Rabu, 4 September 2013

Hikmah bersabar raih haji mabrur

Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, kononnya belum sampai seruan lagi, kesibukan kerja seharian atau bimbang hendak tinggalkan anak. 

Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan yang besar di dunia ini, namun perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu amat kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur. 

Rasulullah SAW bersabda: “Haji yang mabrur itu tidak ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan.” (Riwayat Bukhari) 


Sabda Baginda lagi: “Sesiapa yang menunaikan ibadat haji, tidak melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang fasik, nescaya dia akan kembali suci bersih daripada dosanya seperti pada hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Selain itu, terdapat juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah haji yang sudah selesai menunaikan ibadat haji. 

Maka, mereka begitu terpengaruh dengan cerita itu hingga membantutkan azam menjejakkan kaki ke Tanah Suci. 

Perlu ditegaskan bahawa ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran dan falsafah yang wajib difahami serta dihayati setiap Muslim bertakwa. 
Bersedia hadapi dugaan 

Oleh itu, setiap Muslim seharusnya memahami dan bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan atau dugaan yang akan menimpa dari mula mendaftar di Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, dalam perjalanan haji hingga sampai ke Tanah Suci. 

Hal ini kerana sudah menjadi suatu kebiasaan dalam setiap perjalanan bahawa seseorang akan berhadapan pelbagai dugaan dan rintangan yang akan menguji kesabarannya. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda: “Perjalanan atau pelayaran yang jauh itu adalah sebahagian daripada penderitaan.” (Riwayat Bukhari) 

Itulah sebahagian perkara yang perlu diingat selalu oleh setiap Muslim, bukan saja dalam bab haji, bahkan ia juga penting sebagai bekalan hidup seorang Muslim mendepani pelbagai ujian yang terhampar sepanjang perjalanan menuju keredaan Ilahi. 

Oleh itu, setiap Muslim perlu bersedia serta bersabar menghadapinya kerana semua itu mempunyai hikmah dan rahsia yang tersirat. Malah perlu diinsafi semua yang berlaku adalah kehendak Allah SWT sebagai ujian kepada hamba-Nya untuk memperoleh haji mabrur. 

Setiap Muslim yang beriman akan menerimanya dengan penuh sabar dan reda di samping berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dilimpahi kekuatan, keampunan, keselamatan dan kejayaan dalam menjunjung titah dan perintah-Nya. 

Jalan menuju reda Illahi 

Barangkali inilah hikmah dan pengajaran yang cukup sinonim dengan ibadat haji iaitu kesabaran seseorang yang menunaikan ibadat haji dan ketenangannya menghadapi cabaran mendatang. Kesabaran itu sebenarnya hasil atau buah diperoleh daripada perjalanan kerohanian menuju keredaan Ilahi. 

Sehubungan itu, kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada dia memperoleh haji yang mabrur atau sebaliknya. 

Akhirnya, ibadat haji sebagai satu ibadat yang ditegakkan atas landasan kesabaran, maka amatlah wajar bagi setiap jemaah haji membuat persiapan dan persediaan awal supaya tidak terjebak dalam perangkap sikap mudah marah, tidak sabar, maksiat dan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT...

Tiada ulasan: