Jumaat, 6 September 2013

Kewajipan insan menjaga lidah

Penciptaan manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah serta pelantikan sebagai khalifah di dunia mempunyai tujuan yang sudah ditetapkan.
Antara lain adalah bagi menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah. Manusia mengakui sejak dari awal penciptaannya bahawa Allah sahajalah Tuhan yang layak disembah. Setiap perbuatan manusia akan dihitung serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya dan sesiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (balasan).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7 dan 8) Secara sedar atau tidak, tutur kata antara perlakuan yang sukar dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa sahaja bentuk kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada kepada yang baik atau sebaliknya. Tanpa iman, kata-kata yang dikuasai oleh nafsu akan sentiasa membasahi lidah. Pendek kata, pelbagai masalah dan kejadian buruk boleh berlaku sekiranya kita gagal menggunakan tutur kata dengan cara terbaik.

Keadaan di mana umat Islam saling menghina sesama mereka, perselisihan faham antara agama, keruntuhan institusi kekeluargaan, keruntuhan moral remaja khususnya membabitkan masalah percintaan, semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal, seterusnya menghamburkan pelbagai bentuk perkataan tidak wajar pada tempatnya.
Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di dunia, kita haruslah sentiasa ingat bahawa setiap perkataan diucapkan tidak terlepas daripada catatan malaikat.

Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya. Firman-Nya bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18) Penuturan kata-kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, ramai akan terpikat dengan keindahan dan kebenaran Islam. Ini kerana agama Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri manusia. Hal ini amat jelas apabila Allah memerintah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS untuk menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah. Lalu diperintah kedua-duanya menuturkan kata-kata yang baik dan bukan dengan angkuh dan bermegah-megah. Firman-Nya bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.” (Surah Thaha, ayat 43 dan 44) Begitulah pentingnya kata-kata yang baik dan benar dalam proses dakwah. Keadaan ini bukan saja akan mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu ialah mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi dan mulia.

Selain itu, Allah menyatakan antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mereka mendapat gelaran ibad ar-Rahman iaitu orang yang baik tutur katanya. Apabila dihina atau dicerca orang jahil, mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik. Inilah suatu keadaan mungkin bagi kita yang belum cukup sempurna tahap keimanan berasa sukar untuk mempraktikkannya. Tetapi bagi mereka yang betul-betul memiliki ciri keperibadian Muslim sejati, ia mudah untuk dilaksanakan. Firman-Nya bermaksud: “Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63) Tidak dapat dinafikan, kadangkala meskipun tutur kata yang digunakan indah dan baik, barangkali ia tidak sesuai dilafazkan pada tempatnya, maka ia juga boleh membawa kepada konflik dalam hubungan sesama manusia. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman pendengar. Hal ini perlu diberi perhatian, lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Menyedari hakikat ini, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan sentiasa menjaga tutur kata agar ia tidak mengundang masalah kepada ummah. Perlu diingat, kata-kata baik bukanlah semata-mata susunan perkataan yang indah dan bersifat memuji semata-mata, tetapi yang lebih penting ia sesuatu yang bersifat benar dan jauh daripada segala bentuk omongan kosong ataupun muslihat jahat. Kebenaran adalah ciri utama dan berperanan penting dalam penuturan kata-kata yang indah. Kata-kata baik dan memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya. Firman-Nya dalam surah al-Ahzab, ayat 70 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar”...

Tiada ulasan: