Sabtu, 23 November 2013

Pembunuhan berleluasa pada akhir zaman

Manusia hilang rasa kasih sayang, iri hati

Kita dapat melihat sejak kebelakangan ini, berita sensasi seperti pembunuhan sering dipaparkan dalam laporan media arus perdana. Kadangkala terdetik dalam fikiran bagaimana keadaan ini boleh berlaku adakah zaman sudah berubah dan dunia menghadapi zaman gelap ketika di penghujungnya. Saban hari berlaku saja kes pembunuhan seolah-olah nyawa manusia sudah tidak bernilai lagi. 

Sebenarnya, apa yang berlaku ini sudah digambarkan Baginda SAW apabila tibanya masanya ketika dunia menghampiri hari kiamat yang tanda-tandanya adalah seperti berleluasa kes pembunuhan. Selepas berlalu masa yang panjang sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini, nyawa dan darah manusia kini bagaikan tidak berharga lagi.


Boleh dilihat pada hari ini berlaku perang saudara dan krisis perkauman di banyak tempat di seluruh negara yang mana ini adalah kenyataan tidak dapat dinafikan lagi. Amat malang lagi apabila pembunuhan ini berlaku sesama saudara seagama dan sebangsa. Selepas kedatangan Islam, kedudukan manusia dimuliakan Allah SWT dan mengubah bentuk pengabdian mereka kepada Tuhan yang satu. 

Kedudukan manusia yang mulia di sisi Allah SWT menyebabkan darah mereka haram ditumpahkan walaupun terhadap golongan kafir yang tidak memerangi Islam (kafir zimmi). Ini kerana perbuatan membunuh adalah kesalahan besar di sisi Allah SWT. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu yang lebih banyak dari sebahagian yang lain. Kerana bagi seorang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah An-Nisa: Ayat 32). 

Hilang rasa kasih sayang 

Keadaan ini juga adalah disebabkan oleh rasa permusuhan yang tumbuh dalam hati manusia lalu mengakibatkan hilangnya rasa kasih sayang dalam kalangan manusia. 
Akhirnya, keseimbangan dalam masyarakat akan hilang. Dengan berbekalkan moral yang sedikit itu, maka dorongan ke arah perbuatan dosa kecil akan berlaku dan akhirnya dapat mengarah kepada dosa besar yang mengakibatkan turunnya kemurkaan Allah SWT. Maka, kemurkaan ini akan dihukum Allah SWT melalui turunnya bencana alam, masalah moral dan kes pembunuhan. 

Islam menganggap membunuh adalah antara dosa besar kerana nyawa dan roh seseorang adalah milik Allah SWT dan manusia tiada hak untuk mengambil tempat Allah SWT untuk membunuh manusia. 

Baginda Nabi SAW memberi ancaman kepada mereka yang membunuh dengan sabda yang bermaksud: “Membunuh seorang yang beriman adalah perkara yang paling hina di sisi Allah SWT.” (Riwayat Tirmizi dan Nasai). 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya dengan kemurkaan Allah serta laknat terhadap mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 93) 


Kemurkaan Allah 

Ini menunjukkan betapa besarnya kemurkaan Allah SWT terhadap manusia yang membunuh manusia lain. Walaupun hanya satu nyawa melayang, tetapi ia sangat besar di sisi Allah SWT sehingga dianggap pembunuh itu telah membunuh manusia seluruhnya. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang membunuh satu jiwa, atau melakukan kerosakan di bumi seolah-olah dia membunuh seluruh manusia dan sesiapa yang menyelamatkan satu jiwa, seolah-olah dia menyelamatkan seluruh jiwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 32). 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Semua dosa akan diampunkan Allah kecuali mereka yang mati dalam kufur atau membunuh seorang mukmin dengan sengaja.” (Riwayat Abu Daud dan Nasai’). 

Berlakunya pembunuhan yang dimaksudkan Baginda SAW pada hari ini adalah fenomena kepada krisis kefahaman terhadap agama Islam. Pegangan serta keimanan mereka menjadi semakin longgar sehingga membunuh menjadi perkara biasa dalam kehidupan mereka. 

Malah, ada yang menjadi pembunuh sebagai kerjaya dan mendapat upah. Senjata dan peralatan boleh didapati dengan mudah. Terkadang, mereka yang dibunuh tidak mengetahui sebab mengapa mereka dibunuh. 

Si pembunuh juga tidak mengetahui mengapa dia membunuh. Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, dunia tidak akan musnah sebelum datang kepada manusia suatu masa yang mana seorang pembunuh tidak mengerti untuk apa dia membunuh, orang yang dibunuh pun tidak tahu mengapa dia dibunuh.” (Riwayat Muslim) 

Antara faktor menyumbang kepada gejala ini adalah kerana janji Allah SWT yang mana pada akhir zaman, dunia akan mengalami krisis global yang meliputi ekonomi, politik, kemanusiaan dan akhlak. Sistem keamanan sejagat menjadi semakin longgar dan krisis moral amat tinggi dalam kalangan masyarakat. 

Baginda SAW menggambarkan masa itu sebagai ‘harj’. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Menjelang tiba hari kiamat akan berlaku peristiwa ‘harj’. Sahabat bertanya: “Apakah harj itu?” Baginda SAW bersabda: “Pembunuhan.”

Tiada ulasan: