Jumaat, 6 September 2013

Belai, kasihilah permata hati

Anak adalah penyejuk jiwa dan menjadi penyeri rumah tangga. Pasanganyang mempunyai anak sangat memahami hal ini dan bagi yang belum memperolehnya begitu terasa betapa sunyinya tanpa kehadiran mereka.
Namun, ada anak bermakna ada tanggungjawab. Memelihara, membesarkan, mendidik dan mentarbiahkan mereka mengikut landasan agama yang murni sudah semestinya menjadi kewajipan bagi si ibu dan ayah. 
Sekiranya berlaku kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab itu, tentulah akan mengundang kemurkaan Allah. Ini bermakna azab di akhirat yang menanti kita. Namun, kita minta dijauhkan daripadanya. 

Oleh itu, janganlah sesekali mengambil mudah terhadap tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara mereka.

Meskipun kita saling mengingatkan antara satu sama lain, berlaku juga kes penganiayaan terhadap mereka. Ada yang didera, dicedera dan dibunuh. Sungguh mendukacitakan apabila terbaca laporan di dada akhbar mengenainya.

Terfikir juga kita apa sudah jadi dengan sikap sesetengah ibu bapa yang langsung tidak ada perasaan belas kasihan terhadap anak sendiri. Tergamak anak yang belum mengerti didera demi kepuasan diri. 

Sesungguhnya, tindakan keterlaluan sedemikian rupa bukan hanya menggambarkan si ibu atau ayah terbabit tidak bertanggungjawab, bahkan langsung tandus daripada nilai perikemanusiaan. 

Orang yang tergamak bertindak seperti itu jelas sekali tidak mempunyai sikap sabar dan gagal mengawal diri. Boleh jadi, orang terbabit juga jenis yang panas baran, ego dan sukar ditegur. 

Sebenarnya, sudah menjadi kebiasaan dan tidaklah pelik sekiranya seorang anak itu ada sedikit sebanyak nakalnya. 

Kita sebagai ibu bapanya yang perlu bijak menangani kerenah mereka. Jika kita juga mengikut emosi dan panas baran, semua yang direncanakan tidak menjadi. 

Mana mungkin kita mengharapkan anak menjadi penyantun, sedangkan mereka dibesarkan dengan sumpah seranah dan sepak terajang? 

Jadi, insaflah bahawa kehadiran anak dengan pelbagai kerenah dan perangainya itu seharusnya kita hadapi dengan pengasuhan berhemah dan tertib. 

Ini kerana anak dibesarkan dalam acuan pengasuhan yang kasar akan memberikan kesan negatif terhadap perkembangan fizikal, emosi dan sahsiahnya kemudian nanti. 

Demikian juga mereka pernah didera pastinya sukar membentuk diri menjadi seorang insan yang stabil dari sudut emosi, kuat fizikal dan mantap sahsiah kerana jiwa mereka dihantui peristiwa lampau. 

Berhubung hal ini, suka saya berkongsi pesanan Ibnu Khaldun seperti terkandung dalam kitab agungnya, Muqaddimah: “Sesiapa mendidik anak dengan gaya bengis, kejam dan keras, maka anak akan diselimuti perasaan keterpaksaan dan hidup dalam tertekan. 

“Penerapan hukuman keras sering menghasilkan pelbagai kesan negatif yang akan memudaratkan pertumbuhan jiwa dan sahsiahnya.” 

Nabi SAW juga ada menegaskan: “Sesiapa yang tidak menyayangi anak kecil kami dan tidak mengenal hak ibu bapa kami, maka tidak termasuk golongan kami.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Ini satu amaran kepada kita sebenarnya. Jadi, teroponglah diri kita sendiri apakah selama ini kita mengasihi mereka selayaknya. 

Seorang sahabat, Abu Hurairah RA berkata, bahawa pada suatu ketika Rasulullah SAW mencium Hasan bin Ali bin Abi Talib iaitu cucu baginda dan ketika itu al-Aqra bin Hubais bertandang ke rumah baginda. 

Melihat sikap baginda yang mencium cucunya itu, al-Aqra berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak dan aku belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” 

Baginda memandang ke muka al-Aqra sebaik mendengar kata-kata itu, lalu bersabda: “Sesiapa tidak mengasihi, tidak dikasihi.” 

Dalam satu hadis riwayat Muslim seperti diriwayatkan Aisyah RA menceritakan: “Ada seorang wanita miskin datang kepadaku dan membawa dua orang anak perempuannya bersama, maka aku memberikannya makan dengan tiga biji kurma. 

“Wanita itu memberikan sebiji kurma kepada setiap anaknya dan ketika dia mengangkat sebiji kurma untuk memakannya, dua anaknya meminta lagi. Wanita itu membahagikan kurmanya itu kepada dua bahagian untuk dua anaknya. 

“Aku sangat kagum dengan apa yang berlaku dan aku menceritakan perkara berkenaan kepada Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah (mafhumnya): “Allah telah mewajibkan baginya syurga atau membebaskannya daripada api neraka.” 

Kisah ini juga satu bukti bahawa pentingnya kita sebagai ibu bapa sentiasa menyuburkan jiwa dengan kasih sayang terhadap anak sendiri... 

Tiada ulasan: