Rabu, 9 Oktober 2013

Islam tuntut umat sentiasa lakukan perubahan

Perubahan adalah peraturan Ilahi yang pasti berlaku di alam semesta ini. Tidak ada sesuatu pun yang wujud di atas muka bumi ini melainkan pasti akan menghadapi perubahan sama ada secara fizikal mahupun spiritual. 

Allah SWT memberikan contoh yang jelas berkaitan perubahan berlaku dalam diri manusia seperti firman-Nya yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan dialah juga yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” (Surah al-Rum, ayat 54) 

Islam menekankan pentingnya perubahan, proses yang tidak hanya terhad pada sifat dan perilaku manusia, malah turut menganjakkan paradigma pemikiran serta sistem kehidupan. Perubahan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW daripada kehidupan jahiliah kepada kehidupan penuh keimanan. 


Inilah yang ditegaskan Allah SWT sebagai perubahan daripada kegelapan kepada cahaya iman dalam firman-Nya yang bermaksud: “Alif Lam Raa. Ini ialah kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim, ayat 1) 


Manusia dituntut lakukan perubahan 

Jelas di sini manusia amat dituntut melakukan perubahan dalam kehidupan iaitu berubah daripada keadaan tidak baik kepada yang baik dan keadaan yang baik kepada lebih baik lagi. 
Barangkali inilah maksud Rasulullah melalui sabdanya: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Makkah, tapi dengan jihad juang dan niat yang tulus, dan bila kamu diperintahkan berjihad maka hendaklah kamu patuhinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hijrah di sini bukan bermakna kita cuba melarikan diri atau mahu menyerah kalah, sebaliknya ia lebih salah satu koleksi nostalgia silam bermotifkan menyedarkan umat Islam persediaan untuk menyusun strategi dalam medan perjuangan penuh cabaran. 

Berasaskan ketulusan niat, kekentalan azam dan kemantapan iman serta menyimpul kemas satu keyakinan baru untuk mencapai kesejahteraan hakiki, juga kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. 

Meninjau senario umat Islam kini, mereka terhumban jauh dalam persaingan hidup dengan bergelut pelbagai kancah kegawatan hingga umat Islam kini terhimpit dengan kemelut kemunduran, kemiskinan, perpecahan dan perbalahan sesama sendiri. 

Disebabkan itu, umat Islam kini dilabelkan sebagai umat mundur, pelampau, konservatif atau jumud dan umat akhirat semata-mata. Umat Islam pula seolah-olah reda dengan gelaran itu, sedangkan, hakikatnya sepatutnya tidak begitu. 


Krisis menimpa umat Islam 

Sebenarnya, krisis demi krisis yang menimpa umat Islam ini bukan hanya membabitkan segelintir umat Islam tetapi turut membabitkan semua lapisan masyarakat Islam, institusi keluarga Muslim, masyarakat Islam dan kerajaan Islam. 

Kesemuanya mempunyai sumbangan tersendiri dalam menentukan hala tuju dan visi sesuatu bangsa. Seandainya warga Muslim berperanan sebaik-baiknya menurut ketentuan Ilahi, sudah pastinya keunggulan dan kecemerlangan menjadi milik mereka. 

Justeru, perubahan penting dilakukan bermula dari sekarang dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemikiran, pemahaman, penghayatan dan pengamalan secara menyeluruh terhadap ajaran Islam. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 208) ...

Tiada ulasan: