Sabtu, 21 Disember 2013

Laksana ibadat wajib bukti keimanan

Muaz berkata, “Rasulullah mengutuskan saya ke Yaman. Baginda berkata: Saudara akan dihantar ke Yaman. Pergilah menemui golongan ahli kitab, iaitu orang Yahudi dan Kristian. Ajak mereka supaya mengakui tiada Tuhan selain Allah dan saya ini adalah utusan Allah. Apabila mereka mahu mengakuinya, beritahu juga Allah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam. 

Apabila mereka sanggup melakukannya, beritahu pula Allah mewajibkan zakat dengan cara mengagihkan harta orang kaya kepada golongan fakir miskin. Apabila mereka menunaikannya, berhati-hatilah saudara dengan harta itu. Jangan ambil kesempatan dengan bertindak zalim dan menganiaya. Takutlah saudara kepada doa orang yang dianiaya kerana doa orang yang teraniaya tidak ada halangan. Pasti dikabulkan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Mengakui Islam bermakna kita bersedia mengikut segala perintah agama dan mengelak daripada melakukan perkara boleh menyebabkan keimanan dipersoalkan. Malangnya, kini ramai yang mengaku Islam tetapi tidak bersedia menunaikan ibadat wajib. 



Zakat menyucikan harta 

Sebagai amalan yang pertama ditanya di akhirat nanti, umat Islam perlu memelihara solat wajib kerana itulah tiang agama yang menentukan sama ada keimanan seseorang itu kukuh atau sebaliknya. 

Begitu juga dengan ibadat wajib lain seperti mengeluarkan zakat kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat enggan menunaikan zakat dengan alasan mereka tidak layak disebabkan kedudukan kewangan yang sering tidak cukup. 
Sedangkan Allah SWT sudah menjelaskan hikmah mengeluarkan zakat sebagai menyucikan harta dan menghubungkan silaturahim. Andainya kita yakin jika kita memberi Allah SWT akan menambah harta dimiliki, pasti ramai bersedia berkongsi kekayaan dengan golongan memerlukan. 

Syaqiq bin Abdullah at-Tabi’i berkata: “Sahabat Nabi Muhammad berpendapat, hanya ibadah sembahyang saja yang apabila ditinggalkan menjadikan seseorang itu kafir.” (Riwayat Tirmizi)

Tiada ulasan: