Jumaat, 20 Disember 2013

Jadikan sujud syukur amalan harian

Kita digalakkan sujud syukur jika kita mendapat sesuatu nikmat atau hendak menjauhkan diri daripada ditimpa bencana. 

Saad bin Abu Waqas berkata: “Suatu hari kami keluar dengan Rasulullah dari Makkah menuju ke Madinah. Ketika sampai di kawasan bernama ‘Azwara’, Rasulullah turun dari kenderaannya dan terus mengangkat tangannya untuk berdoa seketika. Kemudian baginda sujud dan diam agak lama. Baginda bangun dan berdoa lagi dan terus sujud semula. Ini dilakukan sehingga tiga kali. Kemudian baginda berkata: Sebenarnya saya berdoa kepada Allah supaya memberi bantuan kepada umat saya. 

Allah memberikan satu pertiga saja. Kemudian saya bersujud menandakan kesyukuran kepada-Nya. Kemudian saya bangun dan berdoa lagi untuk umat saya. Allah memberikan satu pertiga lagi. Sebab itu saya sujud semula memanjatkan kesyukuran pada-Nya. Kemudian saya bangun dan berdoa untuk umat saya lagi. Allah memberikannya untuk satu pertiga yang terakhir. Sebab itulah saya bersujud syukur lagi kepada Tuhan saya.” (Riwayat Abu Daud) 



Terhindar dari musibah 

Banyak cara membuktikan rasa syukur kepada Allah SWT dan antaranya ialah dengan melakukan sujud syukur. Khususnya apabila mendapat khabar gembira atau terhindar daripada musibah. 

Ibu bapa yang anaknya lulus cemerlang dalam peperiksaan juga wajar melakukan sujud syukur. Sesungguhnya sujud syukur ini patut dijadikan amalan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana ia amalan mudah dilakukan di luar solat. 
Syarat melakukan sujud syukur ialah bersih daripada hadas, menutup aurat dan mengadap kiblat. Rukun sujud syukur ialah niat, takbiratul ihram, sujud seperti sujud dalam solat, bangkit dari sujud dan memberi salam. 

Istimewanya sujud syukur tidak disyaratkan dilakukan di tempat tertentu seperti masjid atau surau tetapi boleh dilakukan di mana saja dengan syarat tempat itu bersih.

Tiada ulasan: