Rabu, 26 Jun 2013

YADIM

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merupakan satu badan yang ditubuhkan kerajaan untuk menyelaras dan melaksanakan peranan dakwah di Malaysia.
Sejak ditubuhkan pada 1974 sehingga kini, Yadim berjaya melakar peranan dakwah di seluruh pelosok tanah air lalu meletakkan Islam dipandang tinggi oleh semua masyarakat termasuk bukan beragama Islam.
Usaha itu dijayakan oleh tenaga kerja Yadim yang bertungkus-lumus menjaya agenda dakwah termasuk barisan kepimpinan badan itu yang bermula daripada Yang Dipertua pertama, Tun Syed Nasir Ismail sehinggalah jawatan itu kini disandang oleh seorang anak muda bernama Dr. Asyraf Wajidi Dusuki.
Nama Asyraf Wajidi sudah tidak asing dalam bidang muamalat apabila beliau yang merupakan ahli akademik telah bergiat aktif di peringkat antarabangsa untuk memperkenalkan sistem kewangan Islam kepada dunia.
Namun beliau kini menggalas amanah untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah kepada seisi rakyat Malaysia apabila dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Yang Dipertua Yadim baharu berkuat kuasa pada 3 Jun lalu.
"Saya bukan Yang Dipertua tetapi dipertuankan," demikian gurauan ringkas Asyraf Wajidi ketika ditemui pertama kali oleh Mega Utusan Malaysia selepas seminggu dilantik mengetuai badan Yadim baru-baru ini.
Terlebih dahulu ketika ditanya apakah relevan bagi anak muda untuk mengetuai sesebuah badan agama, Asyraf Wajidi memberitahu perkara pertama yang perlu difahami bahawa perkembangan agama Islam ketika zaman sirah diterajui dan didokong oleh golongan muda.
Beliau menambah pada waktu itu, golongan yang bersama-sama perjuangan Nabi Muhammad SAW terdiri daripada anak-anak muda antaranya seperti Ali Abi Talib, Zubir Awwam dan lain-lain lagi, malah yang paling tua pada waktu itu adalah Abu Bakar.
"Sehinggalah Rasulullah pernah bersabda, sesungguhnya aku diputuskan untuk mengkhabarkan berita kebaikan dan bersifat pengajaran dan ketika ditentang hebat orang tua, generasi muda yang bersama aku.
"Namun kenyataan itu tidak bermakna bahawa tugas dakwah sepatutnya diletakkan atas bahu anak muda sahaja, sekali gus menafikan peranan golongan lama tetapi semua pihak yang bergelar mukmin wajib memainkan peranan dakwah di muka bumi ini," ujar Asyraf Wajidi.
Pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam perbankan dan kewangan Islam itu berkata, anak muda tidak perlu hanya menumpukan untuk mengambil bahagian dalam badan agama sahaja tetapi mereka wajar terlibat dalam pelbagai bidang profesional.
Tambah beliau, cumanya kesempatan anak muda seperti beliau yang perlu diambil ialah menjanakan dakwah dengan semangat baharu dan pendekatan dinamik mengikut peredaran masa memandangkan zaman kini sudah berubah lebih-lebih lagi menerima tempias kepesatan Internet.
"Rasulullah pernah menyebut apabila hendak berbicara dengan manusia, kita harus lihat pemikirannya.
"Jika kita berbicara dengan bahasa tidak difahami oleh orang muda, sudah tentunya akhirnya dakwah itu bersifat dogmatik, jumud dan tidak berkembang," kata Asyraf Wajidi.
Visi dan misi
Berdasarkan pengalaman dalam bidang dakwah sejak zaman mahasiswa lagi sehinggalah menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi, Asyraf Wajidi berkata kelebihan itu telah memberi sedikit pengetahuan terhadapnya untuk melaksanakan agenda dakwah Islamiah kepada pelbagai golongan.
Ujar beliau, hal berkenaan termasuklah terhadap masyarakat bukan beragama Islam dan tugas ini harus melalui usaha dengan menampilkan agama itu dalam kerangka positif dan dinamik kepada mereka menerusi bentuk perilaku umatnya sendiri.
"Kalau disingkap sejarah Islam, tidak tercatat berbondong-bondong masuk Islam kerana lisan tetapi mereka melihat keperibadian umat Islam sendiri.
"Perkara ini saya dan Yadim cuba tekankan agar dapat membentuk umat Islam negara ini untuk menjadi duta Islam atau contoh ikutkan kepada masyarakat lain bagi memudahkan mereka untuk mendekati ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW," kata Asyraf Wajidi.
Selain itu, Asyraf Wajidi berkata, perkara utama selepas memegang amanah Yang Dipertua Yadim ialah melakukan penstrukturan semula badan itu dengan menilai kembali setiap peranan 350 warga kerja institusi tersebut.
Dengan mendapat sokongan dan persetujuan ahli pemegang amanah Yadim, ujar beliau tujuan penstrukturan itu supaya setiap warga memainkan peranan secara aktif dalam setiap program yang dianjurkan.
"Harapan kita ialah setiap perancangan dan program Yadim hendaklah berorientasikan impak dan natijah kepada masyarakat selain berdasarkan objektif serta matlamat.
Program yang hanya sekadar memenuhi jadual semata-mata, akan dijauhi," tegas anak kepada Datuk Dusuki Ahmad yang juga pernah menjadi Yang Dipertua Yadim sebelum ini.
Malah menurut Asyraf Wajidi, beliau akan mengembalikan semula program-program yang sinonim dengan Yadim seperti Bulan Dakwah dan Ibu Mithali menerusi pendekatan terbaharu.
"Kita akan mengarusperdanakan program-program dakwah kepada masyarakat dan insya-Allah hal ini diyakini dapat memberi kesan positif kepada seluruh rakyat Malaysia," kata beliau.
Rangka kerja dakwah
Menyedari peranan Yadim untuk melaksanakan agenda dakwah di Malaysia seperti mana termaktub dalam perlembagaan badan itu, Asyraf Wajidi berkata bahawa beliau akan menyusun agenda dakwah Islamiah dengan lebih berkesan dan sistematik.
Jelas beliau, hal demikian dilaksanakan menerusi peranan Yadim menjadi koordinator dakwah tanah air dengan mengajak badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan individu untuk bersama-sama untuk menyusun strategik.
"Kita tahu setiap pihak mempunyai agenda dan perancangan tersendiri, terdapat yang fokus dengan isu akidah, bukan Islam, motivasi, kesenian dan sebagainya. Jadi mereka harus digembleng atau digerakkan mereka secara bersama.
"Melalui tindakan ini, kerjasama itu akan menjadi impak positif lalu menyebabkan agenda dakwah dirasai dan lebih bermakna," kata beliau.
Dalam pada itu, Asyraf Wajidi berkata Yadim akan meletakkan Islam lebih tinggi daripada segalanya dengan menolak agenda politik dalam agenda dakwah Islamiah di negara ini.
"Atas asas tersebut, kita mahu berkerjasama dengan semua pihak termasuk berlainan parti untuk tangani isu Islam secara bersama," ujar beliau.
Sebelum mengakhiri temuramah, Asyraf Wajidi berkata bahawa pihaknya akan melakukan kajian untuk menilai kembali program dan dasar Islam yang pernah dijalankan.
Tambah beliau, hasil daripada semakan itu, Yadim akan melakukan rangka kerja untuk agenda dakwah tanah air dengan di mana setiap program penganjuran akan memberi impak dan bukan sekadar bersifat acara sahaja...

Tiada ulasan: