Isnin, 28 Oktober 2013

Lima kaedah untuk kukuhkan iman

Pendakwah sering menjadi contoh teladan serta rujukan. Oleh itu, aspek pengukuhan iman dan takwa perlu sentiasa ada dalam diri pendakwah untuk melaksanakan tugas menyebarkan Islam secara berterusan. 

Tugas berat ini memerlukan pendakwah memiliki kekuatan iman bagi memastikan kejayaan berdakwah dicapai selain mendapat pertolongan serta hidayah daripada Allah SWT. 
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah meminta ulama terkenal pada waktu, Bakar bin Amar bin Hazmi untuk memberikannya nasihat serta mengingatkan mengenai iman dan ketakwaan kepada Allah SWT. 


Konsep pengukuhan iman perlu bagi melembutkan hati, mengasah jiwa supaya wujud nilai kebaikan dalam diri serta untuk melatih diri sensitif terhadap keburukan hingga mampu menjauhkan diri daripada semua perkara itu. 

Selain itu, ia juga dapat melatih diri dan memberi kekuatan untuk menghalang kemaksiatan serta kemungkaran dari menghampiri. 

Pengukuhan iman individu, kumpulan 

Pengukuhan iman dapat dilakukan secara individu atau dalam bentuk kumpulan. Peringkat individu ialah dengan melakukan muhasabah supaya dapat meningkatkan diri untuk terus berdakwah meninggikan syiar Islam menerusi pendekatan dan idea baru. 
Sementara program pengukuhan iman secara berkumpulan pula dapat dilakukan dengan melaksanakan amalan rohaniah secara kolektif serta memperbaharui tekad bersama untuk lebih produktif lagi. 

Selain itu, program pengukuhan iman turut memberi kepentingan untuk memantau keseimbangan dan perubahan yang berlaku dalam gerak kerja dakwah serta mengukuhkan semangat berdakwah selain meningkatkan usaha mendapatkan tenaga baru. 

Mengenai kepentingan pengukuhan iman, Abdullah Nasikh Ulwan berkata, ketika jiwa dai penuh dengan ketakwaan kepada Allah, mereka akan merasakan dekatnya diri dengan Allah SWT, kekuatan jiwanya dipenuhi pembacaan ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkan ibadat sunnah. 

Ketika bercakap, berkhutbah atau mengajak orang lain ke jalan Allah, akan ternampak pancaran cahaya daripada matanya, keikhlasan terserlah dari raut wajahnya, kejujuran terus mengalir bersama kelembutan suaranya, nada kata-katanya dan lenggok tangannya. 

Bahkan perkataannya akan meresap ke dalam hati dan melenyapkan kegelapan jiwa seperti air sejuk yang meresap di kerongkong orang yang kehausan. 

Begitulah penting dan berkesannya kekuatan iman pendakwah. Kualiti sedemikian perlu menjadi keutamaan bagi setiap pendakwah, lebih-lebih lagi tugas dakwah tentunya menghadapi pelbagai cabaran serta halangan. 

Lima kaedah kukuh iman pendakwah 

Terdapat lima kaedah untuk pengukuhan iman pendakwah untuk melaksanakan usaha dakwah Islamiah iaitu sentiasa mengingati perjanjian seorang hamba dengan Rabbnya dan ikrar untuk terus berada dalam dakwah. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nahl, ayat 91) 

Sentiasa merasakan diri dekat dengan Allah SWT (muraqabah). Ini dapat dilaksanakan dengan keyakinan keagungan Allah SWT serta keesaaan-Nya sepanjang waktu sama ada di waktu sunyi atau tidak. 

Ketiga, muhasabah diri yang menjadi tuntutan Islam supaya mempunyai daya kawalan diri yang baik serta sentiasa melakukan pembaikan terhadap kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan atau pengukuhan amalan. 

Melaksanakan hukuman apabila melakukan kesalahan supaya tidak mengulangi kesalahan sama. Hukuman itu mampu untuk menyedarkan diri sekali gus melatih untuk terus mengikut jalan takwa dan iman. 

Kelima, bersungguh-sungguh melaksanakan kerja dakwah. Mujahadah yang dituntut dalam kalangan pendakwah ialah memaksa diri apabila berlakunya sikap malas atau tidak bersemangat untuk berdakwah atau semangat kian merosot khususnya dalam aspek amalan dan beribadat. 

Oleh itu pendakwah disaran terus memperkukuh iltizam dalam melaksanakan usaha dakwah dengan sentiasa memperbaharui tingkatan iman secara berterusan bagi memastikan mereka menjadi dai yang murabbi (mendidik)...

Tiada ulasan: