Isnin, 23 Disember 2013

YAS mahu polis bertegas kepada 'Ayahanda' bermasalah

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Yayasan Ayahanda Semalaysia (YAS) mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas membanteras jenayah yang dilakukan oleh 'Ayahanda' yang bermasalah.
Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al Shahab berkata, ini perlu kerana pihaknya mendapati ada segelintir 'Ayahanda' bermasalah mewujudkan pertubuhan yang berteraskan jenayah kongsi gelap dan gangsterisme.
"Kita tidak berkompromi dalam isu ini kerana ia boleh menjadi kanser kepada pertubuhan kami yang berbai'ah kepada Allah.
"Sejak akhir-akhir ini kita lihat ada individu melantik diri mereka sebagai 'Ayahanda' dan melakukan perkara-perkara di luar konteks bai'ah pertubuhan 'Ayahanda' asal dan turut melampaui batas undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Ayahanda Semalaysia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Tambah Syed Husain lagi, pihaknya amat berterima kasih kepada PDRM kerana mewujudkan Op Cantas dan memohon untuk polis melakukan operasi dalam pertubuhan-pertubuhan 'Ayahanda' itu sendiri.
"Kita akan beri kerjasama erat kepada PDRM untuk membolehkan mereka melakukan operasi berkenaan dan berharap nama 'Ayahanda ' dapat dibersihkan daripada dikaitkan dengan sebarang aktiviti berkaitan jenayah, gengsterisme dan kongsi gelap," katanya lagi.
Malah, Syed Husain menegaskan, jika operasi polis tidak dapat menyelesaikan masalah yang ada dalam kalangan 'Ayahanda' bermasalah itu, pihaknya tidak teragak-agak membawa isu tersebut ke pengetahuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Ini bagi membolehkan satu keputusan di peringkat penguat kuasa agama dilakukan dalam membanteras 'penyakit' yang semakin parah dalam pertubuhan 'Ayahanda'," katanya.
Mengulas mengenai seminar yang diadakan, Syed Husain berkata, ia bagi membolehkan satu kata sepakat antara semua pertubuhan 'Ayahanda' seluruh Malaysia agar proses penjenamaan semula dilakukan.
"Kita perlu penjenamaan semula bagi pertubuhan kita agar ta tidak dilihat sebagai sebuah pertubuhan berkaitan dengan aktiviti songsang.
"Kita akan mendapatkan resolusi daripada semua pertubuhan 'Ayahanda' yang hadir seminar hari ini agar kami dapat sampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, pejabat Perdana Menteri dan PDRM.
"Ini bagi membolehkan pertubuhan kami diketahui latar belakang dan peranan dalam agenda transformasi negara dan juga bagi mengelakkan pertubuhan kami disalah tafsir," katanya. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131123/dn_21/YAS-mahu-polis-bertegas-kepada-'Ayahanda'-bermasalah#ixzz2oMZNRWKh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan: