Isnin, 23 Disember 2013

Dakwah tuntut pengorbanan diri

Diwajibkan ummah berusaha tinggikan syiar Islam

Dakwah adalah usaha yang berpanjangan dan berterusan sama panjangnya dengan pertarungan antara hak dengan yang batil. Seorang pendakwah perlu terus berusaha sebaik mungkin serta meletakkan kepentingan umat dan Islam mengatasi dirinya. 

Allah SWT telah mewajibkan setiap hambaNya melakukan dakwah Islam dalam konteks kemampuan diri masing-masing.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah mengenai orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Hadid, ayat 25) 



Tiga kemungkinan 

Oleh itu, apabila seseorang itu tidak melakukan sebarang usaha dakwah dalam kehidupan dirinya, ada tiga kemungkinan akan berlaku, iaitu mereka menjadi penghalang kepada usaha dakwah dengan memberikan kelemahan atau pelbagai masalah. 

Disebabkan tiada pembabitan dalam usaha dakwah, ini akan memperkuatkan musuh-musuh Islam. Caranya, mereka yang tidak berdakwah, sebaliknya mendukung ideologi musuh Islam malah mereka bekerjasama dengan musuh untuk menyerang dan melemahkan Islam secara sengaja atau tidak. 
Ketiga, mereka yang tidak berdakwah akan mempengaruhi orang lain mengikut cara mereka dengan memberikan pelbagai alasan dan kepentingan bagi menutupi kekecewaan diri. Umumnya ketiga-tiga golongan yang disebutkan itu menjadi penghalang kepada usaha dakwah. 

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat golongan itu seperti diceritakan mengenai tiga orang yang tidak ikut serta dalam Perang Tabuk iaitu Kaab bin Malik, Murrah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah. Ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Nabi akibat kegagalan untuk turut sama berperang mempertahankan Islam, iaitu aspek dakwah yang penting pada waktu itu. 

Selain itu, kisah Hatbib bin Abi Baltaah yang telah membocorkanrahsia negara serta melakukan pengkhianatan besar terhadap Islam sehingga Allah SWT menurunkan wahyu memberi peringatan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita rahsia orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu, mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah SAW dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul. Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).” (Surah al-Mumtahanah, ayat 1-2) 

Enam ciri individu 

Fathi Yakin dalam bukunya Apa erti saya menganut Islam, menjelaskan terdapat enam ciri individu dalam organisasi dakwah yang boleh melemahkan usaha dakwah iaitu individu yang tidak berdisiplin, takut mati dan takut miskin, ekstrim yang berlebihan, mengambil mudah dalam setiap perkara, cepat berputus asa dan cemburu kepada orang lain. 

Selain itu, banyak ayat al-Quran dan hadis nabi mengingatkan mengenai perlakuan individu yang boleh merosakkan atau merencatkan usaha dakwah sama ada dalam organisasi atau masyarakat. Oleh itu, penting untuk memperkemaskan pengurusan dakwah dalam organisasi. 

Masalah yang berlaku dalam kalangan individu terbabit dengan dakwah juga menjadi faktor berjaya atau gagalnya usaha dakwah dilaksanakan. 

Hassan Al-Banna dalam bukunya, Risalah Dakwah menyebut, Allah SWT mencela orang Islam yang meninggalkan kewajipan berdakwah. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan tidak rugi bagi orang yang terbabit dalam usaha dakwah dan meninggikan syiar Islam. 


Bersifat ikhlas, yakin 

Sirah juga membuktikan orang yang bersifat ikhlas dan yakin akan terus berjuang demi menegakkan syiar Islam. Hamzah bin Abdul Muttalib rela berjuang kerana Allah SWT walaupun tubuhnya dicincang di medan jihad dalam Perang Uhud, Nabi Ibrahim rela dicampakkan dalam api, Nabi Ayub sabar dan tabah menderita diserang penyakit, Nabi Yusuf mengalami pelbagai dugaan sehingga dipenjara kerana mempertahankan keyakinannya kepada keesaan Allah SWT. 

Ternyata semua mereka mempunyai keyakinan terhadap Allah SWT dan terus berdakwah walaupun menghadapi pelbagai rintangan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh daripada kalangan orang yang bersalah dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi penolong (bagimu terhadap mereka).” (Surah al-Furqan, ayat 31)

Tiada ulasan: