Isnin, 30 September 2013

Kuasa kepemimpinan tak boleh dibeli

Jika tidak tahu membela rakyat, padamkan saja hasrat menjadi pemimpin

Kuasa kepemimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli atau seumpama barangan mainan yang boleh bertukar tangan. Sebaliknya, kuasa itu wajib diberikan kepada orang yang benar-benar layak dan berkarisma. Mereka juga mesti jujur kepada diri sendiri, ikhlas dan berupaya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Tugas pemimpin tidak semudah berbanding usaha berebut untuk menjadi pemimpin. 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya.” (Riwayat Imam Ahmad) 

Membeli undi untuk jadi pemimpin adalah perbuatan tidak bermoral dan bermaruah. Seseorang yang menggunakan wang untuk mendapat jawatan dan pengaruh akhirnya akan dijatuhkan dengan cara begitu. Ahli yang membenarkan diri mereka dipengaruhi pemimpin tidak bermoral juga akan terpalit dengan kekotorannya. 



Istilah banyak wang boleh jadi pemimpin 

Istilah politik bahawa siapa banyak wang boleh jadi pemimpin adalah seburuk-buruk keyakinan dan kepercayaan. Lebih mendukacitakan, bila mana masyarakat membiarkan keyakinan ini terus hidup dan bergerak dalam minda mereka. 

Pandangan dan kepercayaan begini sememangnya hina dan terkutuk. Mengapakah masih ada lagi mereka yang sanggup bersubahat dengan amalan khianat dan menjijikkan ini. Mereka turut menanggung dosa. Pemberi wang, penerima dan perantara adalah berdosa. 
Daripada Thauban, katanya, “Rasulullah SAW melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya.” (Riwayat Ahmad dan Hakim) 

Apabila kita berlaku jujur pada diri, jangan mengharapkan orang lain akan berlaku jujur pada kita. Sekalipun jika ada yang berfatwa untuk menghalalkan yang salah, namun jiwa Mukmin yang ikhlas akan tetap teragak-agak dan ragu mengenainya. 

Jika pemberian itu atas dasar persahabatan yang tiada kaitan sama sekali dengan jawatan dan kedudukan dipegang atau dikejar, maka itu adalah hadiah. Jika pemberian diberikan mempunyai kaitan dengan jawatan dipegangnya atau dikejar, maka tunggulah balasannya. 

Pemimpin tidak usah membezakan dirinya dengan rakyat walaupun mempunyai sejumlah harta dan kekayaan yang bertimbun. Seandainya mereka tidak pernah membela kehidupan rakyat maka padamkan cita-cita untuk menjadi pemimpin. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam, kemudian tidak membela rakyatnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak juga bersikap tulus membimbing mereka melainkan ia tidak akan masuk syurga bersama rakyatnya.” (Riwayat Muslim) 

Kempen kotor 

Percayalah, sesiapa daripada kalangan pemimpin diangkat naik melalui kempen kotor akan akhirnya menemui kekecewaan juga. Mereka yang bermain dengan pisau akan mencederakan diri sendiri juga akhirnya. 

Pemimpin yang dipilih rakyat untuk memimpin adalah suatu taklif, yakni mandat dan bukannya tasyrif iaitu kemuliaan diberikan Allah. Mereka yang diberi taklif perlu bertanggungjawab dan beramanah sepenuhnya kepada Allah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab, ayat 72)  

Hal ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW: “Kepemimpinan itu satu amanah yang berat yang pada hari kiamat nanti, ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan seorang pemimpin yang melaksanakan dengan amanah dan adil kepada rakyat bawahannya.” (Riwayat Abu Hanifah) 

Syeikh Abdus Salam B Barjas dalam kitabnya Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah telah menggariskan beberapa kaedah dalam menentukan siapakah yang dikatakan pemimpin. 

Pemimpin adalah sesiapa saja daripada kalangan umat Islam yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat serta rakyat sama ada dari sudut perundangan, kuasa, kekuatan, sokongan rakyat ataupun ketenteraan.

Pemimpin juga mereka yang dipilih atau telah menang dan memegang kuasa pemerintahan, maka dia adalah pemimpin yang wajib ditaati, dihormati serta tidak boleh dilawan. Walaupun pemimpin itu tidak memenuhi syarat kelayakan sebagai pemimpin namun apabila telah dilantik pemimpin maka wajib ditaati. 

Kewujudan seorang pemimpin adalah suatu keperluan bagi tujuan menjaga urusan dan kemaslahatan hal ehwal umat Islam seperti menjaga keamanan, perpaduan, mengawal serangan musuh serta menegakkan agama. 

Untuk melantik atau memilih seorang pemimpin bukanlah suatu kerja yang mudah. Seseorang itu tidak dibenarkan melantik atau mencalonkan dirinya menjadi pemimpin. Apalagi mengaku dirinya berkebolehan, hebat dan memiliki kebaikan dalam memimpin. 

Orang yang mengaku dia adalah pemimpin yang baik, adalah orang yang tidak baik untuk dipilih sebagai pemimpin. Ertinya akuan pemimpin seperti ini adalah bertentangan dengan keupayaan sebenarnya. 

Manusia yang mendengarnya rasa jelik kerana dalam Islam tidak dibenarkan untuk mengangkat diri kerana perlakuan demikian menggambarkan keangkuhan dirinya. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang hamba yang diangkat oleh Allah sebagai pemimpin ke atas orang yang dipimpinnya, kemudian ia tidak menjaga mereka dengan nasihatnya, melainkan ia tidak akan mencium aroma (wanginya) syurga.” (Riwayat Bukhari) ...

Tiada ulasan: