Sabtu, 21 Disember 2013

Petunjuk wahyu pandu akal mengenal Tuhan

Manusia diberikan kelebihan akal yang membezakan mereka dengan makhluk lain. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, kerohanian manusia merangkumi nafsu dan hati. Ketiga-tiga komponen spiritual ini pemberian Allah SWT yang mempunyai fungsinya tertentu. 

Sudah pasti pemberian ini akan membawa manusia untuk mengenal Penciptanya. Melalui naluri itu, jiwa manusia terdorong untuk memenuhi keinginan memperhambakan diri kepada suatu kuasa yang lebih tinggi sebagai tempat bergantung dalam kehidupan. 


Apabila disemak kembali sejarah, amalan ritual manusia wujud kerana pengharapan untuk dijauhkan daripada bencana. Contohnya, penyembahan berhala bermula sejak zaman Nabi Nuh, penyembahan matahari oleh kaum Saba, penyembahan api oleh penganut Majusi, malah tidak kurang juga penyembah manusia seperti berlaku pada zaman Firaun. 


Semua ini bermatlamatkan untuk keselamatan diri sendiri dan menghapus dosa. Walau bagaimanapun, keinginan amalan penyembahan berhala atau taghut tidak berasaskan petunjuk dan bimbingan yang benar. 


Penyembahan ikut nafsu 

Penyembahan dilakukan itu semata-mata menurut kehendak nafsu mereka. Malah mereka sekadar mengikut amalan nenek moyang mereka secara bertaklid. Secara rasionalnya, adakah sesuatu pegangan itu dikatakan benar apabila manusia melantik batu diukir manusia, api, matahari dan makhluk lainnya untuk disembah dan menjadi tempat memohon pertolongan? 
Justeru, Allah SWT memberi analogi bahawa golongan yang memohon pertolongan daripada makhluk seperti labah-labah yang membuat sarang sangat rapuh. Jelaslah dorongan nafsu yang tidak berpaksikan akal sihat untuk menilai hakikat kebenaran mengakibatkan mereka berada pada landasan yang salah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan orang yang menjadikan yang lain daripada Allah sebagai pelindung, adalah seperti labah-labah yang membuat sarang, sesungguhnya sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah sekiranya orang yang mengetahui. Sesungguhnya Allah mengetahui (kepalsuan) apa juga yang mereka sembah selain daripadanya dan Allah juga yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 41-42) 

Daripada konteks peranan akal untuk mengenal Tuhan dapat dilihat dengan teknik ahli falsafah Yunani silam seperti Aristotle. Meskipun beliau bijak menganalogikan kewujudan Tuhan, namun kekuatan inteleknya masih tidak mampu mencapai hakikat kekuasaan Tuhan menciptakan segala yang ada di langit dan bumi. 


Aristotle bataskan skop ‘tuhan’ 

Aristotle membataskan skop ‘tuhan’ sebagai kuasa yang tidak mengambil tahu mekanisme alam semesta selepas Ia menciptakannya. Pendapat itu untuk meluaskan peranan dan kemampuan akal melebihi segala-galanya. 

Situasi ini lebih membimbangkan dengan hujah rasional ahli sains yang mahu menolak kewujudan Tuhan pada zaman ini. Skop perbincangan intelek manusia juga lebih bersifat materialistik sehinggakan mereka tidak menghiraukan perkara berhubung spiritual.

Malah, akal manusia juga dinis-bahkan kepada otak. Menyempitkan fungsi akal kepada fungsi otak manusia menyebabkan akal yang sepatutnya menjadi alat untuk memahami alam dan mengakui kebesaran Tuhan menjadi sebaliknya. 

Hal ini boleh dilihat melalui kenyataan Profesor Stephen Hawking, ahli kosmologi terkenal dalam bukunya bertajuk The Grand Design, menyatakan sains moden tidak meninggalkan ruang untuk kewujudan Pencipta. 

Malah bagi beliau, sains itu sendiri boleh menjelaskan asal-usul alam semesta kerana terdapatnya undang-undang seperti graviti dan sebagainya. Justeru, kekaguman ahli sains kepada penemuan sains moden semata-mata menjadikan akal mereka tidak mampu berfungsi untuk meyakini kewujudan Tuhan. 


Perlu panduan wahyu 

Oleh itu, manusia memerlukan panduan wahyu daripada Tuhan yang Maha Benar (al-Haq). Hakikatnya, Allah SWT tidak membiarkan hamba-Nya tersesat dalam kekaburan nafsu dan akal untuk mengenal Tuhan sebenar. 

Allah SWT mengutuskan Rasul sebagai penyampai risalah kebenaran kepada manusia. Risalah kebenaran terbahagi kepada dua iaitu al-Quran dan hadis. Sememangnya wahyu sumber yang tepat dalam memberitakan mengenai perkara ghaib dan alam malakut (metafizik).

Manusia seharusnya meletakkan al-Quran dan hadis sebagai sumber yang menjadi pembimbing kepada akal dan nafsu. Wahyu tidak bertentangan dengan akal manusia kerana akal digunakan untuk memahami ayat al-Quran dan saranan hadis. 


Membimbing nafsu 

Nafsu pula bukanlah perkara yang perlu dihapuskan tetapi ia suatu entiti dalam kerohanian manusia yang perlu dididik. Malah, cara mendidik nafsu banyak diterangkan dalam al-Quran dan hadis. 

Akal perlu dipandu dan nafsu manusia perlu ditarbiah dengan petunjuk wahyu dalam memahami fitrah bertuhan yang hakiki. Fitrah bertuhan berasaskan wahyu inilah yang dapat membangunkan insan yang mempunyai hala tuju dan matlamat hidup yang jelas iaitu mencapai keredaan Allah SWT...

Tiada ulasan: