Jumaat, 6 September 2013

Timba pengalaman daripada tamadun silam

Pembinaan ‘suffah’ pada zaman Rasulullah di Madinah melahirkan ahlus suffah yang diraikan dengan asas ilmu dan pendidikan. Membangunkan para abid sekali gus dengan jiwa ilmu membolehkan faktor madani berkembang. Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar adalah lambang terbinanya ukhuwah dan persaudaraan atas ikatan tauhid yang menjadi cabaran umat manusia sepanjang zaman. 

Ukhuwah yang terbina itu amat murni tujuannya sehingga perbezaan faktor latar kabilah atau etnik bukanlah asas menyebabkan umat dan manusia harus bertelagah. Termeterainya Piagam Madinah adalah satu pencapaian besar menjadikan sebuah perlembagaan rujukan semua dalam realiti masyarakat berbilang. 

Bukan faktor penghalang 


Kemajmukan masyarakat bukanlah faktor penghalang ke arah membina tamadun madani tetapi faktor ‘litarafu’ atau kekenalan dalam erti kata luas serta wujudnya semangat kesalingan yang tinggi menyebabkan asas tamadun terbina. Tamadun madani yang dipimpin Rasulullah SAW menjadi model atau landasan utama membangunkan tamadun seterusnya berjaya meletakkan Model Madani model hidup sepanjang zaman.

Kedinamikan tamadun madani tidak bermakna tidak wujudnya perkembangan dan perubahan yang memperkayakan asas tamadun itu. Perubahan pada bentuk dan maksud asasi dan fungsi bentuk tidak banyak berubah. Umpamanya bagi melahirkan abid yang berilmu, as suffah dibangunkan, tradisi majalis (mengaji) diwujudkan dan akhirnya tradisi halaqah menjadi resam amalan. 

Tradisi ini terus berkembang pada zaman terkemudian dengan berkembangnya tradisi quttab, nizamiyyah, madrasah dan lain-lain. Tradisi ini melahirkan ilmuwan terbilang dan menjadi tonggak terbangunnya tamadun Islam yang sifatnya menyumbang kepada umat manusia.

Zaman Madinah umpamanya, jenis kenderaan ditunggangi ialah kuda, keldai dan unta. Muamalah atau jual beli barangan berasaskan kaedah tukaran. Kini masyarakat dunia menggunakan kenderaan canggih tetapi maksud atau fungsi kenderaan masih tidak berubah. Kenderaan ialah mempermudah dan mempercepatkan perjalanan dan mempermudah pengangkutan dan penumpangan. 
Apa yang perlu ditimba daripada pengalaman tamadun silam ialah roh dan prinsipnya. Metodologinya sentiasa dinamik kerana faktor ilmu dan teknologi membantu canggihnya mekanisme bersifat sezaman. Contohnya amalan riba ditegah pada zaman Rasulullah SAW. 

Dalam konteks Bank Islam dan Takaful Islam di Malaysia umpamanya bentuk mekanisme dalam muamalah berubah dengan mengekal roh tanpa riba dan prinsip meningkatkan kualiti urus niaga bagi maksud kesejahteraan lebih tinggi. Bank Rakyat umpamanya memikat orang bukan Islam melabur dan meminjam. Dua faktor menyebabkan keuntungan dan kestabilan. Apabila institusi seperti ini memikat yang bukan Islam ia petanda baik bagi faktor patuh syariah bakal berkembang dalam sistem ekonomi suatu hari nanti.

Oleh kerana sifat zaman dinamik berubah, roh al-masajid hasil terbangunnya jiwa rukuk dan sujud bakal menghasilkan ahli ibadah (dalam erti kata yang luas) meneroka landasan membangun sistem supaya lahir kepemimpinan dan kepengikutan terarah dan suatu corak kehidupan yang memiliki roh al-solat yang memimpin umat menghasilkan yang makruf dan menjauhi kemungkaran dan beriman kepada Allah. Inilah sebaik-baik umat yang bakal memimpin diri dan umat manusia.

Roh al-masajid mampu diterjemahkan di luar masjid dalam konteks mujahadah amal yang menampilkan peribadi yang mengurus sistem. Amalan berjemaah, ada imam dan makmum, jiwa rukuk dan sujud harus terpancar di luar masjid. Solat berimam dan bermakmum adalah simbolik pentingnya faktor kepemimpinan dan kepengikutan dalam kehidupan.

Dimensi kehambaan

Jiwa rukuk dan sujud harus memberikan dimensi kehambaan supaya sifat taat sentiasa menjadi disiplin dalam pengurusan diri dan sistem, sifat tunduk kepada kebenaran, sifat akur menjadikan al-Quran sebagai sumber dalam menghadapi cabaran dan sifat patuh yang mendasari disiplin diri terhadap keadilan dan kebenaran.

Jika ini terjadi umat Islam berada dalam ikatan ukhuwah yang tinggi. Muzakarah akan sentiasa berlaku, sifat kasih sayang dan sabar sering terserlah, memahami satu dengan lain dan pengorbanan dan tolak ansur menjadi cerminan gelagat dan tabiat. Masjid secara simbolik menjadi sumber kekuatan umat tetapi kalau masjid hanya meraikan kegiatan rohaniah yang tidak dihubungkan hal di luar masjid, perubahan ke arah sistem Islami sukar berlaku. Ia hanya rutin rohaniah bukan tempat membina hati dan ilmu untuk maksud di luar masjid... 

Tiada ulasan: