Ahad, 20 Oktober 2013

Ibadah tak sempurna jika abai golongan susah

Sifat soleh secara sosial diterjemahkan dalam bentuk keupayaan manusia membina hubungan muamalah yang baik sesama manusia seperti ambil berat terhadap jiran, bersedekah, menolong dan menyantuni anak yatim dan fakir miskin, gemar bergotong-royong dan tidak menyakiti hati orang. 

Tak sempurna ibadah abai nasib orang susah 

Tidak sempurna ibadah kita jika mengabaikan nasib saudara mara yang kurang beruntung dan hati tidak tergerak membantu golongan yang lemah dan tertindas. Seolah-olah Islam hanya mengajarkan egoisme dalam beribadah dan hanya tertumpu kepada bermuamalah kepada Allah saja. 

Ada antara kita mempunyai rekod hebat dalam berhubungan sesama manusia, tidak pernah lepas bersedekah, ambil berat kebajikan kakitangan, suka membantu jiran, bersikap baik kepada semua kenalan dan saudara mara. Malangnya, hubungannya dengan Allah atau pelaksanaan ibadah syarie masih terkial-kial. Cara beragama seperti ini juga tidak menunjukkan amal soleh yang ideal dalam Islam.

Amal soleh yang dituntut Islam adalah sejauh mana seseorang mematuhi dan menjalankan hubungan dengan Allah serta sesama manusia secara bersamaan. Satu bentuk sifat soleh menyeluruh menggabungkan hubungan dengan Allah secara ritual dan dengan manusia secara sosial. 

Imam Ibnu Qayyim al Jauziyah dalam bukunya I’dad al Shabirin wa Dzakirat al Syakirin, mengingatkan supaya setiap manusia jangan terlalu bangga dengan ibadah dan amal soleh yang mereka kerjakan serta menyatakan merekalah paling utama menjalankan sunnah Nabi dibanding manusia lain. 


Pelihara iman, tingkat amal soleh 


Sesungguhnya yang paling berhak atas diri Rasulullah SAW dalam meneladaninya adalah orang yang paling mengetahui sunnah beliau dan kemudian mengamalkannya. Al-Quran menjelaskan kehidupan yang baik apabila dapat memelihara iman dan mengisinya dengan amal perbuatan soleh. 

Justeru, walaupun seseorang itu hidup sangat sederhana di pondok kecil, tetapi ia dapat mempertahankan imannya daripada godaan hidup duniawi, maka Islam menganggap itu adalah hidup yang baik. 

Ada sesetengah manusia asalnya kuat beribadat, siang malam ke masjid, kemudian Allah SWT hendak menduga lalu memberikannya nikmat besar iaitu pangkat dan harta. Kemewahan itu akhirnya menyebabkan dia lalai dan tidak sempat lagi untuk menunaikan solat. 

Islam menjelaskan, kehidupan seumpama ini adalah yang paling rugi kerana ia kehilangan imannya meskipun kehidupannya amat mewah. 

Seorang pemuda kabilah Kindah dan pemimpin awal Islam, Al-Ash’ath bin Qeis, berkata: “Aku tidak mempunyai sebarang kelebihan berbanding kamu, tapi aku sentiasa mesra dan manis muka terhadap kamu, membelanjakan hartaku terhadapmu dan aku sentiasa menunaikan hak-hak kamu. Maka sesiapa yang melakukan lebih daripada yang aku lakukan, maka tentulah ia lebih baik daripadaku. Tetapi sekiranya aku melakukan sesuatu itu lebih baik daripada mereka, maka sudah tentu aku lebih baik daripada mereka.” 

Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat di antara mereka daripada manusia.” (Riwayat At-Tabrani) 

Sesuatu amal yang boleh memberi manfaat besar untuk diri kita dan orang lain, itulah yang dimaksudkan dengan amal soleh. Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain, bukan mendatangkan masalah. 

Sifat soleh tuntut keseimbangan hubungan dengan Allah dan manusia

Ibadah korban yang dilaksanakan baru-baru ini adalah manifestasi terpancarnya kesolehan sosial seseorang. Ibadah korban turut menekankan keprihatinan sosial yang tinggi dengan berkongsi makanan sesama manusia yang kurang beruntung. 

Kualiti amal soleh tidak hanya diukur oleh seberapa rajin dia solat tahajud, puasa sunat dan seberapa kerap menunaikan haji. 


Setiap perbuatan yang boleh menghapuskan penderitaan orang yang susah, semuanya dianggap ibadat yang amat bernilai di sisi agama dan berat timbangannya di sisi Allah walaupun pada pandangan kita sendiri perkara itu remeh saja. 

Apabila seseorang individu beramal dengan amal soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang boleh memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada mereka yang tidak melakukan sesuatu amalan pun. 

Sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan yang baik yang dikehendaki oleh Islam untuk dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. 

Neraca kebaikan 

Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah SWT. 

Banyak lagi hadis sahih menjelaskan mengenai manusia yang ideal mengikut sunnah iaitu yang berhati tulus dan berlidah lurus. 

Seorang sahabat pernah bertanya Nabi SAW: Apa yang dimaksudkan dengan berhati tulus? Nabi SAW bersabda: “Hati yang takwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki. Nabi SAW ditanya: Sesudah itu siapa? Kata Nabi SAW: Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat. Sesudah itu apa lagi? Mukmin yang berakhlak baik.” 

Manakala manusia paling jahat pula ialah yang suka menyebar fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain... 

Tiada ulasan: