Sabtu, 15 Jun 2013

Dadah Mengancam Kesejahteraan Ummah dan Negara


 Ketakwaan kepada Allah SWT merupakan dua perkara penting yang akan menjamin penduduk sesebuah negeri atau kawasan memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.
 
Firman Allah dalam Surah al-A`raaf ayat 96 bermaksud;
 
“Dan sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami (Allah) bukakan pintu-pintu keberkatan kepada mereka, sama ada dari langit ataupun bumi”
 
Tidak dapat kita nafikan bahawa sebahagian dari pintu-pintu keberkatan itu telah terbuka luas untuk kita hambanya di muka bumi Allah ini. Sebagai contoh kita dapat menjalankan kerja-kerja dan tugas seharian tanpa ada apa-apa halangan dan gangguan termasuklah amalan-amalan yang difardhukan oleh Allah SWT dengan sempurnanya. Atau dengan lain perkataan kita dapat menunaikan segala tanggungjawab yang diberikan sesuai dengan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini atau tugas-tugas utama kita sebagai pemimpin atau yang dipimpin.
 
Jika kita perhatikan serta melihat secara terperinci masih terdapat lagi perkara-perkara yang menyayatkan hati kita yang masih terus berlaku dalam masyarakat pada masa ini dimana-mana sahaja tidak kira di bandar atau pun di desa nun yang terpencil sekalipun. Masalah-masalah seperti  pembuangan bayi hidup-hidup tanpa belas kasihan oleh ibu yang melahirkannya,  kes penderaan kanak-kanak, sumbang mahram, lepak, ponteng sekolah serta masalah disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar. Malah yang amat menggerunkan sekali ialah keterlibatan para remaja dengan gejala dadah khususnya bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.
 
Kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 2010 yang lalu ke atas remaja di tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mendapati bahawa rata-rata para remaja mengharapkan mendapat perhatian sewajarnya dari ibu bapa mereka terutama bagi membentuk masa depan mereka yang lebih cemerlang disamping faktor alam persekitaran yang lain. Faktor keluarga merupakan faktor yang paling diutamakan kerana ianya amat penting dalam mencorak masa depan mereka. Sekiranya para keluarga khususnya para ibu dan bapa tidak memberikan perhatian sudah pasti pelbagai perkara boleh berlaku termasuklah penyalahgunaan dadah.Bagi mereka, ibu dan bapa adalah segala-galanya disamping para guru yang merupakan tempat pergantungan mereka yang kedua terutama semasa mereka di sekolah.
 
Mengimbas kembali perangkaan yang dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (NADI) dalam tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 1988 hingga 1999 sahaja seramai 162,750 orang penduduk di negara ini telah disahkan terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Dimaklumkan juga bahawa jumlah penagih dadah untuk sehari ialah seramai 103 orang dan yang ramai ialah di kalangan orang melayu beragama Islam iaitu sebanyak 66%.Sejumlah besar daripadanya adalah kalangan remaja dan para belia berumur antara 13 hingga 39 tahun yang bakal mewarisi negara iaitu meliputi sebanyak 79.3%.
 
Menurut perangkaan yang diterbitkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2011 menunjukkan angka yang paling tinggi diperolehi  oleh orang Melayu iaitu 78.23% diikuti India, China dan lain-lain. Berbanding pada tahun 2010 perbezaan yang amat ketara penurunan jumlah penagih dalam kalangan orang Melayu dan India iaitu sebanyak 53.15%.Penurunan jumlah penagihan yang amat ketara ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menanganinya. Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan terutama apabila berlakunya transformasi kerajaan ke arah yang lebih signifikan termasuk membuat penambahbaikan dari pelbagai aspek seperti menaik taraf pusat pemulihan yang sedia ada, kaedah perawatan yang berkonsepkan fun, effective and easy to implementdan beberapa perkara lagi bentuk pemulihan serta pencegahan melalui cara yang lebih berhikmah.
 
Daripada  perangkaan yang disebutkanjelaslah kepada kita bahawa isu dadah sudah sampai ketahap serius serta kritikal dimana pernah satu ketika diisytiharkan sebagai “musuh nombor satu Negara”.Sebagai langkah penyelamat kerajaan telah mengambil langkah-langkah khusus bagi menanganinya antaranya menjadikan unsur-unsur agama dan kerohanian sebagai asas utama bagi menanganinya.Justeru itu, para remaja dan belia sepatutnya inilah masanya untuk mereka memenuhi masa yang amat berharga itu dengan menuntut ilmu serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta bukannya menjadi musuh negara.
 
Para Ulama’ juga turut memainkan peranan mereka dengan bersepakat bahawa dadah adalah haram disisi Islam. Ibnu Taimiyah pernah menegaskan bahawa sesiapa yang mengatakan dadah itu halal maka orang itu menjadi murtad nau’zubillah min zaalik. Begitu juga mereka bersepakat bahawa semua jenis dadah adalah haram (termasuk dalam pengertian khamar atau arak ) kerana kedua-duanya boleh memabukkan, mengkhayalkan, meletihlesukan, merosakkan akal fikiran, menyebabkan ketagihan dan gangguan tingkah laku. Pengharaman penyalahgunaan dadah adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah , ayat 90 yang bermaksud;
 
“Wahai orang yang beriman, sesungguhnya khamar atau arak atau dadah, berjudi, menyembah berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan kotor yang terdiri dari amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan ini supaya kamu memperoleh kejayaan”.
 
 
Sabda Rasulullah SAW yang  bermaksud;
 
“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak atau dadah) dan setiap khamar itu adalah haram”.(Hadis riwayat Muslim)
 
Menurut Imam Syaukani dalam Nailul Authar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana  pemabuk sama dengan penyembahan berhala dan pada pandangan Islam merupakan kekufuran dan amat berat. Hal ini membuktikan betapa penyalahgunaan dadah itu adalah larangan yang amat keras kepada mereka yang mempunyai perasaan fikiran sedangkan mereka mengetahuinya.
 
Sepertimana kita maklum bahawa amalan kebajikan atau ibadat penagih dadah atau arak juga tidak diterima oleh Allah SWT selama 40 hari kecuali dia bertaubat  melalui syarat-syarat tertentu sepertimana sabda Rasulullah SAW yang  bermaksud;
 
“Barang siapa yang meminum arak (atau menagih dadah) tidak diterima solatnya oleh Allah selama 40 hari, jika dia bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya”.
 
Banyak Kemusnahan Akan Berlaku Akibat Pengambilan Dadah
 
Sebenarnya banyak kesan-kesan buruk boleh berlaku akibat penagihan dadah antaranya ialah kesihatan sering terganggu, akan terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang tidak terkira pedih dan peritnya, antaranya boleh berlakunya kematian mengejut akibat lebihan dos (sukatan dadah yang diambil) berlebihan, menyebabkan gangguan emosi dan psikologi, memusnahkan keharmonian rumahtangga, melumpuhkan ekonomi serta mengancam keselamatan negara. Biasanya antara punca utama berlakunya penagihan dadah dalam kalangan remaja ialah kerana pengaruh kawan-kawan, perasaan ingin tahu, untuk keseronokan dan kerana tekanan jiwa.
 
Kesemua faktor-faktor tersebut boleh diatasi sekiranya anak-anak muda kita mempunyai jati diri serta sahsiah yang baik dan yakin diri. Mereka mesti mempunyai daya fikir yang kreatif dan berani mengatakan tidak kepada apa juga pengaruh serta ism-ism atau kefahaman yang cuba mendekati mereka atau apa-apa sahaja yang ingin menggoda mereka terutama untuk menjerumus ke arah penagihan dadah yang tidak mengenal dan memilih mangsa.
 
Tindakan Yang Diperlukan Untuk Mengatasinya
 
Semua pihak khususnya yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat setempat seperti pemimpin politik, para ulama, para professional, pemimpin belia termasuklah ibu bapa sendiri hendaklah sentiasa bertanggungjawab dalam mengawal para belia remaja dan anak masing-masing supaya mempunyai daya yang kental dan kebal bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman dadah serta gejala sosial yang lain.
Sabda Rasulullah  SAW yang  bermaksud;
 
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya dari hal apa yang dipimpin kepadanya. Seorang pemimpin adalah pemerintah dan akan ditanya dari hal yang diperinyahkan kepadanya. Seorang isteri adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya dan akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperinyahkan kepadanya. Seorang khadam (pembantu) adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperintahkan kepadanya.Kesimpulannya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya dari dari hal pimpinan kamu”.
(Hadis ini riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Akhirnya sama-samalah kita bermuhasabah dan menginsafi diri tentang sejauh manakah kita telah menjalankan tanggungjawab untuk menjaga orang tersayang  di bawah jagaan kita agar terselamat daripada sebarang bentuk ancaman penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang kian bermaharajalela. Masalah yang berlaku kini bukan sahaja di kawasan terpencil dan lorong-lorong gelap namun telah menjalar ke kawasan lain termasuk ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, institusi pondok, madrasah-madrasah atau pusat pengajian tinggi.
 
Bagi merealisasikan kemampuan tindakan kita beberapa perkara berikut boleh dijadikan panduan antaranya ialah;
 
Pertama;kita perlu mengemas kini pelaksanaan undang-undang pencegahan jenayah berkaitan dadah di negara ini dengan lebih ketat atau memikirkan sesuatu kaedah alternatif yang baru dan lebih efektif serta berkesan menurut perspektif Islam dengan harapan masalah dadah dapat diselesaikan hingga ke peringkat akar umbi.
 
Kedua; memastikan anak-anak kita mengerjakan sembahyang dengan sempurna kerana solat yang sempurna boleh mencegah dari melakukan segala kemungkaran sepert firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 45 bermaksud;
 
“Dirikanlah solat (kerana) sesungguhnya solat (yang sempurna itu) boleh mencegah (umat Islam) dari melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar”.
 
Ketiga; menghidupkan atau membiasakan adab memberi salam yang boleh membawa rasa kasih sayang sesama ummah serta mewujudkan persefahaman dalam kalangan masyarakat seperti sabda Rasulullah SAW yang  bermaksud;
 
“Kamu sekali-kali tidak dapat masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu sekali-kali tidak beriman (dengan sempurna) sehingga kamu berkasih sayang sesama kamu”
 
Keempat; mewujudkan suasana amar makruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat agar kita dan anak-anak muda turut merasai kesan suasana tersebut dan merasa malu serta segan untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud;
 
“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada berbuat-buat baik serta meninggalkan kemungkaran dan merekalah orang yang beriman”
 
Firman-Nya lagi dalam Surah at Taubah ayat71 bermaksud;
 
“Dan orang yang beriman (lelaki dan perempuan), sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyeru yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lag Maha Bijaksana”
 
Kelima; yang paling penting sekali ialah memahami dan mewujudkan kesedaran bahawa  dadah dan arak ini adalah masalah kronik dan hanya mempunyai  kesan negatif ke atas ummah dan negara. Masyarakat perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas terutama tentang bahayanya menurut kaca mata Islam. Selain itu sentiasalah  menasihati dan memberi peringatan  kepada  masyarakat agar sentiasa peka dengan masalah ini khususnya jika ia menjalar menjadi wabak atau virus yang serius  dalam kalangan remaja dan belia dimana mereka adalah pewaris masa depan ummah dan negara. Akan hancurlah sesebuah Negara itu jika muda-mudi yang menjadi tiang negara ini tewas akibat dipengaruhi dadah durjana ini.
 
Akhirnya marilah sama-sama kita berganding bahu dan melipatgandakan usaha serta tenaga dalam membanteras dan menangani gejala ini daripada berterusan membaham serta merosakkan anak-anak kita. Janganlah sekali-kali kita mengikuti jejak langkah para syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan pernah berhenti menghasut dan menggoda manusia ke arah kejahatan dan sentiasa hendak menimbulkan permusuhan serta kebencian antara sesama manusia...
 

Tiada ulasan: