Khamis, 31 Oktober 2013

CABARAN BESAR TANGANI KRISIS AKHLAK ...

Ibu bapa kurang pengetahuan agama antara faktor gagal tarbiah anak

Mendepani krisis akhlak adalah satu cabaran besar kepada umat Islam yang bertanggungjawab. Berita keruntuhan akhlak individu Muslim daripada pelbagai peringkat usia telah sekian lama menjadi kebimbangan yang berterusan. 

Malangnya, gagasan dan wawasan yang dirangka dan dirangkum untuk menangani krisis ini seakan kurang membantu mengurangkan pandemik wabak hedonisme yang melanda. Meskipun Islam menyediakan teori pembinaan akhlak dan sosial yang lengkap, ia sering kali terlepas pandang. 

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari)

Hal ini mungkin disebabkan pelbagai faktor luaran dan dalaman yang membataskan usaha setiap ibu bapa membina akhlak Islami dalam institusi kekeluargaan atau proses pemulihan akhlak anak mengikut tarbiah kekeluargaan.

Agama, akhlak sendi ketakwaan

Akhlak adalah sifat gambaran zahir, jiwa dan batin seseorang sama ada yang baik atau buruk. Justeru, gambaran zahir dan batin yang baik melahirkan akhlak baik dan begitulah sebaliknya. Akhlak salah satu cabang yang paling utama dalam Islam. 

Pentingnya akhlak yang mulia tergambar daripada sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari) 
Tanpa akhlak, akidah, ibadah dan muamalat individu Muslim tidak akan lengkap dan sempurna. Seperti disebut Luqman Al-Hakim, agama dan akhlak adalah sendi ketakwaan. 

Hakikat ini dibuktikan hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menceritakan Nabi SAW ditanya apakah amalan kebanyakan manusia yang membolehkan mereka masuk ke syurga. 

Baginda SAW bersabda, sifat takut kepada Allah SWT dan pengamalan akhlak yang baik. Baginda juga ditanya, apakah kebanyakan amalan yang menyebabkan seseorang masuk ke neraka. Baginda SAW bersabda, mulut dan kemaluan, iaitu akibat daripada perkataan yang keji dan perlakuan zina.

Hari ini, krisis akhlak bukan saja berlaku dalam kalangan remaja Muslim di bandar, tetapi juga di luar bandar. Mutakhir ini, jenayah lebih buruk rentetan daripada kegagalan menangani masalah sosial remaja di peringkat awal telah berleluasa.

Antaranya hamil anak tidak sah taraf, pembuangan bayi, rogol dan bunuh, rompakan bersenjata serta pembunuhan berkumpulan. Sebanyak 233 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh Malaysia dalam tempoh 32 bulan, iaitu dari Januari 2010 sehingga Ogos 2012.

Perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan pada 2006 hingga 2010 seramai 234,674. Sabah, Selangor, Sarawak dan Johor mencatatkan jumlah tertinggi dalam statistik kelahiran anak tidak sah taraf dari 2008 hingga 2010.

Tidak dinafikan, ibu bapa dan keluarga memainkan peranan besar dalam pembentukan jati diri dan akhlak setiap individu. Keluarga adalah hubungan sosial paling awal ditemui anak-anak sejak mereka dilahirkan ke dunia. 

Golongan remaja menyesuaikan dirinya dengan faktor persekitaran keluarga, lingkungan sosial dan budaya yang akan mencorakkan perkembangan tingkah laku mereka. Proses menghasilkan zuriat yang cemerlang sahsiah dan ketrampilan bermula seawal memilih ibu dan bapa kepada anak.

Doa makan antara proses tarbiah

Walaupun belum boleh memahami, kebiasaan ibu bapa membacakan doa makan sebelum membenarkan bayi menyusu badan adalah salah satu proses tarbiah yang boleh menjadi kebiasaan. Jika anak dibiasakan dan diajar dengan kebaikan, tidak mustahil mereka membesar dengan kebaikan tetapi jika sebaliknya, ia akan membesar dengan kejahatan.

Dalam konteks kekeluargaan, ibu bapa sering dikatakan punca krisis sosial anak-anak dan menjadi orang kena tuduh yang bertanggungjawab terhadap setiap salah laku anak. 

Walaupun terdapat faktor lain yang menyumbang kepada krisis akhlak masa kini, tidak dapat dinafikan jika setiap ibu bapa memainkan peranan utama dan berterusan dalam memantapkan serta memantau akhlak anak, krisis akhlak semasa mungkin boleh dikurangkan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari) 

Terdapat beberapa faktor yang menggagalkan tarbiah Islamiah dalam institusi kekeluargaan seperti kurangnya ilmu dan pengetahuan agama ibu bapa sendiri serta anak-anak. Selain itu, tanggungan bebanan ekonomi yang tinggi menyebabkan ibu bapa kurang memberi perhatian dan kasih sayang sewajarnya kepada anak-anak kerana terpaksa meluangkan sebahagian besar masa mencari nafkah.

Krisis akhlak menuntut iltizam tinggi semua pihak. Keutamaan kini ialah memandu kehidupan berlandaskan agama, disuluh dengan ilmu dan ditampung oleh malu. 

Tiada ulasan: