke jalan Allah, akan ternampak pancaran cahaya daripada matanya, keikhlasan terserlah dari raut wajahnya, kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, nada kata-katanya dan lenggok tangannya. 

Bahkan perkataannya akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkong orang yang kehausan. 

Begitulah penting dan berkesannya kekuatan iman pendakwah. Kualiti sedemikian perlu menjadi keutamaan bagi setiap pendakwah, lebih-lebih lagi tugas dakwah tentunya menghadapi pelbagai cabaran serta halangan. 

Lima kaedah kukuh iman pendakwah 

Terdapat lima kaedah untuk pengukuhan iman pendakwah untuk melaksanakan usaha dakwah Islamiah iaitu sentiasa mengingati perjanjian seorang hamba dengan Rabbnya dan ikrar untuk terus berada dalam dakwah. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 91) 

Sentiasa merasakan diri dekat dengan Allah SWT (muraqabah). Ini dapat dilaksanakan dengan keyakinan keagungan Allah SWT serta keesaaan-Nya sepanjang waktu sama ada di waktu sunyi atau tidak. 

Ketiga, muhasabah diri yang menjadi tuntutan Islam supaya mempunyai daya kawalan diri yang baik serta sentiasa melakukan pembaikan terhadap kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan atau pengukuhan amalan. 

Melaksanakan hukuman apabila melakukan kesalahan supaya tidak mengulangi kesalahan sama. Hukuman itu mampu untuk menyedarkan diri sekali gus melatih untuk terus mengikut jalan takwa dan iman. 

Kelima, bersungguh-sungguh melaksanakan kerja dakwah. Mujahadah yang dituntut dalam kalangan pendakwah ialah memaksa diri apabila berlakunya sikap malas atau tidak bersemangat untuk berdakwah atau semangat kian merosot khususnya dalam aspek amalan dan beribadat. 

Oleh itu pendakwah disaran terus memperkukuh iltizam dalam melaksanakan usaha dakwah dengan sentiasa memperbaharui tingkatan iman secara berterusan bagi memastikan mereka menjadi dai yang murabbi (mendidik)...

MUTIARA KATAHATI

SALAHKAH MELAWAN ARUS?

Ungkapan mengalir seperti air terdengar begitu indah, bijak, dan puitis. Ramai dari kita yang menggunakan ungkapan ini sebagai falsafah hidupnya. Namun sayangnya, jika kita menyingkap atau memahaminya dengan cara yang salah, akan menjadikan diri kita terperuk dan tidak memiliki masa depan.

MEMBUAT ANDA MALAS BERUSAHA
Ciri pemahaman salah terhadap ungkapan mengalir seperti air adalah menjadikan diri anda menjadi tidak berdaya. Anda tidak melakukan apa-apa, anda malas, tetapi anda merasa benar dan merasa sudah mengikuti prinsip ini. Jangan sampai menggunakan ungkapan ini sebagai alasan kemalasan anda, tidak mau kerja keras, tidak berlatih, dan tidak mahu berusaha langsung!

MENUJU TEMPAT YANG RENDAH
Salah satu sifat air ialah selalu menuju tempat yang rendah, saat anda memikirkan ungkapan mengalir seperti air, jangan sampai bayangan anda memikirkan sasaran yang rendah. Anda tidak lagi berusaha untuk meraih prestasi yang tinggi. Pencapaian anda menurun, tenaga anda menurun, dan prestasi anda juga menurun. Kemudian dalam hati berkata, biarlah, saya memang memegang prinsip mengalir seperti air!

MENGHINDARI STRESS UNTUK STRESS YANG LEBIH BESAR
Kemungkinan kedua mengapa orang suka ungkapan ini kerana dia ingin santai, tidak mahu kerja keras, dan tidak mahu stress. Masalahnya, jika anda hanya mencari santai saat ini, maka bersedialah untuk tidak santai di kemudian hari. Jika anda menghindari stress sekarang, maka anda akan menghadapi stress yang lebih besar nanti.

Stress yang baik bila mana kita belajar dan berusaha ketika anda menghadapi masalah atau halangan mencapai tujuan anda. Contohnya kepada para peniaga, anda akan menghadapi masalah, membayar pembekal, dan pelanggan pula makin kurang. Ini semua membuatkan stress. Namun, stress ini adalah stress bagus, sebab akan mengaktifkan minda untuk membuat sesuatu yang lebih baik bagi mengatasi masalah anda.

MEMBAWA BENCANA PADA SEKITARNYA
Air yang mengalir dan tidak terkawal, akan membawa bencana kepada alam sekitar seperti banjir atau tsunami. Ketika anda malas, tidak berdaya, letih dan lesu, bukan hanya anda yang saja menderita, tetapi anda juga menjadi beban rakan di sekitar anda, bahkan menjadi beban negara!

Jika anda memegang prinsip mengalir seperti air, maka ubahlah persepsi anda terhadap ungkapan ini. 
Sesekali cubalah melawan arus !!!