Rabu, 23 Oktober 2013

Mawaddah, musyawarah, amanah teras keluarga bahagia

Suami, isteri patut berkongsi kelemahan dan kekuatan bina kehidupan

Perkahwinan menjadikan manusia semakin dekat dengan kasih sayang Allah SWT kerana ada seorang suami yang sentiasa mendidik dan melindungi isteri. Bagaimanapun, suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah akan merosakkan rumah tangga yang dibina. Malah ia mengakibatkan kemungkinan berlaku perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah SWT. Perceraian bukanlah keseronokan atau penentu kehidupan baru yang lebih baik daripada sebelumnya, tetapi ia jalan keluar daripada kesukaran. 

Justeru, tak perlu rasa bersalah jika terpaksa berpisah. Malah, Allah SWT memberi peluang kedua dan ketiga kepada pasangan yang ingin kembali bersama jika mencukupi syarat ditetapkan agama. 

Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)

Melalui institusi kekeluargaan, kehidupan manusia boleh dikatakan sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahlinya, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam setiap tindak-tanduk membabitkan ahli keluarga. 

Kehidupan berjemaah

Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak-anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah serta melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan mana-mana ahli keluarga yang lain.

Tempat tinggal pula ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dan dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga yang bertanggungjawab serta sarat dengan kasih sayang. 
Rumah tangga pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin. Objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti dituntut agama tidak tercapai.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju akhirat.

Tujuan perkahwinan untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan menepati firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21) 

Lumrah yang berpasangan akan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru, mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah SWT dan bertolak ansur sesama insan. 

Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, tetapi juga memenuhi keperluan jiwa nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi oleh pasangan. Mawaddah berasaskan nafsu serakah akan menghilangkan rahmah hingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, seterusnya cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak diterapkan dalam rumah tangga.

Ketua keluarga tidak tunai tanggungjawab 

Jika ketua keluarga tidak menunaikan tanggungjawab kepada ahli yang dipimpin, penghuni rumah tangga akan kehilangan arah dan pedoman terutama anak yang belum mampu memimpin diri sendiri. Suami dan isteri pula membawa haluan sendiri maka tiada lagi pemimpin dan yang dipimpin.

Sifat amanah menjadikan pasangan suami dan isteri lebih bertakwa kepada Allah SWT. Anak juga amanah kepada ibu bapa dan sejauh mana mereka berjaya memelihara amanah itu juga berdasarkan ketakwaan.

Mudahnya perkahwinan memberi kehidupan yang bahagian, perkahwinan juga boleh menjadi pengalaman buruk apabila objektif perkahwinan gagal dicapai. Tanpa kasih sayang, musyawarah dan amanah, rumah tangga akan runtuh.

Memang benar perceraian adalah perbuatan yang paling dibenci oleh Allah SWT, tetapi ia tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.

Walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana ia sunnah Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu. Perkahwinan diharamkan jika suami i menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin...

Tiada ulasan: