Selasa, 22 Oktober 2013

Sifat pelampau, tergesa-gesa musuh wasatiyyah

Pendekatan dakwah, tarbiah secara berhemah bina tamadun

Wasatiyyah atau al-Wasatiyyah adalah pendekatan dan konsep seperti yang terungkap dalam al-Quran mengenai kesederhanaan, keseimbangan, kecemerlangan, keadilan dan kebijaksanaan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demikianlah juga Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi terhadap umat manusia (pada hari kiamat kelak) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi terhadap kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143) 

Wasatiyyah bukan sekadar suatu konsep dan pendekatan, tetapi terkait dengan hal kehidupan. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagaimana pendekatan wasatiyyah berlaku pada amalan dirinya (sunnah) juga hubungan amalan diri dengan pedoman kehidupan"

Konsep dan pendekatan ini strategik serta bijaksana untuk menginsafi kejadian manusia yang berpasang-pasang dan memerlukan faktor wasat sebagai pengimbang yang baik. Perjuangan memartabatkan Islam ada kala berlaku tanpa perimbangan berhemah dan menyebabkan wujud laluan sukar serta fitnah terhadap Islam itu sendiri.

Islam tidak hanya suatu sistem kepercayaan, tetapi juga suatu cara hidup. Al-Quran dan sunnah memerlukan pendekatan menyantuni waqi’ atau realiti secara seimbang serta bijaksana. Al-Quran tidak saja bersifat tekstual (kitab), tetapi juga kontekstual (kehidupan itu sendiri).

Islam lengkap, sempurna

Islam membawa konotasi sejahtera. Sifat salama itu merentasi jalur rohaniah juga jalur amaliah dan kewujudan. Ia sesuatu yang lengkap dan sempurna. Lengkapnya tasawwur Islami dan sempurnanya pedoman al-Quran dan sunah terhubung dengan sistem. 
Sistem yang terbangun secara seimbang, cemerlang, adil dan bijaksana memimpin jalan ke arah tamadun. Fitrah pendekatan wasatiyyah sifatnya menghubungkan. Berwasatiyyah tidak bermakna mengorbankan prinsip, tetapi pendekatan berimbang merintis jalan keadilan.

Sifat pelampau, tergesa-gesa dan gopoh adalah musuh wasatiyyah. Ia menyebabkan perjuangan umat Islam berada dalam krisis dan konflik yang tidak berkesudahan.

Justeru, pendekatan wasatiyyah memerlukan perincian dan kesaksamaan dalam strategi supaya terlihat sebagai pendekatan sederhana, berimbang, bijaksana dalam memartabatkan Islam serta umatnya.

Ia menuntut kefahaman terhadap tasawwur Islami dengan betul, pendekatan dakwah dan tarbiah yang bijaksana, memahami strategi serta maslahah secara berhemah bersama kualiti ilmu dengan ketrampilan yang berupaya membangun jalur tamadun.

Pendekatan Rasulullah SAW sifatnya bil hikmah, yang menyebabkan Islam berkembang dengan bijaksana meskipun cabaran dan ujiannya tetap terjadi. Ia menuntut kesabaran dan kebijaksanaan tinggi kerana menjatuhkan sesebuah rejim boleh terjadi, mengurus kemenangan dan perubahan payah sekali.

Perkara pokok yang menjadi tunjangan wasatiyyah ialah binaan tasawwur Islami yang membawa asas keseimbangan dan kecemerlangan. Binaan tasawwur atau worldview menjadikan fikrah terhadap kewujudan serta hikmah di sebalik kewujudan dilihat secara seimbang.

Dijadikan bumi dan langit, siang dan malam, hidup dan mati, lelaki dan perempuan, dunia dan akhirat, mempunyai hikmah yang tinggi. Bagi yang arif mencari keseimbangan Allah membekal akal dan hati untuk berfikir serta membuat timbangan. 

Timbangan ini akhirnya meletakkan manusia dalam keserasian dan fitrah jika al-Quran dan sunnah dijadikan pedoman. Jika pertimbangan berasaskan kepentingan diri semata-mata, ia boleh terarah kepada hal memudaratkan.

Wasatiyyah berkait dengan kehidupan

Wasatiyyah bukan sekadar suatu konsep dan pendekatan, tetapi terkait dengan hal kehidupan. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagaimana pendekatan wasatiyyah berlaku pada amalan dirinya (sunnah) juga hubungan amalan diri dengan pedoman kehidupan.

Bagaimana Rasulullah SAW makan ketika lapar dan berhenti sewaktu hampir kenyang adalah bukti kesederhanaan Baginda. Bagaimana sebiji kurma diagihkan kepada yang memerlukan cerminan sifat prihatinnya terhadap keperluan orang lain.

Jiwa besarnya menyantuni seorang perempuan Yahudi yang membencinya dan akhirnya memeluk Islam, usaha terbaik untuk melakukan dakwah kepada bapa saudaranya Abu Talib dan hidayah itu milik Allah adalah gambaran jiwa dai’ yang tinggi.

Penyebab boleh datang daripada manusia yang membuka hati manusia untuk menerima kebenaran adalah urusan Allah.

Melakukan hijrah ke Gua Thur dengan perintah Allah SWT, melalui ujian payah ke Madinah dan membina masjid apabila sampai ke sana lalu mempersaudarakan Muhajirin dengan Ansar adalah gambaran jiwa bijaksana yang akhirnya menjadikan Madinah kota ternama.

Membina Sahifah Madinah dan mempertautkan hubungan pelbagai kelompok agama, bersetuju melakukan perjanjian Hudaibiyyah dan akhirnya melakukan Futhul Makkah adalah strategi hebat seorang tokoh teladan untuk dijadikan sumber ikutan.

Apa yang berlaku dan dilakukan oleh Rasulullah SAW itu adalah gambaran sifat wasat atau kesederhanaan dimilikinya tetapi memiliki ketegasan terhadap prinsip memartabatkan Islam supaya manusia kembali kepada fitrah walaupun ia menuntut perjuangan yang panjang.

Jalur wasatiyyah yang mempunyai hemah dan matlamat murni seharusnya menjadi jalan ikutan umat terkemudian supaya prinsip dibina, matlamat ingin dicapai dan perjuangan dilalui dapat dicapai. Tanpanya kejayaan tidak akan tercapai, kecemerlangan susah terjadi dan keadilan payah menjelma...

Tiada ulasan: