Isnin, 23 Disember 2013

YAS jelaskan peranan gelaran 'ayahanda'

YAS jelaskan peranan gelaran 'ayahanda'
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Yayasan Ayahanda Se-Malaysia (YAS) akan menghantar satu resolusi kepada Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pendaftar Pertubuhan (ROS), Jabatan Kemajuan Islam
 Malaysia (Jakim) dan beberapa agensi lain bagi memberi penerangan tentang peranan dan tanggungjawab sebenar seseorang yang bergelar 'ayahanda'.

Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Hussain Al-Shahab berkata, resolusi tersebut bertujuan membersihkan nama baik 'ayahanda' serta membuang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, ini kerana wujudnya pertubuhan ayahanda palsu yang menggunakan gelaran 'ayahanda' telah terlibat dengan aktiviti jenayah seperti gangsterisme dan kongsi gelap.

"Kami ingin memberitahu agensi berkaitan tentang matlamat sebenar yayasan ini. Kami merupakan badan yang memperjuangkan wasiat raja-raja Melayu, bangsa Melayu serta agama Islam.

"Dalam resolusi ini, kami memohon supaya ROS mengiktiraf gelaran 'ayahanda' di bawah naungan YAS sahaja, berkuat kuasa serta-merta. Ini bagi mengelakkan wujudnya 'ayahanda' palsu di negara ini," katanya

Syed Hussain berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Resolusi Kepada Ketua-Ketua (bergelar ayahanda) Semenanjung Malaysia, di sini semalam.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh ketua-ketua 58 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah YAS.

Tambah Syed Hussain, pihaknya akan menerbitkan sebuah buku yang mengupas syarat dan kelayakan yang perlu ada untuk bergelar 'ayahanda'.

"Buku tersebut akan diterbitkan tahun depan dan hanya akan diberi kepada ahli-ahli NGO di bawah YAS sahaja.

"Di dalam buku tersebut, tercatat syarat-syarat yang ditetapkan untuk menjadi 'ayahanda'. Ini kerana untuk menerima gelaran tersebut, terdapat satu garis panduan yang telah ditetapkan," jelasnya.

Dalam majlis itu, YAS telah meminta pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana kumpulan yang menggunakan gelaran 'ayahanda' secara palsu.




Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131224/dn_25/YAS-jelaskan-peranan-gelaran-'ayahanda'#ixzz2oM7K4o00 
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: