Selasa, 8 Oktober 2013

Tidak digalak memuji jika timbulkan riak

Islam tidak menggalakkan kita memuji seseorang di depannya jika kita khuatir orang itu berasa dirinya hebat. Namun, jika seseorang itu dapat mengelak daripada sifat bangga diri, kita boleh memuji di depannya. 

Abu Bakrah berkata, “Seorang lelaki disebut di depan Nabi Muhammad SAW dan ada orang memujinya. Nabi Muhammad bersabda: Aduh, saudara memotong leher sahabat saudara. 

Baginda mengucapkan beberapa kali dan menambah: Jika ada dalam kalangan saudara yang hendak juga memuji juga, katakanlah, saya fikir dia begitu begini meskipun saudara tahu dia memang begitu. Allah yang menentukannya, jangan ada sesiapa mendahului Allah memuji orang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Tabur tanah pada muka 

Hammam bin Haris berkata, “Ketika Miqdad melihat seorang lelaki memuji Uthman bin Affan, Miqdad duduk berlutut lalu menaburkan tanah pada muka pemuji itu. Uthman bertanya: Mengapakah saudara ini? 

Miqdad menjawab: Rasulullah bersabda: Apabila saudara melihat orang yang memuji, taburkanlah muka mereka dengan tanah.” (Riwayat Muslim) 

Ulama membuat kesimpulan boleh memuji orang yang sempurna iman dan yakin orang itu dapat mengawal diri serta mempunyai ilmu pengetahuan yang menyebabkan dia tidak terpengaruh dengan pujian itu. Jika sebaliknya, makruh memuji. 
Antara hadis membenarkan memuji adalah sabda Nabi Muhammad SAW kepada sahabatnya Abu Bakar, “Saya harap saudara termasuk dalam kalangan mereka”, iaitu orang yang namanya di panggil masuk di setiap pintu syurga. 

Nabi Muhammad juga bersabda kepada sahabatnya Umar bin Khattab, “Apabila syaitan melihat saudara lalu di satu jalan, ia pasti akan lalu di jalan lain.”

Tiada ulasan: