Sabtu, 2 November 2013

SIKAP KEPUNYAAN BERCIRI ISLAM RAHSIA BERGANDA ...

Organisasi perlu sedia ganjaran pastikan pekerja beri khidmat terbaik

Semangat kepunyaan atau merasakan organisasi milik kita merupakan tahap emosi dan motivasi kerja yang tinggi. Semangat ini tumbuh daripada perasaan dan tanggapan positif terhadap organisasi seperti kepercayaan, kebanggaan serta keseronokan berkhidmat. 

Semangat kepunyaan atau pemilikan adalah salah satu faktor penyumbang kecemerlangan organisasi. Semangat ini adalah naluri yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai kecintaan manusia terhadap kedudukan, pangkat dan harta. 
Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan kami. Dan sungguh, Allah SWT berserta orang yang berbuat baik” Surah al-Ankabut ayat 69

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali Imran, ayat 14)

Keinginan manusia kepada kerja, jawatan, pangkat dan harta digambarkan dengan emas, perak, kebun tanaman serta ternakan. Persoalannya, bagaimana untuk melahirkan semangat kepunyaan ini di kalangan pekerja?

Pupuk semangat kepunyaan

Satu hakikat ialah ia tidak datang dengan sendirinya. Setiap perasaan itu lahir dari dalam jiwa yang dipengaruhi pelbagai faktor dan dilalui pula dalam suatu jangka masa panjang. Beberapa langkah dikenal pasti pengkaji bidang pengurusan organisasi untuk membugarkan semangat kepunyaan. 
Ia meliputi kejayaan organisasi menggambarkan hala tuju dan menjelaskan strategi untuk mencapainya. Memberi ganjaran dan penghargaan kepada pekerja yang menunjukkan pencapaian melebihi batas, menjadikan perbincangan serta perdebatan bersifat telus.

Melayan pekerja dan pelanggan seperti seorang pemilik, mewujudkan atmosfera kerja yang menarik lagi kondusif, memberi kepercayaan kepada pekerja untuk bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mengurus dengan komunikasi yang baik dan berhemah, meningkatkan motivasi pekerja melalui latihan serta membuka ruang mendapatkan maklum balas pekerja. Kesemua langkah ini sememangnya menjadi suatu kemestian dalam mengurus organisasi.

Konsisten laksana tugas

Cuma penekanan kepada cara ia dilaksanakan hendaklah dengan kesungguhan, konsisten dan rasa kasih sayang, hormat menghormati seluruh warga organisasi. Bagi pekerja pula, memahami kerja itu suatu amanah dan ibadah pasti berjaya menyuntik rasa bertanggungjawab dan kepunyaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah SWT kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah SWT) seperti mana Allah SWT berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77) 

Namun, dalam memupuk semangat kepunyaan serta kecintaan kepada organisasi, Islam menyediakan garis panduan supaya semangat, perasaan dan tindakan kerja itu tidak menjadikan pekerjaan itu sia-sia dan pekerja pula terjebak dengan dosa.

Hendaklah semangat dan kecintaan itu tidak melampaui batas dengan menjejaskan tanggungjawab kepada Allah SWT serta bertentangan prinsip kerja Islam yang mengutamakan nilai benar, amanah, ikhlas dan jujur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Disebabkan dia melihat dirinya sudah cukup apa dihajatinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 6 - 7) 

Semangat kepunyaan yang sihat berasaskan langkah betul dan nilai Islam adalah rahsia kejayaan berganda, iaitu kejayaan kepada organisasi serta pekerja. Organisasi berjaya kerana dapat melahirkan pekerja yang setia dan bersemangat tinggi serta membina imej baik.

Manakala pekerja pula berjaya kerana dapat menyumbang kepada organisasi dengan perasaan gembira dan merasakan organisasi seperti milik sendiri. Kedua-duanya mendapat keberkatan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan kami. Dan sungguh, Allah SWT berserta orang yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut, ayat 69) ...

Tiada ulasan: