Rabu, 13 November 2013

Fiqh Wanita kupas isu hamil, zina

Allah SWT menjadikan wanita sebagai teman hidup kepada lelaki. Begitu fitrah yang ditunjukkan Nabi Adam kepada Ummu Hawa saat pertama kali mereka dipertemukan dalam syurga. Fitrah ini menjadikan wanita wasilah melahirkan zuriat umat manusia. 

Allah SWT mengangkat darjat wanita sebagai seorang ibu dalam firman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya sehingga berusia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada orang tuamu. Hanya kepada Kami kamu dikembalikan.” (Surah Luqman, ayat 14) 
Tidak semua wanita yang bergelar isteri diberi rezeki oleh Allah SWT untuk hamil. Itulah yang terjadi kepada isteri Nabi Zakaria yang hamil pada usia tua dan ia adalah saat indah yang akan dirasai oleh wanita yang mengimpikan zuriat sendiri. 


Episod enam program Fiqh Wanita membicarakan mengenai kehamilan yang akan dijelaskan oleh ahli panel jemputan, Norhafizah Musa. Wanita hamil katanya, sering berada dalam keadaan letih, tidak bermaya dan mengalami masalah seperti alahan. 

Namun, dalam kaedah melayan kehendak wanita hamil yang mengidamkan sesuatu, persoalan halal dan haram wajib diambil kira. Contohnya, makanan yang diidamkan, jika jelas halal maka perlu dinilai pula adakah ia baik untuk kesihatan ibu dan bayi. 

Jika kedua-duanya menepati syarak, perlu dilihat pula kepada mudah atau tidak untuk diperoleh kerana makruh hukumnya jika apa yang diidamkan menyusahkan suami. 

Perbincangan turut menjelaskan mengenai kepercayaan bayi yang meleleh air liur selepas lahir adalah tanda kempunan kerana ibu tidak dapat apa diidamkan semasa hamil. Hal ini adalah kepercayaan yang boleh membawa kepada khurafat. 
Norhafizah berkata, tidak terdapat dalam mana-mana penulisan ulama mengenai hal ini dan ia adalah kepercayaan masyarakat setempat. Sebaiknya kita memandang hal ini sebagai proses biasa bagi bayi dan jika hal ini merisaukan ibu bapa, mendapatkan rawatan adalah jalan sebaiknya. 

Masalah sosial yang menjadi-jadi juga menarik perhatian perbincangan kali ini menjurus kepada persoalan zina dan rogol yang memberi implikasi kepada kehidupan wanita. Persoalan membuang janin atau melakukan pembersihan rahim oleh mangsa rogol dibincangkan ulama. 

Kaedah fiqh dijelaskan oleh panel sebagai langkah solusi kepada pencabulan ini. Sedikit sebanyak ia menjawab soal perancangan keluarga, yang mana akhirnya hukum akan kembali kepada maqasid syariah iaitu menjaga kesihatan dan keselamatan nyawa ibu. 

Banyak lagi isu menarik dibahaskan pada episod kali ini termasuk nasab anak hasil perzinaan. Bagi mendapatkan kefahaman lebih jelas, jangan terlepas peluang menonton Fiqh Wanita di TV3 setiap Jumaat, jam 1 petang...

Tiada ulasan: