Isnin, 21 Oktober 2013

ALAM DAN MANUSIA

Alam dan manusia ibarat aur dengan tebing, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Begitulah anugerah Allah SWT kepada manusia supaya segala keperluan untuk penghidupan berada dalam serba sempurna. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah SWT menghendaki supaya mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Allah SWT menghamparkan bumi dengan pelbagai kenikmatan untuk manusia. Gunung-ganang, bukit-bukau tegak berdiri kukuh, hutan rimba hijau merimbun dan sungai mengalirkan airnya yang tenang adalah kombinasi elemen paling lengkap untuk kebahagiaan hidup manusia di bumi ini. 

Sistem biodiversiti dan ekologi yang tersedia dengan rapi sempurna membuktikan kekuasaan Allah SWT. Pelbagai flora dan fauna menghidupkan kesejahteraan alam ini di samping manusia dan semuanya itu mengandungi hikmah.

Namun, kini hutan rimba ditebang, bukit-bukau ditarah dengan gelojohnya lalu dibangunkan ‘hutan-hutan batu’. Demikian jugalah nasib sungai yang mengalir lesu lantaran ‘dibaluti’ timbunan sampah sarap cukup menjijikkan serta menyakitkan mata memandang.

Kepintaran akal nilai baik buruk 
Manusia adalah sebaik-baik kejadian yang dianugerahkan kepintaran akal untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Menebus guna kawasan bukit atau hutan seolah-olah mengundang bencana kerana mengabaikan amanah Allah SWT kepada manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pancang pasak yang menetapkannya). (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu.” (Surah an-Naziaat, ayat 30-33) 

Kita perlu insaf bahawa apa saja yang ada di muka bumi ini terdapat hikmah dan manfaatnya dan disebabkan itu Allah SWT memberi peringatan jelas kepada umat manusia supaya menjaga serta memelihara khazanah bumi dengan baik.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya.” (Surah al-A’raf, ayat 56) 

Allah SWT memberi amaran kepada sekalian manusia jangan merosakkan apa yang tersedia. Ingatlah, sikap rakus manusia hanya akan menimbulkan kerosakan dan hakikatnya itulah yang berlaku sekarang ini kepada alam sekitar di seluruh dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Telah timbul kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah SWT menghendaki supaya mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum, ayat 41) 

Akibat daripada perbuatan manusia sudah pun dirasai mereka berikutan berlaku perubahan cuaca, pemanasan global, gempa bumi, tsunami dan pelbagai lagi bencana alam yang datang bertimpa-timpa menyebabkan kemusnahan harta benda serta meragut nyawa. 

Manusia enggan ubah cara hidup

Malangnya, manusia terus leka dan enggan mengubah cara hidup supaya menghormati alam sekitar dengan memastikan fungsi kejadiannya sebagai pasak bumi, penghasil oksigen dan karbon dioksida yang semuanya supaya pusingan kehidupan berjalan lancar.

Justeru, umat manusia perlu memakmurkan sumber alam dengan mengikut garis panduan ditetapkan Allah SWT yang Maha Pencipta. Pengabaian terhadap amanah itu jelas hanya akan merugikan manusia.

Pembinaan tamadun dalam Islam turut melihat kepada hubungan manusia dengan alam yang menjadi satu prinsip utama selain hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan manusia.

Sebagai manusia beriman, kita mesti menggunakan segala anugerah Allah SWT secara bijaksana dan penuh budiman. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Oleh itu, marilah bersama berazam untuk memelihara alam sekitar dengan memastikan kita tidak menjadi penyumbang kepada kemusnahannya. Jangan disebabkan tindakan tidak berhemah, Allah SWT menarik nikmat disediakan kepada makhluk-Nya...

Tiada ulasan: