Ahad, 15 September 2013

(PENGHIDU GAM) Gubal segera !!!

Tidak ramai yang sedar bahaya menghidu gam dalam kalangan generasi muda khususnya kanak-kanak dan remaja yang terdiri daripada pelajar sekolah juga bukan saja penyakit sosial malah turut menjejaskan kesihatan pengamalnya.
Tabiat menghidu dan ketagihan gam ini berlaku dalam kalangan pelajar sekolah rendah serta remaja yang tiada sumber kewangan untuk membeli dadah. Namun perlu diingat, menghidu gam adalah permulaan bagi mencuba sesuatu yang lebih serius. 
Apa pula status perundangan kepada permasalahan ini?

Tidak dinafikan najis dadah mempunyai peruntukan khusus seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998), Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998) yang mengawal dan mentadbir undang-undang berkaitan dengannya.
Oleh kerana gam bukan termasuk dalam definisi dadah menurut Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952, tidak ada satu peruntukkan undang-undang yang boleh dijadikan asas untuk mengawal dan mencegah perbuatan ini yang berleluasa dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak sekolah.
Ini kerana gam adalah bahan pelarut yang digunakan untuk kegunaan harian walaupun ia disalahgunakan daripada fungsinya yang asal.

Akta Racun 1952 satu-satunya undang-undang yang menyebut mengenai gam. Akta Racun digubal untuk mengawal pengimportan, pemilikan, pengeluaran, penjualan dan peng­gunaan racun.


Banyak kes di luar bandar

Justeru banyak organisasi bukan kerajaan dan jabatan swasta yang menggesa agar kerajaan menggubal undang-undang yang khusus bagi menghukum pesalah muda ini selain meletakkan mereka di pusat pemulihan atau sekolah budak jahat. 

Kes di luar bandar berkaitan ketagihan gam memang banyak dan statistik mengenainya makin meningkat kerana ia berpunca daripada pengaruh rakan sebaya dan kurangnya pengawasan ibu dan bapa. 

Jika ditangkap, mereka hanya akan dibawa berjumpa kaunselor ataupun dibawa ke peringkat atasan jika keadaan kronik. Tapi hukumannya hanya ke pusat pemulihan akhlak dan penyelesaian itu tidak berkesan bagi membasmi masalah ini. 

Puas sudah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan pihak Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH), menguar-uarkan pentingnya diwujudkan akta hidu gam bagi membendung permasalahan berkenaan.

Entah beberapa kali juga wakil badan bukan kerajaan (NGO) lain bersuara mengatakan gejala menghidu gam sudah sampai ke tahap kronik, namun belum nampak sebarang penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri mengusulkan kertas cadangan untuk diberikan kepada kerajaan bagi menguatkuasakan akta menghidu gam. 

Agaknya sampai bila boleh diwujudkan kekangan dan hukuman agar gejala menghidu gam dapat diselesaikan? Ini kerana, tanpa akta, tiada apa yang boleh dilakukan kepada sesiapa yang menghidu gam melainkan diberi nasihat.

Lupakanlah impian melihat usaha membanteras gejala menghidu gam tercapai hanya dengan sekadar memberi nasihat ataupun khidmat kaunseling. Anak muda zaman sekarang bukan jenis yang makan nasihat.


Tiada larangan

Bagi penghidu gam, bersoraklah mereka selagi tiada undang-undang yang boleh menyekat dan menghukum mereka. Pada masa sama, mungkin mereka tersenyum lebar kerana sesiapa yang terbabit dengan gejala menghidu gam tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing.

Persoalannya, apa akan jadi pada generasi muda kita pada masa depan?
Diyakini kerajaan mengambil berat permasalahan berkenaan, cuma rakyat mahu segera melihat permasalahan itu diatasi, sekurang-kurangnya dengan menguatkuasakan akta berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan mampu perkenalkan akta untuk daun ketum dan melarang remaja bawah 18 tahun membeli rokok, mengapa pula tidak menguatkuasakan akta hidu gam?

Amerika Syarikat memperuntukkan undang-undang mengenai penyalahgunaan inhalan termasuk menghidu gam. Fokus undang-undang ini adalah untuk memastikan anak muda terutamanya pelajar sekolah tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat ini.

Bagi hukuman pula jika didapati salah kerana menghidu gam misalnya akan dikenakan denda di antara lebih RM900 sehingga RM7500 dan bagi pesalah juvana dipenjara tidak lebih 30 hari.

Selain itu, hukuman juga dikenakan kepada mereka yang mengedar, menjual lalui bahan-bahan untuk tujuan penyalahgunaan inhalan kepada sesiapa yang di bawah umur tertakluk kepada undang-undang negeri.

Justeru mengapa negara kita tidak pula dikenakan undang-undang seumpama ini ???

Tiada ulasan: