Isnin, 30 September 2013

Kuasa kepemimpinan tak boleh dibeli

Jika tidak tahu membela rakyat, padamkan saja hasrat menjadi pemimpin

Kuasa kepemimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli atau seumpama barangan mainan yang boleh bertukar tangan. Sebaliknya, kuasa itu wajib diberikan kepada orang yang benar-benar layak dan berkarisma. Mereka juga mesti jujur kepada diri sendiri, ikhlas dan berupaya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Tugas pemimpin tidak semudah berbanding usaha berebut untuk menjadi pemimpin. 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya.” (Riwayat Imam Ahmad) 

Membeli undi untuk jadi pemimpin adalah perbuatan tidak bermoral dan bermaruah. Seseorang yang menggunakan wang untuk mendapat jawatan dan pengaruh akhirnya akan dijatuhkan dengan cara begitu. Ahli yang membenarkan diri mereka dipengaruhi pemimpin tidak bermoral juga akan terpalit dengan kekotorannya. 



Istilah banyak wang boleh jadi pemimpin 

Istilah politik bahawa siapa banyak wang boleh jadi pemimpin adalah seburuk-buruk keyakinan dan kepercayaan. Lebih mendukacitakan, bila mana masyarakat membiarkan keyakinan ini terus hidup dan bergerak dalam minda mereka. 

Pandangan dan kepercayaan begini sememangnya hina dan terkutuk. Mengapakah masih ada lagi mereka yang sanggup bersubahat dengan amalan khianat dan menjijikkan ini. Mereka turut menanggung dosa. Pemberi wang, penerima dan perantara adalah berdosa. 
Daripada Thauban, katanya, “Rasulullah SAW melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya.” (Riwayat Ahmad dan Hakim) 

Apabila kita berlaku jujur pada diri, jangan mengharapkan orang lain akan berlaku jujur pada kita. Sekalipun jika ada yang berfatwa untuk menghalalkan yang salah, namun jiwa Mukmin yang ikhlas akan tetap teragak-agak dan ragu mengenainya. 

Jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tiada kaitan sama sekali dengan jawatan dan kedudukan dipegang atau dikejar, maka itu adalah hadiah. Jika pemberian diberikan mempunyai kaitan dengan jawatan dipegangnya atau dikejar, maka tunggulah balasannya. 

Pemimpin tidak usah membezakan dirinya dengan rakyat walaupun mempunyai sejumlah harta dan kekayaan yang bertimbun. Seandainya mereka tidak pernah membela kehidupan rakyat maka padamkan cita-cita untuk menjadi pemimpin. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam, kemudian tidak membela rakyatnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak juga bersikap tulus membimbing mereka melainkan ia tidak akan masuk syurga bersama rakyatnya.” (Riwayat Muslim) 

Kempen kotor 

Percayalah, sesiapa daripada kalangan pemimpin diangkat naik melalui kempen kotor akan akhirnya menemui kekecewaan juga. Mereka yang bermain dengan pisau akan mencederakan diri sendiri juga akhirnya. 

Pemimpin yang dipilih rakyat untuk memimpin adalah suatu taklif, yakni mandat dan bukannya tasyrif iaitu kemuliaan diberikan Allah. Mereka yang diberi taklif perlu bertanggungjawab dan beramanah sepenuhnya kepada Allah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab, ayat 72)  

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW: “Kepemimpinan itu satu amanah yang berat yang pada hari kiamat nanti, ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan seorang pemimpin yang melaksanakan dengan amanah dan adil kepada rakyat bawahannya.” (Riwayat Abu Hanifah) 

Syeikh Abdus Salam B Barjas dalam kitabnya Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah telah menggariskan beberapa kaedah dalam menentukan siapakah yang dikatakan pemimpin. 

Pemimpin adalah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat serta rakyat sama ada dari sudut perundangan, kuasa, kekuatan, sokongan rakyat ataupun ketenteraan.

Pemimpin juga mereka yang dipilih atau telah menang dan memegang kuasa pemerintahan, maka dia adalah pemimpin yang wajib ditaati, dihormati serta tidak boleh dilawan. Walaupun pemimpin itu tidak memenuhi syarat kelayakan sebagai pemimpin namun apabila telah dilantik pemimpin maka wajib ditaati. 

Kewujudan seorang pemimpin adalah suatu keperluan bagi tujuan menjaga urusan dan kemaslahatan hal ehwal umat Islam seperti menjaga keamanan, perpaduan, mengawal serangan musuh serta menegakkan agama. 

Untuk melantik atau memilih seorang pemimpin bukanlah suatu kerja yang mudah. Seseorang itu tidak dibenarkan melantik atau mencalonkan dirinya menjadi pemimpin. Apalagi mengaku dirinya berkebolehan, hebat dan memiliki kebaikan dalam memimpin. 

Orang yang mengaku dia adalah pemimpin yang baik, adalah orang yang tidak baik untuk dipilih sebagai pemimpin. Ertinya akuan pemimpin seperti ini adalah bertentangan dengan keupayaan sebenarnya. 

Manusia yang mendengarnya rasa jelik kerana dalam Islam tidak dibenarkan untuk mengangkat diri kerana perlakuan demikian menggambarkan keangkuhan dirinya. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang hamba yang diangkat oleh Allah sebagai pemimpin ke atas orang yang dipimpinnya, kemudian ia tidak menjaga mereka dengan nasihatnya, melainkan ia tidak akan mencium aroma (wanginya) syurga.” (Riwayat Bukhari) ...

Suami dahulukan usaha atasi krisis rumah tangga

Amru bin Ahwas al-Jusyami berkata, “Ketika Rasulullah melakukan haji perpisahan, beliau memberi nasihat kepada orang ramai. Beliau membaca ‘Alhamdulillah’, kemudian memuji Allah, lalu bersabda: Ingatlah. Berilah nasihat kepada kaum wanita dengan sebaik-baiknya. Mereka itu ibarat orang tawanan kamu. Kamu tidak mendapat apa-apa daripada mereka melainkan bergaul sebagai suami isteri. 

Jika mereka berkelakuan buruk, tidurlah berasingan dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakiti. Tetapi jika mereka taat semula kepadamu, janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahannya dengan tujuan menyakiti mereka. 

Ingatlah bahawa kamu semua mempunyai hak ke atas isterimu. Begitu juga isteri kamu mempunyai hak ke atasmu. Hak kamu yang wajib isteri patuhi ialah tidak memberi tempat kepada orang yang tidak kamu sukai iaitu tidak duduk berdua-duaan dengan lelaki lain dan tidak membawa orang lain masuk ke rumah tanpa izin suaminya. Ingatlah kamu bahawa hak mereka pula adalah kamu melayannya dengan baik dan memberi pakaian serta makanan kepada mereka.” (Riwayat Tirmizi, katanya ini hadis hasan sahih) 



Hubungan suami, isteri 

Hubungan antara suami isteri turut dijelaskan Islam, agama yang menjadi cara hidup penganutnya kerana memahami tanggungjawab wajib ditunaikan bermakna memastikan semua hak setiap insan itu dipelihara sebaiknya. 

Jika isteri memenuhi tanggungjawab dan suami juga memahami peranan serta kedudukannya sebagai ketua keluarga, tidak akan timbul sebarang masalah dalam perhubungan suami, isteri serta anak-anak. 
Malangnya, disebabkan tidak menghayati ajaran Islam menjadikan suami lupa tanggungjawab. Apabila berlaku perselisihan, suami bukan saja tidak berusaha mengatasi malah menambahkan lagi masalah dengan sifat cepat marah mereka. 

Laporan keganasan rumah tangga yang kini mudah tersiar dalam laman sosial menunjukkan kepincangan masyarakat hingga suami tidak ada lagi perasan segan silu memukul isteri di tempat awam. 

Masyarakat juga perlu bimbang dengan kes isteri menjalin hubungan dengan pasangan yang ditemui di alam maya. Semua itu sebenarnya mencerminkan keimanan serta penghayatan terhadap larangan serta suruhan agama...

Ahad, 29 September 2013

Jangan timbulkan masalah kepada orang lain

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42) 

Iyad bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim) 

Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati. 


Sebagai hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32) 

Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan. 

Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa. 
Namun, ada berdepan kesukaran. Walaupun berusaha mengikut daya kemampuan diri, nasib masih tidak menyebelahi. Ibarat kain pagi makan pagi, kais petang makan petang. Justeru, hikmah hidup bersaudara supaya ada rasa saling bantu membantu dan prihatin. 

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa tidak beriman mereka jika tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jiran mereka kelaparan. Alangkah benarnya Islam hingga perkara membabitkan perut diberi perhatian khusus.

Realiti yang berlaku, jiran bukan saja tidak sedar kelaparan dirasakan jiran mereka, malah jika tahu pun, tiada usaha dilakukan. Alasannya, tidak mahu masuk campur urusan orang lain atau takut dikatakan sebagai penyibuk. 

Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan. 

Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain...

Usia 40 masa berjinak ke masjid, surau

Jangan tunggu usia lanjut untuk mendalami ilmu agama...
Individu dipanggil pak cik, mak cik kena perbanyak ibadah sunnah

Ada yang terkesima sehingga benar-benar percaya kehidupan hanya bermula ketika usia menjejaki umur 40 tahun seperti ungkapan popular wartawan Amerika Syarikat, Helen Rowland, yang sering dirujuk untuk dikaitkan dengan perubahan diri. 

Kepercayaan itu kemudian diterjemahkan dalam konteks negatif hingga masa yang ada diperuntukkan untuk berhibur dan berseronok semata-mata. Ia diburukkan lagi dengan kepercayaan songsang hidup hanya sekali lalu dihabiskan mengikut runtunan hawa nafsu. 

Di sudut pandang yang lain, seseorang yang menjejaki usia ini sebenarnya berada pada satu tahap kematangan, nilai peribadi serta akhlak sempurna lalu mampu membuat keputusan dengan bijaksana. Umur ini juga permulaan umur dewasa yang selayaknya seseorang berfikiran lebih waras dan melakukan sesuatu berasaskan pertimbangan akal sempurna. 


Al-Quran secara khusus menyebut mengenai umur 40 tahun supaya menjadi peringatan manusia untuk bermuhasabah dan memikirkan hala tuju kehidupan diri sendiri. 

FirmanNya yang bermaksud: “Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15) 

Malah persoalan penting untuk dibicarakan ialah apakah yang perlu dilakukan oleh golongan yang sudah menjejaki umur 40 tahun. Adakah ia suatu permulaan kepada kehidupan dipenuhi keseronokan, kelalaian dan kealpaan atau difokuskan untuk melipatgandakan usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. 

Bagi yang jarang solat berjemaah, boleh jadi inilah masa terbaik untuk mula berjinak-jinak ke masjid. Bagi yang selalu disibukkan dengan pelbagai aktiviti seharian, cubalah untuk mencuri masa bagi membaca ayat suci al-Quran mahupun melakukan pelbagai aktiviti yang disunnahkan. 
Jika ada yang belum berkesempatan menunaikan fardu haji kemungkinan bolehlah menyediakan perbelanjaan untuk menunaikan ibadah umrah dan menziarahi makam Nabi Muhammad SAW sambil menanti kuota haji. 

Atau setidak-tidaknya berusaha mempertautkan hubungan silaturahim antara sesama manusia bukan menimbun dosa menceritakan keburukan dan perihal orang lain seharian. 

Golongan yang seronok menghabiskan masa berborak-borak di warung atau kedai mamak, eloklah berubah melakukan aktiviti yang lebih berfaedah. Apatah lagi jika ada golongan berusia 40-an, tetapi masih seronok bertukar pasangan dan berfoya-foya. 

Semua ini sepatutnya mula menjadi rutin harian golongan berusia 40-an sebagai persediaan menyahut panggilan Ilahi yang bakal kunjung tiba tanpa disedari. Benar, mati tidak mengenal usia akan, tetapi kalau sudah mula dipanggil pakcik dan makcik, tetapi masih berperangai buruk dan kebudak-budakan boleh jadi suatu petanda buruk buat individu berkenaan. 

Ibrahim al-Nakhai pernah menyebut, seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya. 
Umur 40-an turut mempunyai keistimewaan tersendiri kerana Allah SWT mengangkat kebanyakan nabi dan rasul-Nya termasuk Nabi Muhammad SAW sebagai rasul untuk mengajak manusia kepada mengesakan Allah SWT dan mencegah perbuatan mungkar dilarang. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki manusia pada hari kiamat sehingga ditanya empat perkara, iaitu umurnya ke mana dihabiskan, usia mudanya ke mana dipergunakan, hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah sudah diamalkan.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Kematian tokoh Ulama Muda Indonesia iaitu Habib Munzir al-Musawa merangkap ketua Majelis Rasulullah iaitu majlis zikir terbesar di Jakarta pada usia 40 tahun sepatutnya dijadikan iktibar. 

Ia sememangnya suatu kehilangan besar buat umat Islam di Alam Melayu yang mengenali beliau sebagai ikon pemuda yang taat beribadah dan lidahnya sentiasa basah dengan berzikir mengingati Allah SWT dan RasulNya. 

Pemergian beliau bukan sekadar ditangisi, tetapi dijadikan pengajaran bahawa mati tidak pernah mengenal usia tua mahupun muda. Apabila sampai detik dan ketika yang ditentukan, ia tidak akan berganjak walau sesaat. 

Tiada seorang pun mampu meramal detik kematian apatah lagi mengetahui bagaimana dan di mana dia akan dicabut rohnya oleh Malaikat Izrail. Lebih utama baik bagi golongan muda mahupun tua, berusahalah untuk membuat persiapan menemui mati dalam keadaan khusnul khatimah. 

Tinggalkan dunia ini dengan menabur jasa bakti dan nama yang baik sehingga dikenang buat selama-lamanya. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama...

Jumaat, 27 September 2013

MUSUH DALAM SELIMUT

SYIAH daripada segi bahasa bermaksud pengikut atau pendokong. Namun dalam sudut istilahnya adalah satu kumpulan lahir akibat pertikaian umat Islam ketika itu iaitu antara Ali dan Muawiyyah.
Walaupun daripada segi sejarahnya, kumpulan Syiah wujud akibat berlaku pertembungan politik antara Ali dan Muawiyyah, lama-kelamaan krisis berpanjangan itu menyebabkan lahirnya perpecahan mazhab akidah.
Namun krisis perbalahan berpanjangan antara golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah berlarutan sehingga ke hari ini sehingga mengakibatkan pertumpahan darah.
Istilah musuh dalam selimut juga muncul khususnya dalam kalangan pengikut Syiah yang beramal dengan rukun utama ajaran iaitu tarqiah (berpura-pura) khususnya ketika berhadapan dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Krisis pembunuhan umat Islam di Syria, Iraq, India dan beberapa negara lain adalah bukti golongan Syiah amat memusuhi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mengikut pandangan mereka, pihak yang sekongkol bersama para sahabat Nabi Muhammad SAW wajib ditentang.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Aizam Masod, salah satu sikap pura-pura pengikut Syiah adalah tawaran untuk berdamai dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau yang berpengalaman berdialog dengan pengikut Syiah Malaysia berkata, tawaran itu dikemukakan ketika mereka bersama-sama mengadakan perbincangan untuk mencari jalan kesepakatan bersama, namun pihaknya meletakkan beberapa syarat untuk ke arah itu.
Ujar Mohd. Aizam, antara syarat itu adalah meminta mereka menarik dan menghentikan perbuatan mengkafir dan menghina isteri Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
"Tetapi apabila diminta berbuat demikian, para pengikut Syiah enggan dengan memberikan 1,001 macam alasan sedangkan tawaran perpaduan telah dicadangkan oleh mereka sebelum ini.
"Mereka tidak mengaku pernah mengkafirkan Abu Bakar dan Umar. Sedangkan telah dijelaskan dalam kitab penulisan Syiah bahawa dua sahabat Rasulullah SAW itu wajib ditentang kerana mereka tidak melantik Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.
"Apabila diminta mengulas berkenaan kenyataan itu, mereka berdolak-dalik dengan mengatakan bahawa dua sahabat itu hanya kafir juz'e (separuh), bukan sepenuhnya," jelas Mohd. Aizam.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Ad-din bertajuk Bahaya Ajaran Syiah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Rahah, Kampung Kerinchi di ibu negara, baru-baru ini.
Mohd. Aizam yang kini ditugaskan berhadapan untuk menangani bahayanya Syiah di seluruh negara berkata, oleh sebab itu ulama tersohor, Dr. Yusof al-Qardhawi meletakkan beberapa syarat jika mereka ingin bersatu dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Antaranya, meminta mereka berhenti mengutuk para sahabat Nabi Muhammad SAW dan menamatkan usaha menyebarkan fahaman Syiah di negara majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Hina isteri nabi
Revolusi Iran pada 1979 sedikit sebanyak telah menambat hati umat Islam ekoran kejayaan kumpulan Syiah menjatuhkan kerajaan Shah Iran yang dikatakan cuba mendapatkan bantuan dari Amerika Syarikat.
Tetapi apakan daya, bantuan itu gagal dan akhirnya pemerintahan monarki, Shah Mohammad Reza Pahlavi tersungkur melalui revolusi rakyat yang didalangi pemimpin utama Syiah, Ayatollah Khomeini.
Menurut Mohd. Aizam, kejayaan itu telah menyebabkan ramai umat Islam termasuk beliau sendiri mengagumi Khomeini lalu berjaya menarik orang ramai daripada pelbagai lapisan untuk mendalami Syiah.
Tetapi jika diteliti kembali rentetan kejayaan, Mohd. Aizam berkata, ia ditunjangi oleh Syiah yang secara umumnya memusuhi Ahli Sunnah Wal Jamaah selain menisbahkan agama kepada Ahli Bait (keluarga Rasulullah SAW).
Tambah Mohd. Aizam, agama sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Malah kedua-dua panduan utama umat Islam itu mengiktiraf para sahabat dan tidak seperti sikap Syiah yang memusuhi mereka.
Sikap berdusta, menghalalkan pembunuhan ke atas golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertelagah sesama Islam merupakan salah satu sebab Syiah wajib ditolak.
"Walaupun Khomeini dilihat cuba menghilangkan tanggapan bahawa Syiah menolak agama dengan mengaplikasikan ajaran kumpulan dalam hukum fikah seperti pelaksanaan solat Jumaat di Iran, tetapi soal itu tidak berjaya mengubah persepsi buruk terhadap mereka.
"Pelaksanaan hukum fikah yang bercelaru seperti nikah mutaah (kontrak), solat lima waktu dipendekkan kepada tiga dan lain-lain lagi adalah caturan agama berlandasan akal dan bukannya wahyu," ujar Mohd. Aizam.
Selain itu, Mohd. Aizam berkata, kenyataan kumpulan Syiah yang mendakwa jumlah pengikut mereka di negara ini mencecah hampir 300,000 adalah satu pembohongan dengan bertujuan menarik orang ramai menyertai ajaran itu.
Mohd. Aizam berkata mengikut data yang dikeluarkan oleh pihaknya hanya ada 1,500 pengikut Syiah dan penipuan itu bagi mengelirukan orang ramai dengan menyatakan adalah mustahil kumpulan itu sesat jika mempunyai penambahan pengikut setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau memperjelaskan bahawa Syiah bukannya satu mazhab seperti mana Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki, tetapi kumpulan itu merupakan firqah (perpecahan) hasil pertelagahan umat Islam...


Rabu, 25 September 2013

Bacaan Yasin - Ust Hj Dzul Karnain FULL

AL-FATIHAH ...
DAH SAMPAI HUKUM NYA MANTAN MENTERI BESAR KEDAH,
“ INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN “
“Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “...
Bekas MB Kedah meninggal dunia. SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak disahkan meninggal dunia jam 11.10 pagi tadi...

MENGEKANG BAHAYA SYIAH

BAI’AT SAIDINA ALI BIN ABI TALIB R.A

Fitnah Pertama:
Pada bulan Zulhijjah tahun 35 Hijrah, di hari-hari Umat Islam sedang mengerjakan ibadat Haji, Umat Islam dikejutkan dengan peristiwa yang amat dahsyat dan menggerunkan mereka, peristiwa yang akan menjadi sebab berubahnya perjalanan tarikh Umat Islam, peristiwa yang akan terus menjadi noda hitam yang besar di tengah-tengah lembaran putih sejarah Umat Islam; Pembunuh Amirul Mukminin Khalifah al-Rasyid ke-3, Saidina Usman bin ‘Affan r.a.
Walaupun Usman r.a bukanlah Khalifah Islam pertama yang mati terbunuh kerana Khalifah sebelum beliau, Umar bin al-Khattab r.a juga syahid terbunuh, namun bezanya pembunuhan al-Faruq adalah di tangan seorang kafir majusi Abu Lu’Lu’ah Fairuz sedangkan pembunuhan Usman r.a adalah di tangan mereka yang bernama: Muslimin.
Buat pertama kalinya Umat Islam menyaksikan acara Demonstrasi Aman yang dianjurkan oleh lelaki Munafiq Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ namun, demonstrasi yang dikatakan oleh ketua-ketuanya sebagai Aman dan tidak berniat jahat selain hendak mendapatkan penjelasan daripada Khalifah akan beberapa keliruan dan salah faham berakhir dengan tumpahnya darah kekasih ALLAH dan Rasul-Nya, Saidina Usman bin ‘Affan r.a.
Peristiwa yang dahsyat ini menyebabkan jawatan terpenting Umat Islam, Khalifah menjadi kosong dari penyandang dan ini mendedahkan Umat Islam kepada bahaya kerana Khalifah adalah puncak dan pasak kepada Jamaah Kaum Muslimin, maka segeralah para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim mencari akan calon yang paling layak menggantikan tempat Usman r.a sebagaimana juga mereka bersegera bermesyuarat mencari Khalifah Rasulillah s.a.w selepas kewafatan baginda.
Calon yang paling layak setelah Usman r.a tanpa sebarang syak lagi adalah salah seorang Ahli Majlis Syura dan merupakan salah seorang calon Khalifah selepas kewafatan Umar r.a sebelum terpilihnya Usman r.a, menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w, Saidina Ali bin Abi Talib r.a.
Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah Dalam Masalah Khilafah:
Ahlus Sunnah wal Jamaah –ridwanullahi ‘alaihim- telah bersepakat bahawa Khalifah yang keempat dalam senarai Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w utk kita berpegang dengan Sunnah mereka setelah Sunnah baginda adalah Saidina Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu.
Kata Abdullah bin Ahmad bin Hanbal rahimahumallah:
“Aku bertanya kepada ayahku (Imam Ahmad) berkenaan susunan keutamaan antara Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali? Maka jawab ayahku: Abu Bakar, Umar, Usman, adapun Ali maka beliau adalah Khalifah yang keempat” [Al-Sunnah, Abdullah bin Ahmad, juz 2, m.s 218]
Kata Imam al-Tahawi r.h dalam Matan Akidah beliau:
وَنُثْبِتُ الْخِلَافَةَ بَعْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ أَوَّلًا لِأَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه تفضيلا له وتقديما على جميع الأمة ثُمَّ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه ثم لعثمان رَضِيَ اللَّهُ عَنْه ثُمَّ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه وهم الخلفاء الراشدون والأئمة المهديون
Maksudnya: “dan kami (Ahlus Sunnah wal Jamaah) menetapkan Khilafah selepas Rasulullah s.a.w yang pertamanya kepada Abu Bakar al-Siddiq r.a sebagai satu keutaman dan pendahuluan atas sekalian umat kemudian kepada Umar bin Al-Khattab r.a kemudian kepada Usman r.a kemudian kepada Ali bin Abi Talib r.a dan mereka inilah para Khalifah al-Rasyidin dan Imam-imam Al-Mahdiyun (yang mendapat petunjuk)”.
Dalil Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam masalah ini adalah hadis berikut:
Daripada Safinah Maula Rasulillah s.a.w-radiallahu ‘anhu- kata beliau:
Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda:
الخِلافَةُ ثَلاثونَ عَامًا، ثمّ يكونُ بَعْدَ ذلِكَ الملكُ
Maksudnya: “Khilafah (selepasku) adalah selama 30 tahun kemudian akan bertukar kepada (sistem) beraja” [HR Abu Daud, Al-Tarmizi, Al-Nasai]
Kemudian berkata Safinah r.a: “Peganglah (hitunglah); Khilafah Abu Bakar dua tahun, Umar 10 tahun, Usman 12 tahun, dan Ali 6 tahun”.
Kata Imam Al-Ajurry r.h: “Ketahuilah –semoga ALLAH merahmati kami dan kamu- bahawa tiada lagi seseorang selepas (kewafatan) Usman r.a seorang pun yang lebih berhak menyandang jawatan Khalifah selain Ali bin Abi Talib r.a”. [Al-Syari'ah, m.s 512].
Khilafah Ali radiallahu ‘anhu:
Kedudukan Ali r.a sebagai Khalifah kaum Muslimin tsabit dan berlaku melalui pembai’atan para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in setelah syahidnya Saidina Amirul Mukminin Usman bin ‘Affan r.a sebagaimana dalam hadis berikut:
عَنْ مُحَمَّدِ ابْنِ الْحَنَفِيَّةِ قَالَ: كُنْتُ مَعَ عَلِيٍّ، وَعُثْمَانُ مَحْصُورٌ، قَالَ: فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ: إِنَّ أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَقْتُولٌ، ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ: إِنَّ أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَقْتُولٌ السَّاعَةَ، قَالَ: فَقَامَ عَلِيٌّ، قَالَ مُحَمَّدٌ: فَأَخَذْتُ بِوَسَطِهِ تَخَوُّفًا عَلَيْهِ، فَقَالَ: خَلِّ لَا أُمَّ لَكَ، قَالَ: فَأَتَى عَلِيٌّ الدَّارَ، وَقَدْ قُتِلَ الرَّجُلُ، فَأَتَى دَارَهُ فَدَخَلَهَا، وَأَغْلَقَ عَلَيْهِ بَابَهُ، فَأَتَاهُ النَّاسُ فَضَرَبُوا عَلَيْهِ الْبَابَ، فَدَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا: إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ قَدْ قُتِلَ وَلَا بُدَّ لِلنَّاسِ مِنْ خَلِيفَةٍ، وَلَا نَعْلَمُ أَحَدًا أَحَقَّ بِهَا مِنْكَ، فَقَالَ لَهُمْ عَلِيٌّ: ” لَا تُرِيدُونِي، فَإِنِّي لَكُمْ وَزِيرٌ خَيْرٌ مِنِّي لَكُمْ أَمِيرٌ، فَقَالُوا: لَا وَاللَّهِ مَا نَعْلَمُ أَحَدًا أَحَقَّ بِهَا مِنْكَ، قَالَ: فَإِنْ أَبَيْتُمْ عَلَيَّ فَإِنَّ بَيْعَتِي لَا تَكُونُ سِرًّا، وَلَكِنْ أَخْرُجُ إِلَى الْمَسْجِدِ فَمَنْ شَاءَ أَنْ يُبَايِعَنِي بَايَعَنِي، قَالَ: فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَبَايَعَهُ النَّاسُ
Maksudnya: Daripada Muhammad bin al-Hanafiah (Muhammad bin ‘Ali bin Abi Talib r.a) berkata: Aku berada bersama ‘Ali pada waktu Usman dikepung lalu datang kepada beliau (Ali) seorang lelaki berkata: “Sesungguhnya Amirul Mukminin (Usman r.a) akan dibunuh”. Kemudian datang pula seorang lagi memberitahu: “Sesungguhnya Amirul Mukminin akan dibunuh sekarang”. Lalu Ali r.a bangun (untuk pergi mempertahankan Usman r.a) kata Muhammad bin al-Hanafiah: Maka aku menghalangnya kerana takut akan keselamatan dirinya. Lalu kata beliau (‘Ali): “Lepaskan, tiada ibu bagimu!”. Kata Muhammad: Lalu beliau mendatangi rumah Usman r.a dan mendapati beliau sudah pun dibunuh lalu beliau kembali ke rumahnya dan menutup pintu lalu manusia datang kepadanya mengetuk pintu dan masuk menemuinya lalu berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (yakni Usman bin ‘Affan r.a) sudah dibunuh sedangkan manusia memerlukan Khalifah sedangkan kami tidak tahu ada seorang pun yang lebih berhak akannya selain daripada kamu”. Lalu Ali r.a berkata kepada mereka: “Janganlah kamu mengkehendaki aku, sesungguhnya aku lebih baik menjadi Wazir (pembantu Khalifah) lebih baik daripada aku menjadi Ketua”. Lalu kata mereka: “Tidak Demi ALLAH, kami tidak ketahui seorang pun yang lebih berhak akannya daripada kamu”. Kata Ali r.a: “Jika kamu tetap enggan melainkan aku maka hendaklah pembai’atan aku tidak dilakukan secara rahsia tetapi aku akan keluar ke Masjid (Masjid Nabawi) maka barangsiapa yang hendak membai’at aku dia bai’atlah”. Kata Muhammad: “Maka beliau keluar ke Masjid dan manusia pun membai’at beliau”.
Yang dimaksudkan dengan “manusia” yang datang ke rumah Ali r.a hendak membai’at beliau adalah para Sahabat Rasulullah s.a.w sebagaimana dalam lafaz yag lain:
فَأَتَاهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ قَدْ قُتِلَ وَلَا بُدَّ لِلنَّاسِ مِنْ إِمَامٍ، وَلَا نَجِدُ أَحَدًا أَحَقَّ بِهَذَا الْأَمْرِ مِنْكَ، أَقْدَمَ مَشَاهِدًا وَلَا أَقْرَبَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: ” maka datang kepada beliau para Sahabat Rasulillah s.a.w lalu mereka berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (Amirul Mukminin Usman r.a) telah dibunuh sedangkan manusia memerlukan Imam (pemimpin) sedangkan kami tidak menemui seorang pun yang lebih berhak memegang urusan ini (khilafah) daripada kamu, orang yang terawal menyaksikan dan paling dekat dengan Rasulullah s.a.w…”
Hadis ini atau riwayat ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad r.h dalam kitab beliau: Fadail al-Sahabah no.969 dan al-Khallal dalam al-Sunnah, no. 620, 622, dan 623, Al-Ajurry dalam al-Syari’ah, no; 1215 dan ianya riwayat bermartabat Hasan atau Sahih.
Dalam riwayat di sisi Al-Tabari terdapat tambahan kata-kata Ibn ‘Abbas r.huma:
فَلَقَدْ كَرِهْتُ أَنْ يَأْتِيَ الْمَسْجِدَ مَخَافَةَ أَنْ يَشْغَبَ عَلَيْهِ، وَأَبَى هُوَ إِلا الْمَسْجِدَ، فَلَمَّا دَخَلَ دَخَلَ الْمُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارِ فَبَايَعُوهُ، ثُمَّ بَايَعَهُ النَّاسُ.
Maksudnya: “Adalah aku tidak suka untuk beliau datang ke masjid kerana aku takut akan berlaku huru-hara, tetapi beliau tetap hendak ke Masjid, maka apabila beliau telah masuk, Muhajirun dan Ansar juga masuk lalu mereka (al-Muhajirun dan al-Ansar) membaiat beliau kemudian diikuti orang ramai”. [Tarikh al-Tabari, 4/427].
Riwayat yang sahih ini menunjukkan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib r.a dibai’at dengan persetujuan Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi daripada kalangan Sahabat ridwanullahi ‘alaihim.
Dalam riwayat lain pula:
عَنْ أَبِي بَشِيرٍ الْعَابِدِيِّ، قَالَ: كُنْتُ بِالْمَدِينَةِ حِينَ قُتِلَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَاجْتَمَعَ الْمُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارُ، فِيهِمْ طَلْحَةُ وَالزُّبَيْرُ، فَأَتَوْا عَلِيًّا فَقَالُوا: يَا أَبَا حَسَنٍ، هَلُمَّ نُبَايِعُكَ، فَقَالَ: لا حَاجَةَ لِي فِي أَمْرِكُمْ، أَنَا مَعَكُمْ فَمَنِ اخْتَرْتُمْ فَقَدْ رَضِيتُ بِهِ، فَاخْتَارُوا وَاللَّهِ فَقَالُوا: مَا نَخْتَارُ غَيْرَكَ، قَالَ: فَاخْتَلَفُوا إِلَيْهِ بَعْدَ مَا قُتِلَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مِرَارًا، ثُمَّ أَتَوْهُ فِي آخِرِ ذَلِكَ، فَقَالُوا لَهُ: إِنَّهُ لا يَصْلُحُ النَّاسُ إِلا بِإِمْرَةٍ، وَقَدْ طَالَ الأَمْرُ، فَقَالَ لَهُمْ: إِنَّكُمْ قَدِ اخْتَلَفْتُمْ إِلَيَّ وَأَتَيْتُمْ، وَإِنِّي قَائِلٌ لَكُمْ قَوْلا إِنْ قَبِلْتُمُوهُ قَبِلْتُ أَمْرَكُمْ، وَإِلا فَلا حَاجَةَ لِي فِيهِ قَالُوا: مَا قُلْتَ مِنْ شَيْءٍ قَبِلْنَاهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.
Maksudnya: Daripada Abu Basyir al-’Abidi kata beliau: “Aku berada di Madinah ketika terbunuhnya Usman r.a maka berhimpunlah al-Muhajirun dan al-Ansar termasuk dalam kalangan mereka Talhah dan Al-Zubair lalu mereka datang kepada Ali r.a lalu mereka berkata: “Ke marilah kami bai’at kamu (sebagai Khalifah)”. Lalu beliau (Ali) berkata: “Aku tidak berhajat akan urusan kamu, aku bersama kamu, sesiapa sahaja yang kamu pilih maka aku meredainya maka pilihlah (selain aku) demi ALLAH”. Lalu mereka (para Sahabat) berkata: “Kami tidak akan memilih selain kamu”. Kata Abu Basyir: “Mereka datang kepada Ali berkali-kali sehingga yang kali terakhirnya mereka berkata kepadanya: “Sesungguhnya tidak boleh bagi manusia tanpa adanya pemimpin sedangkan telah berlanjutan masa (tanpa pemimpin)”. Lalu kata Ali kepada mereka: “Sesungguhnya kamu telah berulang kali datang kepada aku dan kamu enggan (memilih selain aku) dan sesungguhnya aku hendak berkata suatu perkara jika kamu menerimanya, maka aku menerima permintaan kamu, jika tidak maka aku tidak berhajat akannya (tidak berhajat menjadi Khalifah)”. Mereka berkata: “Apa sahaja yang kamu katakana kami akan terima insya-ALLAH”.
فَجَاءَ فَصَعِدَ الْمِنْبَرَ، فَاجْتَمَعَ النَّاسُ إِلَيْهِ، فقال: انى قد كُنْتُ كَارِهًا لأَمْرِكُمْ، فَأَبَيْتُمْ إِلا أَنْ أَكُونَ عَلَيْكُمْ، أَلا وَإِنَّهُ لَيْسَ لِي أَمْرٌ دُونَكُمْ، إِلا أَنَّ مَفَاتِيحَ مَالِكُمْ مَعِي، أَلا وَإِنَّهُ لَيْسَ لِي أَنْ آخُذَ مِنْهُ دِرْهَمًا دُونَكُمْ، رَضِيتُمْ؟ قَالُوا:
نَعَمْ، قَالَ: اللَّهُمَّ اشْهَدْ عَلَيْهِمْ، ثُمَّ بَايَعَهُمْ عَلَى ذَلِكَ.
قَالَ أَبُو بَشِيرٍ: وانا يومئذ عند منبر رسول الله ص قَائِمٌ أَسْمَعُ مَا يَقُولُ.
Maksudnya: Maka beliau (Ali r.a) menaiki minbar lalu manusia berkumpul kepada beliau lalu beliau berkata: “Sesungguhnya aku membenci urusan kamu (untuk menjadi pemimpin kamu), namun kamu tetap enggan melainkan untuk aku memimpin kamu, sesungguhnya tiada bagi aku urusan tanpa persetujuan daripada kamu melainkan kuncui-kunci harta kamu berada denganku, sesungguhnya aku tidak akan mengambilnya walaupun se-dirham tanpa pengetahuan kamu, adakah kamu reda akan ini?” Jawab mereka: “Ya”. Kata Ali: “Ya ALLAH Engkau saksikanlah atas mereka”. kemudian beliau menerima bai’at mereka atas dasar itu.
Kata Abu Basyir: “Sedangkan aku ketika itu berada di sisi Minbar Rasulullah s.a.w berdiri mendengar apa yang beliau katakana”. [Tarikh al-Tabari, 4/427-428].
Riwayat ini menjelaskan lagi dan merincikan lagi peristiwa pembai’atan Ali r.a dan isi kandungannya tidak lah lari daripada cerita asas yang terkandung dalam riwayat Sahih daripada Imam Ahmad r.h, maka riwayat seperti ini dalam penilaian ilmu sejarah adalah diterima dan matannya sahih, tiada padanya cerita-cerita yang mencemarkan nama baik Sahabat atau menggambarkan mereka dengan tingkah laku yang tidak layak dengan kedudukan mereka dan tsabitlah melalui riwayat-riwayat ini semuanya bahawa pembai’atan ‘Ali r.a adalah dengan keredaan dan kesepakatan para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in termasuk Talhah bin Ubaidullah r.a dan Al-Zubair bin al-’Awwam r.a.
عَنْ عَوْفٍ، قَالَ: كُنْتُ عِنْدَ الْحَسَنِ، فَكَانَ ثَمَّ رَجُلٌ انْتَقَصَ أَبَا مُوسَى بِاتِّبَاعِهِ عَلِيًّا، فَغَضِبَ الْحَسَنُ ثُمَّ قَالَ: «سُبْحَانَ اللَّهِ، قُتِلَ أَمِيرُ الْمُؤْمِنِينَ عُثْمَانُ، فَاجْتَمَعَ النَّاسُ عَلَى خَيْرِهِمْ فَبَايَعُوهُ، أَفَيُلَامُ أَبُو مُوسَى وَأَتْبَاعُهُ»
Maksudnya: “Daripada ‘Auf (‘Auf al-A’rabi) kata beliau: “Aku berada di sisi al-Hasan (al-Basri) r.h dan ada di sana seorang lelaki yang mencela Abu Musa (al-Asy’ari) r.a kerana mengikut Ali r.a lalu al-Hasan menjadi marah kemudian berkata: “Maha Suci ALLAH! Amirul Mukminin Usman dibunuh kemudian manusia (yakni para Sahabat r.hum) berhimpun kepada yang terbaik dalam kalangan mereka lalu mereka membai’atnya, apakah patut dicela Abu Musa dan para pengikutnya?!!”. [HR al-Khallal dalam al-Sunnah]
Dalam riwayat yang lain daripada ‘Auf kata beliau:
كُنْتُ عِنْدَ الْحَسَنِ، فَذَكَرُوا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Adalah aku berada di sisi al-Hasan lalu mereka menyebut tentang para Sahabat Rasulullah s.a.w…”[Dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad daripada Ayahnya dalam Fadail al-Sahabah].
Hasan al-Basri r.h adalah saksi peristiwa pembunuhan Usman r.a dan beliau berada di Madinah semasa kejadian dan semasa pembai’atan Ali r.a dan beliau adalah antara murid Ali r.a. Maka dengan pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa semua Sahabat yang berada di Madinah membai’at Ali r.a dengan keredaan dan pilihan mereka.
Bai’at Paksa?
Dakwaan bahawa pembai’atan Ali bin Abi Talib r.a dilakukan dengan pemaksaan daripada para pemberontak dan pembunuh Usman bin ‘Affan r.a adalah tidak benar bahkan terdapat riwayat-riwayat yang sahih menunjukkan bahawa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim tidak tunduk kepada desakan pemberontak; daripada Sallam bin Miskin r.h kata beliau:
سَمِعْتُ الْحَسَنَ قَالَ: لَمَّا كَانَ مِنْ عُثْمَانَ مَا كَانَ، وَاخْتِلَاطِ النَّاسِ أَتَوْا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ فَقَالُوا: أَنْتَ سَيِّدُنَا، وَابْنُ سَيِّدِنَا، اخْرُجْ يُبَايِعْكَ النَّاسُ، وَكُلُّهُمْ بِكَ رَاضٍ، فَقَالَ: «لَا وَاللَّهِ لَا يُهْرَاقُ فِي سَبَبِي مِحْجَمَةٌ مِنْ دَمٍ، مَا كَانَ فِيَّ رُوحٌ» ، ثُمَّ عَادُوا إِلَيْهِ فَخَوَّفُوهُ فَقَالُوا: لَتُخْرُجَنَّ أَوْ لَتُقْتَلَنَّ عَلَى فِرَاشِكَ، فَقَالَ: مِثْلَهَا، فَأَطْمَعُ وَأُخِيفُ، قَالَ: فَوَاللَّهِ مَا اسْتَقَلُّوا مِنْهُ بِشَيْءٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Maksudnya: “Aku mendengar al-Hasan (al-Basri) r.h berkata: “Apabila berlaku kepada Usman apa yang berlaku dan manusia menjadi celaru mereka mendatangi Abdullah bin Umar lalu mereka berkata: “Engkau adalah penghulu kami anak kepada penghulu kami, keluarlah supaya manusia boleh membai’at kamu dan mereka semua pasti akan reda dengan kamu (sebagai Khalifah)”. Maka jawab beliau: “Tidak, demi ALLAH, tidak akan tumpah darah walaupun sebesar jarum bekam disebabkan aku selama mana aku masih bernyawa”. Kemudian mereka kembali kepadanya dan menggertaknya lalu berkata: “Hendaklah kamu keluar atau kamu akan dibunuh di atas hamparanmu”. Lalu beliau berkata seperti sebelumnya maka dia diberi tawaran dan diugut. Kata Al-Hasan al-Basri: “Maka demi ALLAH tidak mereka dapat berbuat apa dengan beliau sehinggalah beliau kembali bertemu dengan ALLAH”. [Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Fadail al-Sahabah dan al-Khallal dalam al-Sunnah dan sanadnya Sahih].
عَنْ قَيْسِ بْنِ عَبَّادٍ، قَالَ: سَمِعْتُ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمَ الْجَمَلِ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِنْ دَمِ عُثْمَانَ، وَلَقَدْ طَاشَ عَقْلِي يَوْمَ قُتِلَ عُثْمَانُ، وَأَنْكَرَتْ نَفْسِي وجَاءُونِي لِلْبَيْعَةِ، فَقُلْتُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أُبَايِعَ قَوْمًا قَتَلُوا رَجُلًا قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَلَا أَسْتَحْيِي مِمَّنْ تَسْتَحْيِي مِنْهُ الْمَلَائِكَةُ» ، وَإِنِّي لَأَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أُبَايِعَ وَعُثْمَانُ قَتِيلٌ عَلَى الْأَرْضِ لَمْ يُدْفَنْ بَعْدُ، فَانْصَرَفُوا، فَلَمَّا دُفِنَ رَجَعَ النَّاسُ فَسَأَلُونِي الْبَيْعَةَ، فَقُلْتُ: اللَّهُمَّ إِنِّي مُشْفِقٌ مِمَّا أَقْدَمُ عَلَيْهِ، ثُمَّ جَاءَتْ عَزِيمَةٌ فَبَايَعْتُ فَلَقَدْ قَالُوا: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، فَكَأَنَّمَا صُدِعَ قَلْبِي، وَقُلْتُ: اللَّهُمَّ خُذْ مِنِّي لِعُثْمَانَ حَتَّى تَرْضَى
Maksudnya: Daripada Qais bin ‘Ubadah kata beliau: Aku mendengar Ali r.a berkata pada hari Peristiwa Jamal: “YA ALLAH sesungguhnya aku berlepas diri kepada-Mu daripada terlibat dalam pembunuhan Usman; sesungguhnya akal ku hilang pada hari Usman dibunuh dan aku (seolah-olah) tidak mengenali diriku lagi, lalu mereka datang kepada ku untuk berbai’ah lalu aku berkata: Demi ALLAH sesungguhnya aku malu untuk berbai’at dengan kaum yang telah membunuh seorang lelaki yang mana Rasulullah s.a.w telah bersabda berkenaanya: “Adalah wajar aku berasa malu dengan orang yang Malaikat berasa malu dengannya”. Sesungguhnya aku malu untuk dibai’ah sedangkan Usman terbunuh belum dikebumikan lagi”. Maka mereka pun berlalu pergi. Apabila telah dikebumikan Usman mereka datang kembali dan meminta untuk aku dibai’ah, maka aku berkata: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berasa amat berat untuk melakukan perkara ini”. Kemudian datang rasa kekuatan (pada diriku) maka aku pun berbai’ah. Maka apabila mereka berkata kepadaku: “Wahai Amirul Mukminin!” maka jangtungku seolah-olah disentap dan aku berkata: “Ya ALLAH, Engkau tuntutlah pembalasa bagi pihak ku untuk Usman sehingga Engkau reda”. [Al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 4527, Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq, kata Imam al-Zahabi r.h: Hadis ini di atas Syarat al-Bukhari dan Muslim]
عن ابن المسيب، قال: لما قتل عثمان جاء الناس كلهم إلى علي يهرعون أصحاب محمد وغيرهم، كلهم يقول: أمير المؤمنين علي، حتى دخلوا عليه داره، فقالوا: نبايعك فمد يدك، فأنت أحق بها، فقال علي: ليس ذاك إليكم، وإنما ذاك إلى أهل بدر، فمن رضي به أهل بدر فهو خليفة، فلم يبق أحد إلا أتى عليا، فقالوا: ما نرى أحدا أحق بها منك، فمد يدك نبايعك، فقال: أين طلحة والزبير؟ فكان أول من بايعه طلحة بلسانه، وسعد بيده، فلما رأى علي ذلك خرج إلى المسجد، فصعد المنبر، فكان أول من صعد إليه، فبايعه طلحة، وبايعه الزبير، وأصحاب النبي صلى الله عليه وسلم ورضي عنهم أجمعين
Maksudnya: Daripada Ibn al-Musayyib (Sa’id bin al-Musayyib) r.h kata beliau: “Apabila dibunuhnya Usman r.a maka bergegaslah manusia mendatangi Ali r.a, terdiri daripada para Sahabat Muhammad s.a.w dan selain mereka, kesemua mereka berkata: “Amirul Mukminin Ali”. Sehinggalah mereka masuk ke rumah beliau mereka berkata: “Hulurkan tangan kamu untuk kami bai’at, engkau adalah orang yang paling berhak akannya”. Lalu berkata Ali: “Sesungguhnya urusan ini bukan milik kamu tetapi ia urusan Ahli Badar, barangsiapa yang diredai oleh Ahli Badar maka dialah yang berhak menjadi Khalifah”. Maka tidak tinggal seorang pun (daripada Ahli Badar) melainkan mereka datang kepada Ali r.a seraya berkata: “Kami tidak tahu ada sesiapa lagi yang lebih layak selain daripada kamu maka hulurkan tangan kamu untuk kami bai’ah”. Lalu beliau (Ali) berkata: “Di manakah Talhah dan al-Zubair?” maka orang pertama yang membai’at beliau adalah Talhah dengan lisan beliau diikuti Sa’ad (ibn Abi Waqqas r.a) dengan tangannya. Apabila Ali r.a melihat yang demikian (terdapatnya kesepakatan Ahli Badar) beliau keluar menuju ke Masjid lalu menaiki Minbar maka orang pertama yang menaiki minbar dan membai’at beliau adalah Talhah dan turut membai’at beliau Al-Zubair dan seluruh Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam wa radiya ‘anhum ajma’ien”. [Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn al-Atsir dalam Usudul Ghabah dengan Sanad yang tidak kurang dari Hasan, no. 1146].
Riwayat-riwayat yang sahih ini menunjukkan bahawa para Sahabat; al-Muhajirun dan al-Ansar ridwanullahi ‘alaihim tidaklah tunduk dengan desakan-desakan daripada pemberontak untuk memilih calon Khalifah, bahkan mereka tidak gentar dengan ugutan bunuh daripada pemberontak.
Saidina Ali r.a sendiri tidak menerima pembai’atan daripada pemberontak bahkan beliau menerimanya setelah disetujui oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang berada di Madinah.
Demikian juga pembai’atan Ali r.a adalah setelah dipersetujui oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim terutama Ahli Badar dan Ali r.a tidak tunduk pada asakan pemberontak dan beliau bertegas hak memilih pemimpin bukanlah milik semua tetapi ia milik Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi yang pada masa itu adalah al-Muhajirun wal Ansar yang diketuai oleh Ahli Badar.
Riwayat-riwayat sejarah yang menunjukkan bahawa ada Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in yang tidak berbai’at dengan Amirul Mukminin Ali r.a adalah lemah daripada riwayat Saif bin ‘Umar al-Tamimi dan beliau ini seorang yang da’if dalam Hadis, Sandaran dalam Sejarah sebagaimana dinyatakan Imam Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Taqrib al-Tahzib.
Maka riwayat-riwayat Saif boleh diterima dalam sejarah jika ada sokongan dan sandaran, adapun dalam keadaan riwayat-riwayat beliau berlawanan dengan riwayat Ahlul Hadis yang tsiqah dan sahih maka riwayat Ahlul Hadis hendaklah didahulukan daripada riwayat Akhbari (Ahli Riwayat Sejarah) sebagaimana yang diketahui dalam kaedah mentarjihkan riwayat-riwayat sejarah.
Ada juga riwayat-riwayat daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya yang menyatakan ada Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak berbai’at kepada Ali r.a namun sebagaimana diketahui Lut bin Yahya adalah seorang Syi’ah Rafidah yang fanatic dengan mazhabnya, tidak diterima sama sekali riwayat-riwayat daripadanya yang mempunyai unsur-unsur celaan kepada para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim.
Talhah dan al-Zubair r.huma:
Demikian juga riwayat yang menunjukkan bahawa Talhah bin Ubaidillah r.a dan Al-Zubair bin al-’Awwam r.a dipaksa oleh pemberontak untuk berbai’at kepada Ali r.a dan mereka tidak lah reda menerima perlantikan Ali r.a adalah jelas berlawanan dengan riwayat-riwayat Sahih yang menunjukkan mereka berdua membai’at Ali r.a dengan kerelaan dan sedar akan kelayakan Ali r.a sebagai Khalifah.
 عَنْ عَوْفٍ، قَالَ: أَمَّا أَنَا فَأَشْهَدُ أَنِّي سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ سِيرِينَ يَقُولُ: إِنَّ عَلِيًّا جَاءَ فَقَالَ لِطَلْحَةَ: ابْسُطْ يَدَكَ يَا طَلْحَةَ لأُبَايِعَكَ، فقال طلحه: أنت أحق، وأنت أَمِيرُ الْمُؤْمِنِينَ، فَابْسُطْ يَدَكَ، قَالَ: فَبَسَطَ عَلِيٌّ يَدَهُ فَبَايَعَهُ.
Maksudnya: Daripada ‘Auf (al-A’rabi) r.h kata beliau: “Adapun aku maka aku bersaksi bahawa aku mendengar Muhammad bin Sirin berkata: “Sesungguhnya Ali telah datang dan berkata kepada Talhah: “Hulurkan tanganmu wahai Talhah untuk aku membai’atmu”. Maka berkata Talhah: “Engkau lebih berhak, engkaulah Amirul Mukminin, maka hlurkan tanganmu”. Kata beliau (Ibn Sirin): “Maka Ali menghulurkan tangan beliau maka beliau (Talhah) membaiatnya”. [Ibn Jarir al-Tabari dalam al-Tarikh dan Al-Balazuri dalam Ansab al-Asyraf dengan sanad yang sahih].
Walaupun riwayat ini mursal daripada Imam Muhammad bin Sirin r.h, namun sudah tentu ianya sahih selari dengan peristiwa pembai’atan yang diriwayatkan dalam riwayat-riwayat yang sahih dan ia menjelaskan dan memperincikan lagi perjalanan peristiwa bai’at di mana Ali r.a cuba mengelak menjadi Khalifah maka apabila datang Ahli Badar beliau memanggil Talhah dan al-Zubair r.huma kemudian Ali r.a mencadangkan Talhah sebagai Khalifah namun Talhah menolak dan menegaskan Ali r.a adalah yang paling berhak lalu Talhah membaiat beliau dan ini menjelaskan dan menyokong Talhah adalah orang pertama yang membai’at Ali r.a sebagaimana dalam riwayat Ibn al-Atsir yang telah lalu.
Demikian juga telah tsabit dengan riwayat yang sahih Al-Zubair bin al-’Awwam r.a membai’at Amirul Mukminin Ali r.a:
عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: رَأَيْتُ الزُّبَيْرَ بَايَعَ عَلِيًّا فِي حَشٍّ مِنْ أَحْشَاشِ الْمَدِينَةِ
Maksudnya: Daripada Al-Hasan (Al-Basri) r.h kata beliau: “Aku melihat Al-Zubair membai’at Ali r.a di sebuah kebun daripada kebun-kebun Madinah” [Al-Balazuri, Ansab al-Asyraf, no. 274, sanadnya Sahih].
Riwayat-riwayat sejarah yang menyatakan bahawa Al-Zubair r.a dan Talhah r.a membai’at Ali r.a dengan dipaksa dalam keadaan pedang terhunus adalah tidak benar namun telah tsabit riwayat juga menunjukkan bahawa mereka berbai’at dalam keadaan terpaksa dan terdapat ugutan antaranya:
Daripada Abu Nadhrah r.h:
أَنَّ رَبِيعَةَ، كَلَّمَتْ طَلْحَةَ فِي مَسْجِدِ بَنِي مَسْلَمَةَ فَقَالُوا: كُنَّا فِي نَحْرِ الْعَدُوِّ حَتَّى جَاءَتْنَا بَيْعَتُكَ هَذَا الرَّجُلَ , ثُمَّ أَنْتَ الْآنَ تُقَاتِلُهُ أَوْ كَمَا قَالُوا , قَالَ: فَقَالَ: إِنِّي أُدْخِلْتُ الْحُشَّ وَوُضِعَ عَلَى عُنُقِي اللُّجُّ , وَقِيلَ: بَايِعْ وَإِلَّا قَاتَلْنَاكَ , قَالَ: فَبَايَعْتُ وَعَرَفْتُ أَنَّهَا بَيْعَةُ ضَلَالَةٍ
Maksudnya: “Bahawa Rabi’ah (bin Abdullah bin al-Hadir al-Taimi –beliau adalah Tabiin Besar dilahirkan di zaman Nabi s.a.w-) bercakap dengan Talhah di Masjid Bani Maslamah lalu mereka berkata: “Adalah kita ini sudah memegang leher para musuh sehinggalah datang berita bai’at kamu terhadap lelaki ini (Ali r.a) kemudian kamu sekarang memeranginya (melawan arahan beliau)” atau seumpama yang mereka ucapkan. Maka berkata Talhah: “Sesungguhnya aku dimasukkan di sebuah kebun kemudian diletakkan pedang di leherku dan dikatakan kepadaku: “Bai’atlah jika tidak kami akan membunuh kamu”. Kata beliau: “Maka aku berbai’at sedangkan aku tahu ianya bai’at yang tidak benar” [Al-Musannaf, Ibn Abi Syaibah, 37775].
عَنْ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: سَمِعْتُ أَبِي قَالَ: بَلَغَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنَّ طَلْحَةَ، يَقُولُ: إِنَّمَا بَايَعْتُ وَاللُّجُّ عَلَى قَفَايَ , قَالَ: فَأَرْسَلَ ابْنَ عَبَّاسٍ فَسَأَلَهُمْ , قَالَ: فَقَالَ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ أَمَّا وَاللُّجُّ عَلَى قَفَاهُ فَلَا أَعْلَمُ وَلَكِنْ قَدْ بَايَعَ وَهُوَ كَارِهٌ
Maksudnya: Daripada Sa’ad bin Ibrahim kata beliau: Aku mendengar daripada ayahku (Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf) berkata: “Telah sampai kepada Ali bin Abu Talib bahawa Talhah berkata: “Sesungguhnya aku berbai’at dalam keadaan pedang berada di tengkuk ku”. Maka Ali mengutuskan Ibn ‘Abbas r.a bertanya mereka, maka berkata Usamah bin Zaid: “Adapun berkenaan pedang berada di kepalanya maka aku tidak tahu namun beliau telah berbai’at dalam keadaan beliau tidak suka” [Al-Musannaf, 37773]
Riwayat-riwayat ini adalah Sahih dan riwayat yang pertama disahihkan oleh Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fathul Bari [13/54] dan riwayat kedua juga sanadnya sahih.
Namun, ada pertentangan dengan riwayat Sahih yang lain yang menyatakan mereka mencadangkan supaya Ali r.a dibai’at sebagai Khalifah sebaik sahaja mereka melihat tiada harapan lagi untuk menyelamatkan Usman r.a.
Al-Ahnaf bin Qais r.a menceritakana bahawa beliau bertanya kepada Talhah dan al-Zubair r.huma siapakah yang patut dibai’at jika Usman r.a terbunuh? Maka mereka kedua-duanya menjawab: Ali r.a.
قَالَ الْأَحْنَفُ فَلَقِيتُ طَلْحَةَ وَالزُّبَيْرَ فَقُلْتُ إِنِّي لَا أَرَى هَذَا الرَّجُلَ يَعْنِي عُثْمَانَ إِلَّا مَقْتُولًا فَمَنْ تَأْمُرَانِي بِهِ قَالَا عَلِيٌّ
Maksudnya: “Berkata al-Ahnaf: Maka aku bertemu dengan Talhah dan al-Zubair maka aku berkata: Sesungguhnya aku tidak ketahui melainkan lelaki ini –yakni Usman r.a- melainkan akan dibunuh (oleh pemberontak) maka siapakah yang kamu berdua perintahkan aku dengannya (untuk dibai’at)?” Jawab kedua mereka: “Ali”. [Fathul Bari, 13/34 dan kata Ibn Hajar r.h: "maka Al-Tabari mengeluarkan dengan sanad yg SAHIH…"]
Dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan lafaz:
قَالَ الْأَحْنَفُ: فَانْطَلَقْتُ فَأَتَيْتُ طَلْحَةَ , وَالزُّبَيْرَ فَقُلْتُ: مَا تَأْمُرَانِي بِهِ وَمَنْ تَرْضَيَانِهِ لِي , فَإِنِّي لَا أَرَى هَذَا إِلَّا مَقْتُولًا , قَالَا: نَأْمُرُكَ بِعَلِيٍّ , قَالَ: قُلْتُ: تَأْمُرَانِي بِهِ وَتَرْضَيَانِهِ لِي؟ قَالَا: نَعَمْ
Maksudnya: “Berkata Al-Ahnaf: “Maka aku pergi kepada Talhah dan al-Zubair lalu aku berkata: “Apakah yang kamu berdua perintahkan aku dengannya dan kamu redai untuk aku (lakukan)? Sesungguhnya aku tidak melihat melainkan dia (Usman r.a) akan dibunuh”. Kata mereka berdua: “kami memerintahkan kamu dengan Ali (yakni sebagai Khalifah mengganti Usman r.a)”. Aku (al-Ahnaf) berkata: “Kamu berdua menyuruh aku dengan beliau dan kamu reda beliau untuk ku?” Jawab kedua mereka: “Ya”. [Musannaf, no. 37798].
Demikian juga daripada Zaid bin Wahb menceritakan bahawa Ali r.a berkata kepada Talhah dan al-Zubair r.huma pada hari Jamal:
وَقَالَ عَلِيٌّ , لِطَلْحَةَ , وَالزُّبَيْرِ: أَلَمْ تُبَايِعَانِي؟ فَقَالَا: نَطْلُبُ دَمَ عُثْمَانَ ; فَقَالَ عَلِيٌّ: لَيْسَ عِنْدِي دَمُ عُثْمَانَ
Maksudnya: “dan berkata Ali kepada Talhah dan al-Zubair: Bukankah kamu berdua membai’at aku? Maka jawab mereka berdua: “Kami menuntut pembalasan bagi pihak Usman”. Jawab Ali: “Tidak ada di sisi aku apa yang hendak kamu tuntut berkenaan darah Usman”. [Musannaf Ibn Abi Syaibah, no. 37833].
Perbualan ini menjelaskan bahawa tindakan Talhah dan al-Zubair r.huma keluar dalam peristiwa Jamal adalah untuk menuntut penegakan Qisas bagi pembunuh Usman r.a bukan untuk merebut Khilafah dan mencabar Khilafah Ali r.a bahkan mereka tidak ingkar pernayataan Ali r.a bahawa mereka telah membai’at Ali r.a.
Melihat kepada riwayat-riwayat yang bercanggah ini kita dapat simpulkan bahawa Talhah dan al-Zubair r.huma sebenarnya membai’at Ali r.a dalam keadaan “paksa rela”; yakni: mereka tidak ingkar Ali r.a sebagai orang yang berhak menjadi Khalifah selepas Usman r.a dan mereka tidak syak sama sekali Ali r.a adalah orang yang patut dibai’at, maka mereka tidak sama sekali dipaksa mana-mana pihak untuk memilih Ali r.a sebagai Khalifah bahkan memang mereka bersama-sama dengan Ahli Badar yang lain bersetuju Ali r.a adalah Khalifah yang berhak dilantik.
Namun, mereka berdua mempunyai pandangan yang sama dengan Saidina Mu’awiyah r.a bahawa urusan bai’ah Khalifah yang baharu mestilah dilaksanakan setelah para pemberontak ditawan dan Madinah dibebaskan dari cengkaman mereka serta pembunuh Usman r.a ditangkap.
Berdasarkan riwayat-riwayat Sahih yang lalu kita dapat melihat dengan jelas bahawa para pemberontak memaksa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim untuk memilih Khalifah dengan segera dan mengugut Ibn Umar r.huma dengan ugutan bunuh jika beliau enggan menjadi Khalifah maka tidak jauh jika kita katakana Talhah dan al-Zubair r.huma juga diugut sedemikian rupa oleh para pemberontak.
Untuk mengelak mafsadah yang lebih besar sebelum para pemberontak itu bertindak di luar jangkauan melantik orang yang menjadi boneka mereka sebagai Khalifah dan menyebabkan urusan Khilafah terkeluar dari tangan Sahabat ridwanullahi ‘alaihim dan jatuh ke tangan pemberontak, maka mereka bergegas membai’at Ali r.a walaupun menurut pandangan Talhah dan al-Zubair r.huma sepatutnya pembersihan Madinah dari pemberontak dan pembalasan terhadap pembunuh Usman r.a mestilah didahulukan daripada membai’at Khalifah yang baharu.
Maka inilah yang Talhah r.a maksudkan sebagai mereka membai’at dalam keadaan pedang dihunus di leher mereka dan tengkuk mereka, dalam keadaan mereka masih dalam cengkaman pemberontak menyebabkan mereka terpaksa berundur dari pandangan asal mereka iaitu: Qisas sebelum Bai’at.
Menerusi penghimpunan dua riwayat ini, terjawablah kemusykilan perlawanan antara riwayat-riwayat berkenaan sikap Talhah bin Ubaidillah al-Taimi r.a dan al-Zubair bin al-’Awwam r.a dalam menghadapi perlantikan Ali bin Abi Talib r.a sebagai Khalifah.
Sikap Mu’awiyah bin Abi Sufian r.huma:
Adapun sikap Mu’awiyah r.a, juga sama dengan pendirian Talhah dan al-Zubair r.huma iaitu: Qisas sebelum Bai’at kerana menurut pandangan Mu’awiyah r.a, selagi mana di dalam kalangan pengikut Ali r.a terdapat mereka yang tertuduh membunuh Usman r.a maka tindakan membai’at Ali r.a dan tunduk kepada kekhilafahan beliau bermaksud tunduk dan menyerah kepada pembunuh Usman r.a.
Hal ini jelas sebagaimana dalam riwayat yang Sahih menyatakan:
عَنْ أَبِي مُسْلِمٍ الْخَوْلَانِيِّ أَنَّهُ قَالَ لِمُعَاوِيَةَ أَنْتَ تُنَازِعُ عَلِيًّا فِي الْخِلَافَةِ أَوْ أَنْتَ مِثْلُهُ قَالَ لَا وَإِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّهُ أَفْضَلُ مِنِّي وَأَحَقُّ بِالْأَمْرِ وَلَكِنْ أَلَسْتُمْ تَعْلَمُونَ أَنَّ عُثْمَانَ قُتِلَ مَظْلُومًا وَأَنا بن عَمِّهِ وَوَلِيُّهُ أَطْلُبُ بِدَمِهِ فَأْتُوا عَلِيًّا فَقُولُوا لَهُ يَدْفَعُ لَنَا قَتَلَةَ عُثْمَانَ فَأَتَوْهُ فَكَلَّمُوهُ فَقَالَ يَدْخُلُ فِي الْبَيْعَةِ وَيُحَاكِمُهُمْ إِلَيَّ فَامْتَنَعَ مُعَاوِيَةُ
Maksudnya: Daripada Abu Muslim al-Khaulani r.h bahawa beliau berkata kepada Mu’awiyah r.a: “Adakah anda mencabar Ali dalam masalah Khilafah atau anda ini seumpama dengan beliau?” Kata beliau (Mu’awiyah r.a): “Tidak, sesungguhnya aku mengetahui bahawa beliau (Ali r.a) lebih afdal daripada aku dan lebih berhak dengan perkara ini (Khilafah) tetapi apakah kamu tidak tahu bahawa Usman telah dibunuh secara zalim sedangkan aku adalah sepupu beliau dan wali yang berhak menuntut balas atas darahnya (qisas) maka pergi kepada Ali dan katakana kepadanya: “hendaklah dia memberi kepada kami para pembunuh Usman”. Maka mereka datang kepada beliau (Ali) dan bercakap kepadanya lalu kata beliau: “Hendaklah dia (Mu’awiyah r.a) memberi bai’at dan menyerahkan penghakiman mereka (pembunuh Usman) kepada aku”. Maka Mu’awiyah enggan.” [Fathul Bari, 13/86 dan kata Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: Sanadnya Jayyid].
Dalam riwayat Ibn ‘Asakir dinyatakan Mu’awiyah r.a berkata:
فائتوه فقولوا له فليدفع إلي قتلة عثمان وأسلم له
Maksudnya: “Pergilah kepada beliau (Ali r.a) dan katakana kepadanya: “Serahkan kepada aku pembunuh Usman maka aku akan menyerah (membai’at) kepadanya”. [Tarikh Dimasyq; Terjemah Mu'awiyah bin Abu Sufyian r.huma].
Riwayat ini menunjukkan bahawa Mu’awiyah r.a tidak sama sekali menafikan bahawa Ali r.a adalah orang yang berhak menjadi Khalifah bahkan Mu’awiyah r.a sedia berbai’at kepada Ali r.a bila-bila masa asalkan setelah qisas dijalankan terlebih dahulu yakni setelah para pembunuh Usman r.a dikenal pasti dan ditangkap.
Kesimpulan:
Hasil meneliti riwayat-riwayat pembai’atan Ali bin Abi Talib r.a ini kita dapat menyimpulkan beberapa perkara penting berkaitan masalah ini dan menyingkap beberapa syubhat kaum sesat seperti Syi’ah Rafidah:
Pertama: Ali bin Abi Talib r.a Tidak memiliki Wasiat daripada Rasulullah s.a.w untuk menjadi Khalifah selepas kewafatan baginda s.a.w seperti yang didakwa Rafidah.
Hal ini terpapar jelas melalui sikap Ali bin Abi Talib r.a yang berkali-kali menolak permintaan supaya menjadi Khalifah bahkan beliau berkata: “Aku menjadi wazir itu lebih baik daripada aku menjadi Amir”.
Jika benar Ali r.a mempunyai wasiat tentulah sebaik sahaja para pemberontak mengepung Usman r.a kemdian membunuhnya Ali r.a akan segera menuntut hak beliau dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Khalifah tambahan pula para pemberontak Mesir memang sedia menyatakan mereka mahukan Ali r.a sebagai Khalifah.
Namun, hakikat semuanya adalah Ali r.a tidak memiliki Wasiat tersebut, ia hanyalah wahyu Syaitan kepada Abdullah bin Saba’ untuk menyesatkan manusia.
Kedua: Ali r.a bebas dari pembunuhan Usman r.a dan beliau tidak berkonspirasi dalam perbuatan zalim tersebut. Bahkan Ali r.a membenci kaum pemberontak yang membunuh Usman r.a walaupun mereka itu menyangka mereka adalah orang yang berwala’ kepada ‘Ali r.a.
Ini terpapar jelas melalui sikap Ali r.a yang enggan menerima Bai’ah daripada pemberontak sebaliknya berkeras dan menegaskan bahawa hak Bai’ah adalah milik para Sahabat Rasulullah s.a.w.
Ketiga: Batilnya sistem Demokrasi.
Ini sebagaimana jelas melalui sikap Ali r.a yang menyatakan hak melantik pemimpin bukan hak sama rata manusia tetapi hak Ahli Majlis Syura yang terdiri daripada pemuka Umat dan Ulama’ mereka yang ketika itu merupakan para Sahabat Rasulillah s.a.w –ridwanullahi ‘alaihim- yang diketuai Ahli Badar.
Keempat: Kesahihan Khilafah Ali bin Abi Talib r.a dan beliau merupakan Khalifah al-Rasyidin yang keempat dengan sepakat Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Ijmak ini berlaku semenjak zaman Ali r.a lagi kerana setiap Sahabat radiallahu ‘anhum sama ada yang membai’at Ali r.a mahupun yang mengambil sikap berkecuali sewaktu peperangan Jamal dan Siffin ataupun Mu’awiyah r.a yang mengambil sikap enggan membai’at, kesemua mereka ini sepakat dan setuju bahawa Ali r.a adalah yang berhak memengangnya setelah kewafatan Usman r.a.
Kelima: Batilnya dakwaan bahawa Ali r.a dilantik menjadi Khalifah bukan atas keredaan kaum Muslimin atau perlantikan beliau adalah berdasarkan tangan-tangan luar daripada pemberontak. Bahkan jelas menurut riwayat-riwayat yang sahih Para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang memilih beliau dengan Ijmak.
Tekanan hanya berlaku dari segi pemaksaan kaum pemberontak untuk para Sahabat segera membai’at pemimpin dan situasi Bai’at yang berlangsung dalam keadaan Ibu Negara (Madinah) masih tegang dengan pembunuhan Khalifah.
Keenam: Pertelingkahan anatara Sahabat ridwanullahi ‘alaihim bukanlah atas dasar merebut jawatan dan habuan dunia tetapi salah faham dan perbezaan ijtihad dalam keadaan fitnah. Maka wajib atas kita menahan lisan daripada mencela mereka dan mengkritik mereka, bahkan wajib memohon keredaan ALLAH untuk mereka, ridwanullahi ‘alaihim ajma’ien.
Wallahul Muwaffiq.
21 Safar 1433 H/ 15 Jan 2012 M
Al-Madinah Al-Nabawiah, Kerajaan Arab Sa’udi.
Rujukan:
  • ‘Asrul Khilafah al-Rasyidah, Dr. Akram Dhiya’ al-’Umari
  • Tarikh al-Khulafa’ al-Rasyidun, Dr. Muhammad Ibrahim Abal Khail
  • Tahqiq Mawaqif al-Sahabah, Dr. Muhammad Amkhozun.
  • Tahqiq Mawaqif al-Sahabiyain Talhah wa Al-Zubair fil Fitnah al-Kubra, Dr. Khalid Kabir ‘Ilal
  • Sahih wa Da’ief Tarikh al-Tabari, Muhammad Tahir al-Barzanji.
  • Asmal Matolib fi Sirah Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, Dr. Ali al-Salabi...