Sabtu, 19 Oktober 2013

Keikhlasan Tunku, muslihat Chin Peng

CHIN PENG tidak pernah berniat hendak meletakkan senjata. Pendirian tersebut sebenarnya sudah pun dibuat sebelum pemimpin paling berkuasa dalam Parti Komunis Malaya (PKM) itu menghadiri Rundingan Baling pada 1955 lagi.
Menurut dokumen rasmi yang diperoleh Mingguan Malaysia, suatu mesyuarat penuh Jawatankuasa Pusat (CC) telah diadakan di lokasi rahsia di sempadan Malaysia-Thailand, sebelum Rundingan Baling berlangsung.
Tujuan mesyuarat adalah untuk membincangkan pendirian yang akan diambil oleh PKM semasa Rundingan Baling, dan pada masa sama merangka pelan kontinjensi struktur kepemimpinan PKM sekiranya sesuatu yang tidak disangka berlaku kepada Chin Peng semasa rundingan.
Pada mesyuarat itu, Chin Peng mengesahkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung dan Lau Li dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung PKM. Musa Ahmad pula dilantik Ahli Jawatankuasa Pusat (CCM) merangkap Pengerusi manakala Balan sebagai Naib Pengerusi yang juga CCM.
CCM lain ialah Chen Jui, Abdullah CD, Rashid Mydin, Chan Tien dan Chin Peng sendiri.
Mesyuarat CC itu memutuskan sekiranya sesuatu berlaku kepada Chin Peng semasa Rundingan Baling, tempatnya akan digantikan oleh Lau Li. Tujuan Rashid Mydin dihantar menyertai delegasi PKM ke rundingan itu pula dikatakan bagi memastikan kepimpinan Rejimen Ke-10 diambil alih oleh Abdullah CD, orang kepercayaan Chin Peng. Ketika rundingan itu berlangsung, Musa dan isterinya, Zainab Mahmud berada di Peking (Beijing), China, kerana diarah "melanjutkan pengajian" di negara itu.
Senjata
Chin Peng menyedari taktik kekerasan yang digunakan oleh komunis telah gagal jadi dia berusaha untuk mempertahankan PKM dengan cuba meraih sesuatu daripada rundingan yang akan dijalankan itu.
Chin Peng mahu PKM diiktiraf sebagai parti politik yang sah di Tanah Melayu tetapi pada masa sama, dibenarkan terus menyimpan senjata. Seperti yang semua maklum, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menolak syarat Chin Peng sebaliknya menuntut komunis menyerah diri dan meletakkan senjata.
Syarat ini yang tidak dipatuhi oleh PKM lantas menggagalkan Rundingan Baling.
Menurut dokumen tersebut, dua wakil Jabatan Perhubungan Antarabangsa (ILD) Parti Komunis China (PKC), Liu Ning Yi dan Huang Wei kecewa atas kegagalan rundingan tersebut. Ini kerana mereka melihat rundingan itu sebagai suatu peluang keemasan untuk PKM mendapatkan pengiktirafan yang sah.
Wakil ILD itu sendiri terkejut dengan kesediaan Tunku Abdul Rahman untuk menyertai rundingan walaupun hakikatnya PKM pada masa itu dalam kedudukan amat lemah.
Malah mereka melihat Rundingan Baling suatu perkembangan luar biasa yang tidak pernah dialami oleh PKC, merujuk kepada keengganan Chiang Khai-Shek, pemimpin Kuomintang (KMT) untuk berunding dengan ketua revolusi komunis China, Mao Tse-Tung ketika PKC dalam keadaan lemah...


Tiada ulasan: