Sabtu, 9 November 2013

Seminar Hala Tuju Ayahanda himpun NGO Melayu

Syed Husain Al-Shahab (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada sebahagian NGO Melayu di Kuala lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bertaraf Ayahanda akan berhimpun dalam Seminar Hala Tuju Kepimpinan Ayahanda di ibu negara pada 23 November ini.
Seminar yang julung-julung kali diadakan itu diharap dapat menyusun kembali perjuangan setiap NGO untuk mendaulatkan martabat kaum Melayu, agama Islam dan tanah air.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS), Syed Husain Al-Shahab berkata, kesemua NGO yang menyertai seminar berkenaan adalah berbai'ah dengan taraf Ayahanda dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Matlamat kami melalui penganjuran seminar ini adalah untuk mengangkat kedudukan ayahanda-ayahanda sebagai tulang belakang dan tonggak perpaduan Melayu, benteng pertahanan syiar Islam dan pendokong kedaulatan institusi raja-raja Melayu dan pejuang setia negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas program taklimat khas bersama para pemimpin daripada 50 NGO Melayu bertaraf Ayahanda bersempena penganjuran seminar tersebut.
Dalam pada itu, Syed Husain berkata, seminar itu juga akan dijadikan platform untuk membersihkan persepsi masyarakat dan memberi penerangan mengenai tanggungjawab sebenar NGO bertaraf Ayahanda.
"Saya ingin memberi penekanan bahawa YAS serta semua NGO Melayu ini menyokong tindakan polis melaksanakan Op Cantas dan kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap ayahanda-ayahanda yang songsang dan mengingkari undang-undang negara," katanya.
Menurut Syed Husain, penubuhan YAS adalah sebagai badan penyelaras dan perantara kepada semua NGO Melayu bertaraf Ayahanda di negara ini untuk menghimpunkan isu dan permasalahan yang dapat diutarakan kepada pemimpin negara.
"Saya ingin menyarankan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mewujudkan menteri yang khusus menjaga NGO termasuk NGO berbai'ah bertaraf Ayahanda.
"Memang kita tahu NGO perlu didaftar dengan ROS di bawah Kementerian Dalam Negeri tetapi kita perlukan menteri yang khusus agar semua garis panduan, bantuan dan pelaksanaan benar-benar sampai ke akar umbi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20131110/wk_02/Seminar-Hala--Tuju-Ayahanda-himpun-NGO-Melayu#ixzz2kDu8hBWN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan: