Isnin, 30 Disember 2013

Guna saluran betul suarakan rasa tak puas hati

Abu Hunaidah atau nama sebenarnya Wail bin Hujr berkata, “Pada suatu masa, Salamah bin Yazid al-Ju’fi bertanya Nabi Muhammad: Wahai utusan Allah, bagaimanakah pendapat tuan jika kami diperintah oleh beberapa pemimpin yang selalu memaksa kami memberikan hak mereka, tetapi mereka tidak memberikan apa yang menjadi hak kami”. 

Nabi Muhammad memalingkan mukanya. Kemudian Salamah bin Yazid mengulangi pertanyaannya. Nabi Muhammad bersabda: “Saudara sekalian, dengarlah arahan pemimpin itu dan taatlah. Mereka bertanggungjawab atas apa yang diamanahkan kepada saudara.” (Riwayat Muslim) 


Tidak dinafikan ada tindakan kerajaan yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, namun itu tidak bermakna rakyat boleh melakukan apa saja penentangan terhadap keputusan pemerintah itu. Rakyat tetap perlu akur terhadap ketetapan dibuat pemimpin. 



Pertimbangkan keresahan rakyat 

Namun, pada masa sama, rakyat perlu menggunakan saluran yang ada bagi menyuarakan rasa tidak puas hati. Pemimpin juga sewajarnya memberi peluang itu kepada rakyat dan mempertimbangkan keresahan mereka. 

Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Percayalah selepas saya sudah tiada nanti, timbul cara bagaimana pemimpin mementingkan diri sendiri dan timbul perkara yang saudara tentang. 
Sahabat Baginda bertanya: “Wahai Rasulullah jika begitu keadaannya, apakah perintah tuan kepada kami apabila bertemu dengan keadaan seperti itu?” Baginda berkata: “Saudara perlu menunaikan hak orang yang menjadi tanggungjawab saudara. Mintalah kepada Allah apa yang sepatutnya menjadi hak saudara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Disebabkan rasa tidak puas hati, banyak kita baca di blog dan laman sosial yang melemparkan kemarahan menggunakan kata-kata kesat serta bersifat biadap. Mungkin peringatan Rasulullah SAW boleh dijadikan sandaran. 

Abu Bakrah berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang merendah-rendahkan pemimpin negara, dia direndahkan oleh Allah.” (Riwayat Tirmizi)

Sabtu, 28 Disember 2013

AKHLAK MUSLIM

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah, jika benar kamu mengasihi Allah SWT, ikutilah daku, nescaya Allah SWT mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31) 

Tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya banyak dan kita digalakkan supaya berakhlak sedemikian kerana matlamat hidup hamba di dunia ialah untuk mendapatkan cinta daripada Allah SWT.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT yang Maha Tinggi menerangkan: Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, Aku isytiharkan perang kepadanya. Perbuatan hamba yang paling Aku suka bagi mendekatkan dirinya kepada-Ku adalah mengerjakan perkara yang Aku wajibkan kepadanya. Kemudian hamba-Ku selalu mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat hingga Aku kasih kepadanya. Apabila Aku kasih kepadanya, Aku menjadi telinganya yang mendengar, matanya yang melihat, tangannya yang memegang dan kakinya yang melangkah. Apabila dia meminta, Aku berikan kepadanya dan apabila dia meminta perlindungan daripada-Ku, Aku akan melindunginya.” (Riwayat Bukhari) 

Katakanlah, jika benar kamu mengasihi Allah SWT, ikutilah daku, nescaya Allah SWT mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-Imran, ayat 31)

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya Allah SWT mengasihi seorang hamba-Nya, Allah SWT menerangkan kepada Jibril: Sesungguhnya Allah SWT mengasihi si fulan, hendaklah kamu mengasihinya. Jibril pun mengasihi orang itu. Kemudian Jibril berkata kepada seluruh penduduk langit: Sesungguhnya Allah SWT mengasihi si fulan, hendaklah kamu semua mengasihinya. Seluruh penduduk langit mengasihi orang itu. Kemudian, Allah SWT menjadikan orang itu turut dikasihi oleh hamba Allah yang baik di muka bumi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Istiqamah tunai tanggungjawab

Andainya kita adalah hamba yang dicintai dan dikasihi oleh Allah SWT kerana kesungguhan kita menunaikan tanggungjawab dengan istiqamah, maka kita akan dikasihi semua makhluk malah, malaikat juga mengasihi kita. Alangkah bertuahnya kita.

Namun, bukan mudah untuk kita meraih cinta dan kasih Allah SWT. Bagaimanapun, ia tidak mustahil kerana Allah SWT sudah memberi panduan yang perlu diikut oleh kita semua iaitu menunaikan ibadat wajib, ibadat sunat serta berbuat baik kepada sesama makhluk...

TRANFOMASI ISLAM

Islam menganjurkan umatnya berubah bina kualiti kemanusiaan

Beberapa hari lagi kita semua akan menyambut tahun baharu masihi 2014. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak, kita akan terus tertinggal, malah cabaran baru kian menghimpit. 


Menyedari perkara ini, Islam menyarankan umatnya sentiasa peka dan bersedia menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Kepemimpinan negara menyarankan kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai. 

Islam sudah mengatur sistem kehidupan manusia secara jamaie untuk membentuk sistem hidup sempurna. Ini terkandung dalam peraturan yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan jinayat. Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepemimpinan kerana manusia bukan haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma tertentu”

Transformasi dalam Islam disebut sebagai islah yang bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Islam menetapkan transformasi kehidupan insan sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian, segala bentuk perubahan atau pembaikan bertujuan membina kualiti kemanusiaan. 

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran menyentuh akidah, hukum, akhlak, sirah, sains dan teknologi. Semua aspek itu disebut Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban manusia.

Ini jelas seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’du, ayat 11) 
Perubahan diri dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan pembaikan diri.

Amat sedih sekali kerana ramai dalam kalangan umat Islam hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga gagal menemukan kelemahan diri sendiri. 

Oleh itu, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang disebut Khalifah Umar al-Khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung. Walaupun ramai mentafsirkan peringatan itu merujuk kepada persiapan kematian, tetapi muhasabah perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Muhasabah diri

Bermuhasabah dan tindakan perlu dimulakan oleh diri sendiri seperti saranan Rasulullah SAW. Perlu kita sedari umat Islam tidak akan terjatuh ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam.

Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa jika umat Islam gagal mengambil ajaran Allah SWT sebagai petunjuk dan panduan kehidupan. Berdasarkan itu, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan.

Perbetul visi

Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan visi keislaman yang jelas, akidah murni, ibadah kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan, ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Seorang Muslim yang baik, tidak pernah dalam dirinya bersifat statik melakukan perubahan diri. Pada asasnya, kehidupan hari ini perlu lebih baik dari semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik dari hari ini. 

Jika berlaku keadaan statik atau jumud, ini bererti sudah berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan menjadi bertambah buruk serta menuju kehancuran. Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat supaya menjadi umat yang sederhana.

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dicapai, sudah pasti umat Islam menjadi pemimpin dunia yang bukan saja menguasai politik, juga dalam segala aspek kehidupan dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Transformasi sistem kehidupan mendorong manusia saling berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi ini, manusia memerlukan peraturan dan sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik serta sempurna. 

Sehubungan itu, Islam sudah mengatur sistem kehidupan manusia secara jamaie untuk membentuk sistem hidup sempurna. Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan jinayat.

Aspek kepemimpinan

Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepemimpinan kerana manusia bukan haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma tertentu. Dalam sistem kehidupan berperaturan dan bersistem, memerlukan kepemimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah lebih baik.

Sirah Nabawi mencatatkan, terdapat dua Nabi yang membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua pemimpin itu mengajak manusia melakukan ketaatan kepada Allah SWT berlandaskan sistem Islam yang dibawa mereka. 

Membina sistem kehidupan bertujuan membentuk manusia ke arah lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah, kehidupan bermasyarakat dan peraturan ditetapkan Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh.

Manusia umpama benih yang perlu ditanam di tanah yang subur untuk pertumbuhan benih yang baik. Benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah gersang atau kering. Walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik, kita tidak boleh mengharapkan pokok tumbuh dengan subur.

Jumaat, 27 Disember 2013

Beribadat ikut kemampuan diri

Abu Juhaifah, nama sebenarnya Wahab bin Abdullah berkata, "Nabi Muhammad mempersaudarakan antara Salman dengan Abu Darda’. Salman melawat Abu Darda' dan dia melihat Ummu Darda' (isteri Abu Darda') berpakaian selekeh. Dia bertanya: Mengapa puan? Ummu Darda’ menjawab: Saudara kamu Abu Darda’ itu tidak mahukan dunia lagi.

Kemudian Abu Darda’ datang lalu menyediakan makanan untuk Salman. Abu Darda’ berkata kepadanya: Makanlah, saya puasa. Salman berkata: Saya tidak makan sehinggalah saudara makan. Abu Darda’ pun makan. 


Apabila tiba waktu malam, Abu Darda’ hendak bangun. Salman berkata kepadanya: Tidurlah. Abu Darda’ pun tidur semula. Kemudian Abu Darda’ hendak bangun lagi. Salman berkata kepadanya: Tidurlah. Abu Darda’ pun tidur semula. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Agama Islam mudah. Sesiapa yang menyusahkan agama, dia pasti kalah. Oleh itu, saudara bersederhanalah, buatlah yang paling hampir jika tidak mampu buat yang paling sempurna, berilah berita gembira dan mintalah pertolongan Allah dengan beribadat waktu pagi, petang dan akhir waktu malam.” (Riwayat Bukhari)

Apabila tiba waktu penghujung malam, Salman berkata kepada Abu Darda’: Bangunlah sekarang. Mereka berdua bersembahyang jemaah bersama.

Kemudian Salman berkata kepadanya: Saudara ada tanggungjawab kepada Tuhan yang mesti saudara tunaikan, saudara ada tanggungjawab kepada diri saudara yang mesti saudara tunaikan, dan saudara ada tanggungjawab kepada keluarga saudara yang mesti saudara tunaikan. Oleh itu, saudara tunaikanlah tanggungjawab kepada setiap yang berhak itu.

Kemudian Salman datang berjumpa Nabi Muhammad dan memberitahu baginda apa yang berlaku. Nabi Muhammad berkata: Salman betul.” (Riwayat Bukhari)

Agama Islam mudah 
Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Agama Islam mudah. Sesiapa yang menyusahkan agama, dia pasti kalah. Oleh itu, saudara bersederhanalah, buatlah yang paling hampir jika tidak mampu buat yang paling sempurna, berilah berita gembira dan mintalah pertolongan Allah dengan beribadat waktu pagi, petang dan akhir waktu malam.” (Riwayat Bukhari) 

Perselisihan yang berlaku disebabkan wujud kumpulan yang cenderung menekan pihak lain yang tidak sefahaman dengan mereka dalam ibadat sedangkan umat Islam dinasihatkan supaya bersederhana dalam melakukan ibadat mengikut kemampuan diri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Khamis, 26 Disember 2013

Jana semangat Islam dengan mata hati

Usaha pertingkat kualiti diri, elak bersengketa sesama sendiri

Hari ini adalah Jumaat terakhir bagi 2013, bermakna detik waktu berjalan begitu pantas, saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus berlalu tanpa menunggu kita. Sedarlah, pergerakan masa ini bermakna ia telah menambah lagi usia kita yang sememangnya kurniaan Allah SWT. 


Bertambahnya usia, selayaknya membuat kita menjadi insan lebih bernilai di sisi Allah SWT. Nikmat usia dipinjamkan Allah SWT yang bersifat sementara adalah anugerah sangat bernilai bagi hamba yang mengerti erti hidup sebagai satu ibadah. 

Rasulullah SAW bersabda; “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.” (Surah adz-Dzaariyat, ayat 50) 

Justeru, tahun baru yang akan menjelma ini hendaklah dimulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan meneruskan kehidupan di samping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan individu Muslim khasnya. 

Semoga kehadiran tahun baru membawa pengertian cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Dalam kesyukuran ini, usahlah kita sesekali lupa pada sejarah kerana sejarah adalah cerminan masa lalu untuk panduan pada masa depan.

Ibarat memandu kenderaan, kita memerlukan cermin sebagai panduan. Bolehkah kita memandu dengan selamat jika tidak adanya cermin? Itulah pentingnya sejarah. 
Negara sudah merdeka 56 tahun, namun kita telah dijajah hampir 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan menerima ancaman pengganas komunis. Ini semua bermula selepas jatuhnya Empayar Kesultanan Melayu Melaka dan khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki. 

Derita di bawah cengkaman penjajah

Bayangkanlah, betapa peritnya, deritanya, azab dan seksanya kehidupan apabila berada di bawah cengkaman penjajah dan ditindas oleh musuh. Mungkin ada antara kita tidak pernah mengalami pengalaman dan penderitaan di bawah cengkaman penjajah dan negara ditadbir oleh musuh.

Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa sama berulang kembali? Adakah kita mahu merasakan azab dan seksanya? Adakah kita rela menerima penjajahan moden yang sudah pasti tidak akan ada jalan keluar untuk kita melepaskan diri?. 

Tepuklah dada, tanyalah iman dan akal serta bermuhasabah diri. Bermuhasabah atau menghitung diri adalah satu amalan anbiya’, mursalin dan orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri. 

Mengikut Ibnu Qudamah: “Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, supaya dapat mengenal pasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat.” 

Ibnul Qaiyim pula berkata: “Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehnya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehnya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.” 

Rasulullah SAW pernah memuji sikap muhasabah dalam sabda Baginda: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

Sesiapa yang bermuhasabah diri tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara batil sebaliknya menyibukkan diri dengan ketaatan. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. 

Memetik kata-kata ulama as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie dalam kitabnya Burhan al-Muayyad: “Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT.”

Laksana amanah

Marilah kita bersama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan akhlak Islam. 

Marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. 

Hayatilah ungkapan ‘berkatalah benar sekalipun pahit’ untuk menjadi satu semangat kepada kita bila berdepan cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati atas prinsip kebenaran. 

Marilah kita bersama menjana kembali semangat Islami dengan mata hati. Kita mulai semangat dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan Allah SWT. Inilah masanya kita mesti bangun dan sedar wahai umat Islam daripada terus bersengketa dan berbalah sesama sendiri. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Rahsia solat sunat malam

Abdullah bin Amru berkata, “Rasulullah bersabda: Sembahyang sunat waktu malam dan puasa yang disukai Allah adalah sembahyang dan puasa dilakukan oleh Nabi Daud. Baginda tidur separuh malam. Kemudian satu pertiga malam baginda bersembahyang sunat. Manakala satu perenam lagi baginda tidur. Baginda juga puasa dengan berselang seli.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Kelebihan menghidupkan malam dengan beribadah banyak dan umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keheningan malam yang mendamaikan jiwa boleh mencetuskan semangat untuk beribadat dengan tenang. 

Ketika orang lain enak diulit mimpi, mereka yang terjaga sepatutnya mengambil kesempatan itu bangun menunaikan solat bukan menarik selimut kerana ketika itu malaikat turun untuk mencari hamba Allah SWT yang berdoa kepada Tuhannya. 


Jabir berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sebenarnya pada setiap malam ada satu waktu yang istimewa. Apabila ada seorang muslim memohon kebaikan untuk dunia atau akhirat pada waktu itu, pasti Allah akan memperkenankan doa orang itu. Waktu istimewa itu ada pada setiap malam.” (Riwayat Muslim) 

Dijadikan amalan harian 

Justeru, tidak kira apa sebabnya kita bersolat malam sama ada untuk memohon hajat, meminta dimudahkan urusan atau bertaubat kepada Allah SWT, yakinlah usaha itu mendapat perhatian istimewa dan Allah SWT akan memperkenankan permintaan itu. 

Namun, jika tidak juga termakbul perkara dihajati, ada sebab yang hanya Allah SWT Maha Mengetahui. Namun, itu bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya amalan solat malam wajar dijadikan amalan harian. 
Mereka yang sudah terbiasa bangun untuk menunaikan solat malam boleh menceritakan kenikmatan dirasai serta perubahan dilalui berbanding sebelum mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat solat sunat pada tengah malam. 

Alangkah indahnya jika suami yang terbangun untuk menunaikan solat sunat turut mengajak isteri kerana Abu Hurairah dan Abu Said berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang suami bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya kemudian mereka berdua melakukan sembahyang sunat dua rakaat, Allah menyenaraikan mereka berdua dalam senarai orang yang mengingati Allah.” (Riwayat Abu Daud)

Hak persaudaraan wajib ditunai umat Islam

Sifat tolong-menolong dapat pelihara ummah daripada ditimpa malang, bahaya

Salah satu sifat utama yang mencerminkan keperibadian Muslim sejati, di samping memperkukuhkan tali persaudaraan sesama Islam ialah tolong-menolong. Allah SWT sendiri amat menganjurkan umat Islam menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 2)


Sepanjang kehidupan manusia, terhampar pelbagai kesulitan dan kesukaran yang menguji ketahanan serta keperibadian diri. Walaupun begitu, seorang manusia selamanya tidak mampu untuk bertahan keseorangan menghadapi segala bentuk kepayahan dan kesulitan yang merintangi dirinya. 


Oleh sebab itulah, dia amat memerlukan pertolongan rakannya. Maka, benarlah pepatah Arab yang menyatakan: “Seorang itu amat sedikit (tenaga kekuatannya) apabila berseorangan, dan akan menjadi bertambah banyak jika dia berada bersama-sama saudaranya.” 


Tak mengira masa 

Hak persaudaraan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap saudaranya ialah hendaklah dia menolong saudaranya baik masa senang atau susah, pada setiap saat dan ketika. Barangkali inilah maksud yang cuba diungkapkan Rasulullah SAW dalam sabda: “Ibarat seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang setengah bahagiannya menegakkan bahagian yang lain.” (Riwayat Bukhari) 
Justeru, persaudaraan Islam yang tulen adalah satu nikmat Ilahi yang tiada ternilai. Sehubungan itu, seorang Muslim wajib bersama saudaranya untuk mempertahankan kebenaran Islam dalam apa juga keadaan, menunjuk jalan kepadanya jika dia tersesat dan mencegahnya jika dia terlajak. 

Sabda Rasulullah SAW: “Tolonglah saudaramu sama ada dia seorang penganiaya ataupun yang kena aniaya! Jawab sahabat: Menolongnya sewaktu dia teraniaya, fahamlah kami, maka bagaimana mungkin pula menolongnya bila dia yang menganiayai? Ujar Rasulullah: Kamu mencegahnya daripada perbuatan aniaya itulah erti kamu telah menolongnya.” (Riwayat Bukhari) 


Peranan Muslim 

Selain itu, setiap Muslim wajib menolong saudara semuslim berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Jika dia seorang pemimpin yang berkuasa, maka dia berkewajipan menolong rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan menyediakan keperluan asas kehidupan rakyatnya. 

Kuasa adalah satu amanah Allah SWT yang cukup berat pada bahu seseorang pemimpin. Jika dia melaksanakan amanah dengan ikhlas dan baik, insya Allah dia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. 

Sebaliknya jika dia cuai memikul amanah itu dan dijadikan alat untuk mencari kekayaan serta menambah koleksi harta peribadinya, bukannya untuk menolong rakyat, maka dia hanya menempah tempat dalam api neraka. 

Seorang Muslim yang berada dan kaya pula, maka dia berkewajipan membantu saudaranya dari sudut kewangan. Sudah menjadi sunnatullah ada yang kaya dan ada pula yang miskin. 

Alangkah baiknya harta orang kaya dinafkahkan kepada orang memerlukan terutama fakir miskin, pesakit kronik yang memerlukan dana perbelanjaan untuk menanggung kos pembedahan, ibu tunggal, anak yatim dan mangsa musibah. 

Perlu ditegaskan bahawa amalan menafkahkan harta pada jalan Allah SWT bukan hanya terhad kepada membelanjakan hartanya pada jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma dan menumbang untuk maslahah umum. 


Berdasar kemampuan, daya 

Selain itu, ulama atau guru pula boleh membantu umatnya dengan sumbangan ilmu yang berharga. Seorang yang sihat dan gagah perkasa boleh menolong saudaranya dengan meringankan beban yang ditanggungnya. 

Pendek kata, setiap Muslim boleh menolong saudara berdasarkan kemampuan dan daya upaya yang ada padanya. Sifat tolong-menolong inilah yang menjadi asas keperibadian Muslim sebenar dan tonggak utama yang menegakkan binaan persaudaraan Islam. 

Rasulullah SAW bersabda: “Budi kebajikan (tolong menolong) itu akan memelihara seseorang daripada ditimpa malang dan bahaya yang mendatang, bersedekah (membantu meringankan beban saudaranya) dalam keadaan sulit atau tersembunyi daripada pengetahuan umum akan menghapuskan kemurkaan Tuhan, dan menjalinkan atau mengeratkan tali silaturahim (dengan sifat tolong menolong) akan melanjutkan usia seseorang.” (Riwayat Tabrani)

Isnin, 23 Disember 2013

Dakwah tuntut pengorbanan diri

Diwajibkan ummah berusaha tinggikan syiar Islam

Dakwah adalah usaha yang berpanjangan dan berterusan sama panjangnya dengan pertarungan antara hak dengan yang batil. Seorang pendakwah perlu terus berusaha sebaik mungkin serta meletakkan kepentingan umat dan Islam mengatasi dirinya. 

Allah SWT telah mewajibkan setiap hambaNya melakukan dakwah Islam dalam konteks kemampuan diri masing-masing.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah mengenai orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Hadid, ayat 25) 



Tiga kemungkinan 

Oleh itu, apabila seseorang itu tidak melakukan sebarang usaha dakwah dalam kehidupan dirinya, ada tiga kemungkinan akan berlaku, iaitu mereka menjadi penghalang kepada usaha dakwah dengan memberikan kelemahan atau pelbagai masalah. 

Disebabkan tiada pembabitan dalam usaha dakwah, ini akan memperkuatkan musuh-musuh Islam. Caranya, mereka yang tidak berdakwah, sebaliknya mendukung ideologi musuh Islam malah mereka bekerjasama dengan musuh untuk menyerang dan melemahkan Islam secara sengaja atau tidak. 
Ketiga, mereka yang tidak berdakwah akan mempengaruhi orang lain mengikut cara mereka dengan memberikan pelbagai alasan dan kepentingan bagi menutupi kekecewaan diri. Umumnya ketiga-tiga golongan yang disebutkan itu menjadi penghalang kepada usaha dakwah. 

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat golongan itu seperti diceritakan mengenai tiga orang yang tidak ikut serta dalam Perang Tabuk iaitu Kaab bin Malik, Murrah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah. Ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Nabi akibat kegagalan untuk turut sama berperang mempertahankan Islam, iaitu aspek dakwah yang penting pada waktu itu. 

Selain itu, kisah Hatbib bin Abi Baltaah yang telah membocorkanrahsia negara serta melakukan pengkhianatan besar terhadap Islam sehingga Allah SWT menurunkan wahyu memberi peringatan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita rahsia orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu, mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah SAW dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul. Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).” (Surah al-Mumtahanah, ayat 1-2) 

Enam ciri individu 

Fathi Yakin dalam bukunya Apa erti saya menganut Islam, menjelaskan terdapat enam ciri individu dalam organisasi dakwah yang boleh melemahkan usaha dakwah iaitu individu yang tidak berdisiplin, takut mati dan takut miskin, ekstrim yang berlebihan, mengambil mudah dalam setiap perkara, cepat berputus asa dan cemburu kepada orang lain. 

Selain itu, banyak ayat al-Quran dan hadis nabi mengingatkan mengenai perlakuan individu yang boleh merosakkan atau merencatkan usaha dakwah sama ada dalam organisasi atau masyarakat. Oleh itu, penting untuk memperkemaskan pengurusan dakwah dalam organisasi. 

Masalah yang berlaku dalam kalangan individu terbabit dengan dakwah juga menjadi faktor berjaya atau gagalnya usaha dakwah dilaksanakan. 

Hassan Al-Banna dalam bukunya, Risalah Dakwah menyebut, Allah SWT mencela orang Islam yang meninggalkan kewajipan berdakwah. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan tidak rugi bagi orang yang terbabit dalam usaha dakwah dan meninggikan syiar Islam. 


Bersifat ikhlas, yakin 

Sirah juga membuktikan orang yang bersifat ikhlas dan yakin akan terus berjuang demi menegakkan syiar Islam. Hamzah bin Abdul Muttalib rela berjuang kerana Allah SWT walaupun tubuhnya dicincang di medan jihad dalam Perang Uhud, Nabi Ibrahim rela dicampakkan dalam api, Nabi Ayub sabar dan tabah menderita diserang penyakit, Nabi Yusuf mengalami pelbagai dugaan sehingga dipenjara kerana mempertahankan keyakinannya kepada keesaan Allah SWT. 

Ternyata semua mereka mempunyai keyakinan terhadap Allah SWT dan terus berdakwah walaupun menghadapi pelbagai rintangan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh daripada kalangan orang yang bersalah dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi penolong (bagimu terhadap mereka).” (Surah al-Furqan, ayat 31)

Mengembalikan martabat Ayahanda

Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab (duduk, tengah) bersama Ayahanda-Ayahanda pertubuhan atau NGO Melayu bertaraf Ayahanda seluruh Malaysia pada sidang media Seminar Hala Tuju Ayahanda pada 23 November 2013. - Gambar ihsan Sinar Harian
GELARAN Ayahanda bukannya sesuatu yang baharu dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tetapi kebelakangan ini nama khas yang diwariskan kepada pemimpin komuniti Melayu ini telah mendapat gambaran buruk akibat perbuatan tidak bermoral sesetengah pihak.
Sebelum ini ada pihak dalam industri hiburan menggambarkan pangkat Ayahanda itu hanya untuk ketua samseng dan gangster, kemudian operasi terhadap penjenayah pula mengesan ada individu mempunyai 'kad kuasa' Ayahanda pertubuhan atau NGO tertentu.
Sememangnya wujud individu yang menggunakan gelaran ini untuk aktiviti tidak bermoral, malahan ada di antara mereka ini berbangsa Cina dan India yang tidak diketahui asal usul warisan gelaran yang digunakan itu.
Ada juga berpendapat usaha memburukkan gelaran Ayahanda merupakan kesinambungan memecahbelah NGO Melayu selepas kejayaan agenda perpecahan politik Melayu yang semakin teruk hari ini.
Perkembangan ini telah menjejaskan nama baik dan martabat institusi Ayahanda dan pertubuhan yang dipimpin mereka berikutan tiada garis panduan bagaimana menentukan kelayakan seseorang mewarisi mahupun menggunakan gelaran itu.
Tanpa definisi khusus, maka individu yang menggunakan gelaran Ayahanda juga tidak tertakluk kepada peranan mahupun tanggungjawab tertentu dan bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak peribadi.
Untuk menangani penyalahgunaan gelaran itu daripada terus melarat, Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) dengan kerjasama pertubuhan dan NGO bertaraf Ayahanda lain di seluruh negara akan mengadakan seminar khas bagi menetapkan definisi, garis panduan, mekanisme kesinambungan dan lain-lain isu berkaitan.
Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al-Shahab menjelaskan, seminar itu akan mengumpulkan kesemua Ayahanda daripada pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membincangkan hala tuju kepimpinan mereka.
"Kita mahu dapatkan maklumat dan maklum balas melalui kupasan, soal jawab, penggulungan dan resolusi, khususnya tentang mekanisme untuk mengiktiraf, tatacara urus tadbir dan garis panduan gelaran Ayahanda.
"Ini termasuk pembentangan kertas kerja yang turut melibatkan ROS dan wakil polis Bukit Aman berikutan beberapa insiden yang mencemar nama baik institusi ini. Di hujung seminar, kita akan rumuskan sebuah resolusi untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri," katanya.
Beliau mendedahkan gerakan baiah golongan bertaraf Ayahanda sebenarnya bermula sejak zaman Rasulullah lagi tetapi ketika itu dengan gelaran khalifah dan kemudian turun kepada waris kepimpinan Islam berikutnya.
Beliau menyatakan di negara ini tiada nama pertubuhan sebelum merdeka tetapi gerakan kepimpinan melalui baiah itu tetap wujud sebelum gelaran khalifah itu ditukar kepada Ayahanda sekitar 1990-an dalam Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
"Saya merupakan antara pelopor gelaran Ayahanda bersama kepimpinan Pekida sekitar 1992 dengan sekitar 50 orang veteran diberikan gelaran itu. Ramai antara mereka juga sudah meninggal dunia.
"Gelaran khalifah tidak sepadan kerana perlu kelayakan cukup. Ketika itu gelaran Ayahanda dimonopoli Pekida tetapi selepas 2004 wujud lebih 40 pertubuhan berdaftar dan lebih 1,000 individu yang menggunakan gelaran tersebut," ujarnya.
Beliau sedih melihat hari ini begitu banyak individu menggunakan gelaran Ayahanda dengan tidak betul dan tidak diketahui asal-usul warisannya sedangkan 90 peratus Ayahanda yang 'sebenar' adalah di kalangan anak didiknya sendiri.
Syed Husain mendakwa ada elemen lain yang merosakkan institusi Ayahanda sehinggakan ada orang Cina dan India yang menggunakan gelaran itu, siap dengan kad nama buatan sendiri yang ditunjuk kepada polis jika mereka ditahan.
"Baiah kepimpinan Ayahanda itu janji dengan Allah, ia sangat kuat. Saya sendiri tidak pernah ditahan polis kerana saya tidak menyeleweng, ahli-ahli YAS juga tidak pernah ditahan.
"Tetapi elemen luar yang masuk sehinggakan bangsa lain menggunakan gelaran ini, entah datang dari mana, banyak sangat. Mereka buat pertubuhan baharu terus gunakan nama Ayahanda palsu," tegasnya.
Beliau mewakili Ayahanda-Ayahanda sebenar mahu penjelasan dari mana kumpulan 'Ayahanda baharu' itu mendapat gelaran tersebut kerana ia bukan boleh dicipta sesuka hati kerana perlu ada aturan, kesinambungan, sejarah dan syarat-syarat tertentu sebagai institusi yang sah.
Sekarang ini, beliau melihat semuanya sudah berkecamuk, tidak tahu datang dari cabang mana sehinggakan tidak boleh dikenal yang mana satu intan atau kaca.
"Sampaikan budak umur 18 tahun, kahwin pun belum sudah guna 'Ayahanda', sudah jadi merapu kategori mereka ini. Bila timbul isu-isu berikutan beberapa insiden, cemar nama baik semua pertubuhan Ayahanda
"Ayahanda ini gelaran amat baik, bukan seperti digembar-gemburkan. Isu iktiraf susah sikit, siapa boleh beri pengiktirafan itu? Kerana itu seminar ini kita mahu maklum kepada semua Ayahanda hadir untuk kemaskini dan bentuk garis panduan pengiktirafan itu," katanya.
Beliau melihat seminar itu sebagai satu platform asas bukan sahaja dalam mengembalikan martabat gelaran Ayahanda malahan untuk memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi negara akan peranan, perjuangan dan sumbangan mereka kepada keamanan dan kesejahteraan negara.
Beliau juga berharap langkah itu akan menyemarakkan perpaduan, kemajuan dan keamanan dalam negara, lebih-lebih lagi sesuatu yang melibatkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu tanpa melupakan hak kaum lain.
"Menjadi harapan YAS agar usaha kita ini akan menjadi titik tolak ke arah memartabatkan institusi bertaraf Ayahanda khasnya, dan orang Melayu amnya.
"NGO Melayu bertaraf Ayahanda perlu peka dan bertindak mengikut lunas-lunas keadilan dan hak-hak yang terkandung dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pejuang-pejuang terdahulu, serta perlu difahami dan diperakui semua bangsa berbumbungkan bumi Malaysia ini," ujarnya.
Individu dengan gelaran Ayahanda dijemput hadir ke Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda itu yang akan diadakan pada 23 November 2013 dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 019-2158232.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131031/re_01/Mengembalikan-martabat--Ayahanda#ixzz2oMZnSChW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

YAS mahu polis bertegas kepada 'Ayahanda' bermasalah

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Yayasan Ayahanda Semalaysia (YAS) mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas membanteras jenayah yang dilakukan oleh 'Ayahanda' yang bermasalah.
Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al Shahab berkata, ini perlu kerana pihaknya mendapati ada segelintir 'Ayahanda' bermasalah mewujudkan pertubuhan yang berteraskan jenayah kongsi gelap dan gangsterisme.
"Kita tidak berkompromi dalam isu ini kerana ia boleh menjadi kanser kepada pertubuhan kami yang berbai'ah kepada Allah.
"Sejak akhir-akhir ini kita lihat ada individu melantik diri mereka sebagai 'Ayahanda' dan melakukan perkara-perkara di luar konteks bai'ah pertubuhan 'Ayahanda' asal dan turut melampaui batas undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Ayahanda Semalaysia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Tambah Syed Husain lagi, pihaknya amat berterima kasih kepada PDRM kerana mewujudkan Op Cantas dan memohon untuk polis melakukan operasi dalam pertubuhan-pertubuhan 'Ayahanda' itu sendiri.
"Kita akan beri kerjasama erat kepada PDRM untuk membolehkan mereka melakukan operasi berkenaan dan berharap nama 'Ayahanda ' dapat dibersihkan daripada dikaitkan dengan sebarang aktiviti berkaitan jenayah, gengsterisme dan kongsi gelap," katanya lagi.
Malah, Syed Husain menegaskan, jika operasi polis tidak dapat menyelesaikan masalah yang ada dalam kalangan 'Ayahanda' bermasalah itu, pihaknya tidak teragak-agak membawa isu tersebut ke pengetahuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Ini bagi membolehkan satu keputusan di peringkat penguat kuasa agama dilakukan dalam membanteras 'penyakit' yang semakin parah dalam pertubuhan 'Ayahanda'," katanya.
Mengulas mengenai seminar yang diadakan, Syed Husain berkata, ia bagi membolehkan satu kata sepakat antara semua pertubuhan 'Ayahanda' seluruh Malaysia agar proses penjenamaan semula dilakukan.
"Kita perlu penjenamaan semula bagi pertubuhan kita agar ta tidak dilihat sebagai sebuah pertubuhan berkaitan dengan aktiviti songsang.
"Kita akan mendapatkan resolusi daripada semua pertubuhan 'Ayahanda' yang hadir seminar hari ini agar kami dapat sampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, pejabat Perdana Menteri dan PDRM.
"Ini bagi membolehkan pertubuhan kami diketahui latar belakang dan peranan dalam agenda transformasi negara dan juga bagi mengelakkan pertubuhan kami disalah tafsir," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131123/dn_21/YAS-mahu-polis-bertegas-kepada-'Ayahanda'-bermasalah#ixzz2oMZNRWKh
© Utusan Melayu (M) Bhd