Ahad, 10 November 2013

WASATIYYAH DIDALAM PENDIDIKAN

Keseimbangan dalam ilmu diperoleh melahirkan generasi terdidik akhlak, peribadi

Ilmu yang sepadu dan sifatnya bertatahkan nilai akan memberi arah terhadap pedoman yang baik serta bermanfaat. Ia juga bakal melahirkan generasi terdidik yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan, tidak gopoh dan sentiasa bijaksana dalam memahami waqi’ atau realiti. 

Peradaban silam umat Islam ditandai dengan kekuatan ilmu dan pendidikan. Ia menjadi tunjang kepada tradisi kencendiakawanan dan pemikiran. Ilmu yang sepadu atas asas integrasi ilmu urus diri dan ilmu urus sistem menjadi landasan terbaik kepada hala tuju pendidikan umat serta negara. 

Ilmu yang benar dan bermanfaat jika diolah secara wasatiyyah bakal menghasilkan jenis manusia yang baik binaan agamanya serta bagus binaan ilmu ketamadunan. Ia menjadi sangat relevan dengan perubahan zaman kerana memiliki kualiti berimbang yang baik.

Wasatiyyah dalam pendidikan yang mencari titik keseimbangan tidak sekadar satu proses menyampaikan maklumat, ilmu, kemahiran serta ketrampilan semata-mata sebaliknya ia juga proses transformasi diri dan sistem.

Ilmu yang benar dan bermanfaat jika diolah secara wasatiyyah bakal menghasilkan jenis manusia yang baik binaan agamanya serta bagus binaan ilmu ketamadunan. Ia menjadi sangat relevan dengan perubahan zaman kerana memiliki kualiti berimbang yang baik.

Kualiti berimbang yang ada pada umat Islam menyebabkan anugerah Allah SWT terhadap limpahan rahmat dan nikmat dapat diuruskan dengan amanah serta bijaksana. 

Bayangkan banyak negara Islam tidak mempunyai sistem pendidikan yang sepadu menyebabkan ilmu yang berhubung dengan daya urus sistem tidak dibangunkan dan kemampuan menguruskan sumber dalam sistem tidak terjadi. 
Ia menyebabkan kualiti rohaniah dalam kalangan warga umat tinggi tetapi upaya amaliah tidak produktif dan menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Perkukuh peroses integrasi harmoni

Justeru pendidikan yang wasatiyah melalui proses integrasi harmoni antara faktor kognitif, afektif dan psikomotor perlu diperkukuhkan. Gandingan kekuatan akliah yang diimbangkan dengan kekuatan rohaniah terserap dengan baik menjadi sumber terbaik diterjemahkan dalam amal.

Pendidikan berkualiti ialah pendidikan yang mampu membentuk watak dan peribadi mithali. Sumber contoh teladan adalah sesuatu yang amat utama kerana daripadanya tergambar sari pati akhlak mulia.

Inilah asas perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah islah dan tarbiah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Ini juga menjadi tonggak menyatukan ummah kerana Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah untuk menyempurnakan akhlak manusia. 

Pendidikan juga terkandung faktor adab sangat dititikberatkan. Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik.” Yang terbaik itu merujuk kepada konsep addaba yang membawa maksud disiplin akliah, rohaniah dan amal.

Pendidikan yang membawa asas tajdid (transformatif) berlandaskan disiplin membentuk akal supaya memiliki daya fikir yang tinggi, berupaya menjana ilmu dan hikmah. Ini adalah landasan wasatiyyah.

Fokus kepada hati (ta’adibi) bermaksud bagaimana kesuburan hati dan niat menyebabkan pembersihan jiwa terjadi dan ia penting sebagai pancaran niat yang ikhlas serta murni untuk amal soleh.

Justeru, pendekatan wasatiyyah yang komprehensif tidak saja memancarkan kebenaran dan keadilan, tetapi juga menghasilkan suasana berimbang dan harmoni di mana ia menjadi teladan terbaik untuk melihat kebijaksanaan terjadi.

Atas kapasiti ilmu dan pendidikan, umat Islam menjadi umat contoh kerana istiqamahnya yang tinggi, ikhlas serta amanah melaksanakan taqlif atau tanggungjawab, terbuka untuk berbeza pandangan, sangka baik terhadap orang lain, tidak gopoh atau terburu-buru menghukum.

Umat istiqamah dalam jihad ilmu

Ilmu dan pendidikan menjadi suluh yang memberi jalan serta jalur perjuangan kepada kehidupan yang di redai-Nya. Jalur perjuangan bersifat wasatiyyah bakal menghasilkan umat istiqamah dalam jihad ilmu dan pendidikan. Ia bakal memacu peradaban yang sifatnya seimbang dan menyeluruh.

Kebenaran yang disampaikan oleh Allah SWT melalui al-Quran perlu disampaikan kerana al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dihafaz, tetapi harus mampu diterjemah dalam konteks memahami realiti.

Al-Quran menjadi sumber dakwah terpenting, tetapi penyampaiannya mestilah dengan bijaksana dan kebijaksanaan adalah jalur wasatiyyah. Kebijaksanaan memahami mad’u atau sasaran adalah dituntut.

Kebijaksanaan memahami tahap pemahaman mereka diperlukan. Kebijaksanaan memahami orientasi pendidikan dan kehidupan mereka amat utama. Dari situ usaha tabligh dan dakwah berlaku secara berkesan...

Tiada ulasan: