Ahad, 17 November 2013

Tingkat kualiti makanan ikut Islam

Makanan halal tidak menepati piawaian boleh memudaratkan pengguna

Gejala kejadian keracunan makanan sejak kebelakangan ini sering dilaporkan oleh pihak media. Ada saja kes yang berlaku, malah sehingga pernah mengakibatkan kematian. Kejadian cirit-birit akibat makanan yang disediakan di kantin sekolah mahupun di dewan makan asrama perlu diperbetulkan segera agar masalah itu tidak berulang. 


Sesungguhnya, Islam menyediakan garis panduan komprehensif berkenaan pemakanan, baik dari sudut halal haram sesuatu produk makanan, mahupun dalam aspek berkaitan lain. Ini kerana soal pemakanan menjadi salah satu perkara keperluan asas kepada manusia. 

Makanan masakan yang masih baru dan segar mempunyai ciri-ciri makanan baik serta dapat mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada termakan makanan lama yang mungkin boleh mengakibatkan cirit-birit atau keracunan makanan”

Perlulah diingat bahawa meskipun sesuatu makanan itu halal lagi suci, tetapi seandainya aspek lain seperti dalam prosedur pemerosesan dan penyediaan serta penghidangannya tidak menepati piawai amalan baik, maka ia masih boleh memudaratkan pengguna.

Allah memerintah kita supaya makan makanan yang baik dan halal dari segi syarak. Ini dapat kita ikuti menerusi satu ayat-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 172 yang bermaksud,’ Wahai orang beriman. Makanlah benda yang baik (halal) yang Kami berikan kepada kamu.’ 

Sebenarnya terdapat begitu banyak ayat yang memperkatakan berkenaan isu pemakanan yang terakam di dalam al-Quran. Terdapat 23 ayat Allah yang menyentuh aspek pemakanan yang baik dan halal dimakan. 

Ini menunjukkan kepada kita bahawa isu pemakanan halal dan baik merupakan sesuatu tema persoalan hidup yang sangat difokuskan dalam Islam dan ia bukanlah sesuatu isu yang boleh diremehkan dan dilepas pandang begitu saja. 
Bagaimana kita mengenali sesuatu makanan itu halal atau haram, baik atau tidak baik? Apakah ciri-cirinya? Untuk mendapat kepastian tentang persoalan ini, Islam mempiawaikan beberapa ciri tertentu untuk mengenal pasti jenama makanan halal lagi baik, antaranya adalah seperti berikut:

* Halal, yang bersih dari segi rupa, bau dan zatnya. Ini bermakna Islam mengajar kita agar menjauhkan diri daripada mengambil makanan bersumberkan sesuatu yang kotor dan boleh memudaratkan.

Inilah tiang asas kepada kriteria ciri-ciri pemakanan halal, suci lagi baik untuk dimakan. Islam sesungguhnya menggesa kita memilih hanya makanan dan minuman halal lagi baik kerana bagi seseorang Muslim, aspek pemakanan tidak terhad kepada untuk mendapatkan kekuatan jasmani semata-mata, tetapi lebih daripada itu. 

Ingatlah bahawa setiap makanan dan minuman yang kita ambil itu akan memberi impak terhadap proses pembesaran, pembentukan peribadi, sahisiah diri malah juga untuk pembinaan minda.

* Sekiranya makanan itu berbentuk daging haiwan yang dibenarkan, maka ia perlu melalui sistem penyembelihan yang tepat dan sah. Setiap haiwan yang halal dimakan disyaratkan agar dilakukan penyembelihan mengikut tata cara syarak yang menepati kehendak agama. Allah sudah menetapkan bahawa hanya daging haiwan yang disembelih secara sah saja boleh dimakan. 

* Seterusnya, sesuatu makanan dan minuman itu hendaklah berkhasiat. Jadi, Islam selari dan sejajar dengan saranan ilmu kesihatan moden masa kini yang menggesa kita mengambil makan berkhasiat dan berzat. Hal ini sebenar sudah kita sedia mengetahuinya menerusi pelbagai saluran informasi. 

* Memilih makanan segar dan baru, yang kadangkala kita abaikan. Sekiranya kita ke premis makanan bersama ahli keluarga, aspek memilih makanan segar dan baru sewajarnya diletakkan sebagai keutamaan. 

Makanan masakan yang masih baru dan segar mempunyai ciri-ciri makanan baik serta dapat mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada termakan makanan lama yang mungkin boleh mengakibatkan cirit-birit atau keracunan makanan. 

Panduan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan kita supaya amalkan tiga prinsip sebelum makan, iaitu ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ sangat berguna untuk dipraktikkan. Lihat makanan dari pelbagai segi demi memastikan ia dalam keadaan bersih dan segar, hidu makanan untuk menentukan ada atau tidak bau basi dan cuba rasa sedikit makanan tersebut bagi mensahihkan ia betul-betul sesuai dimakan. Prinsip amalan ini seharusnya juga kita didik kepada anak kita yang sedang berada di bangku sekolah. 

Adakah menyedihkan kerana masih ada segelintir pihak kurang peka terhadap isu menjaga kebersihan tempat perniagaan dan kakitangan yang mengendalikan urusan perniagaan. Dalam usaha mendapatkan sumber rezeki yang halal lagi bersih, aspek menjaga kualiti kebersihan sama ada dalam perkara sumber makanan, proses penyediaan, penjagaan kawasan premis perniagaan , kebersihan diri kakitangan mahupun kebersihan kawasan sepatutnya menjadi perhatian khusus. Sikap ambil mudah dan kurang prihatin dalam aspek menjaga kebersihan memungkinkan banyak pihak mendapat mudarat. Sesungguhnya memelihara dan menjaga kebersihan dalam segenap segi semasa menjalankan perniagaan juga terangkum dalam amalan soleh yang berpahala.

Tiada ulasan: