Ahad, 1 Disember 2013

KEBEBASAN MUKLAT TIDAK WUJUD

Boleh tiru budaya masyarakat lain selagi tidak bertentangan al-Quran, hadis, sunnah

Manusia diberi kebebasan untuk menentukan apa yang ingin dilakukan asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan agama. Begitu juga sebagai rakyat, kita bebas melakukan apa saja untuk kebaikan diri selagi ia tidak menyalahi Perlembagaan dan undang-undang negara. 


Perkara sama juga berlaku dalam semua organisasi atau kumpulan yang memberi kebebasan kepada ahlinya melakukan perkara yang tidak berlawanan dengan peraturan atau kebiasaan diamalkan. 

Umat Islam ditegah menerima bulat-bulat amalan kaum lain tanpa menyelidik terlebih dulu sama ada perkara itu dibenarkan Islam atau tidak. Sebenarnya Islam tidak melarang kita mengikut amalan baik dan tidak bertentangan syariat Islam walaupun daripada bukan Islam"

Dengan kata lain, istilah kebebasan sepenuhnya tidak wujud dalam hidup manusia. Kita dibatasi dengan peraturan agama, undang-undang dan kebiasaan yang telah ditetapkan. Sekatan itu bukan menghalang hak kebebasan, tetapi untuk memberi kebaikan dan mencegah keburukan. 

Setiap negara atau masyarakat mempunyai peraturan berbeza mengikut keperluan setempat. Dalam kalangan umat Islam, mereka keliru atau jahil mengenai kebebasan beragama menurut perspektif Islam. 

Pada mereka, kebebasan bererti boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia bercanggah kehendak agama serta bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur. Mereka menggunakan hujah kononnya tidak ada paksaan dalam Islam.

Dalilnya ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).” (Surah al-Baqarah, ayat 256) 
Hidup umat tertakluk kepada syariat

Maksud sebenar ayat itu ialah tidak ada paksaan orang bukan Islam memeluk Islam, tetapi sesiapa yang telah menerima Islam sebagai agama anutan, maka dia tertakluk kepada syariat telah ditetapkan. 

Perkara ini sebenarnya bukan dalam soal beragama saja. Undang-undang negara, peraturan persatuan atau pertubuhan, bidang pekerjaan dan sebagainya tidak memaksa seseorang menyertainya.

Tetapi, apabila masuk dalam kelompok itu, mereka perlu mengikuti segala peraturan yang berkaitan dengannya. Jadi, alasan hak kebebasan tidak boleh digunakan dalam konteks untuk mengelak diri daripada melakukan atau melunaskan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Apa yang diperintahkan hendaklah disempurnakan seperti yang ditetapkan, manakala perkara yang dilarang pula hendaklah dijauhkan atau dihentikan daripada terus melakukannya. 

Syariat Islam termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis. Tidak ada pindaan, pengurangan atau penambahan boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Ajaran Islam terpelihara sepenuhnya sehingga ke hari kiamat.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kalian untuk dua perkara, kalian tidak akan sesat selama berpegang padanya, iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah.” (Riwayat Muslim) 

Oleh itu, umat Islam ditegah menerima bulat-bulat amalan kaum lain tanpa menyelidik terlebih dulu sama ada perkara itu dibenarkan Islam atau tidak. Sebenarnya Islam tidak melarang kita mengikut amalan baik dan tidak bertentangan syariat Islam walaupun daripada bukan Islam. 

Tiru budaya kerja penting kualiti

Sebab itu kita disuruh meniru budaya kerja masyarakat Jepun yang mementingkan kualiti, ketepatan masa, budaya ilmu, inovasi dan kreatif. Amalan ini berjaya meletakkan masyarakat Jepun mencapai kemajuan dan kemakmuran negara terbaik di dunia.

Namun, perlu diyakini bahawa apa yang diamalkan masyarakat Jepun itu telah lama dijelaskan dalam ajaran Islam. Itulah amalan umat Islam pada masa dulu yang membawa kepada kegemilangan empayar kuasa Islam, khususnya apa yang dicapai di Baghdad. 

Malangnya, umat Islam semakin jauh daripada tuntutan agama dan terus ketinggalan dalam era dunia moden hari ini. Tindakan umat Islam yang semakin lama semakin jauh meminggirkan agama Islam dan ajarannya yang suci atas alasan kebebasan dilaungkan telah membawa padah.

Mereka menggantikan ajaran Islam dengan fahaman lain biarpun masih mengaku sebagai Islam. Hanya Islam menunjuk jalan yang benar, justeru, umat Islam ditegah mengambil panduan hidup selain daripada apa yang telah ditetapkan oleh Islam. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang mengambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima apapun daripadanya dan ia di akhirat tergolong orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran, ayat 85) 

Hakikatnya, kebebasan mutlak tidak wujud dan usahlah kita terus menggunakan isu kebebasan semata-mata hendak melanggar kebiasaan yang diamalkan dalam agama. Tetaplah berpegang kepada peraturan dan hukum Allah SWT kerana itulah sebaik-baiknya untuk manusia...

Tiada ulasan: