Isnin, 4 November 2013

Ilmu berimbang lahir modal insan cemerlang

Masyarakat mempunyai sifat kasih sayang, belas kasihan jika wasatiyyah tersemat di hati

Al-Quran mengingatkan kita mengenai pekerti melampau atau mustaqjilun. Pekerti ini tidak baik kerana ia bakal mencetuskan konflik dan permusuhan. Islam agama yang mendukung jalur sederhana dengan menghasilkan watak umat berimbang. 

Sifat melampau boleh mendorong orang jadi gopoh, tidak rasional dan penuh emosi. Kegopohan boleh membawa fitnah kepada Islam. Kematangan, kedewasaan dan kesabaran adalah kunci utama berkembangnya Islam, berlakunya dakwah dan tarbiah. 

Sikap gopoh boleh menyebabkan kesabaran hilang sedangkan menyatakan kebenaran menuntut kesabaran yang tinggi lantaran kerenah pihak yang ingin ditarbiah (mad’u) tidak sama dan memerlukan pendekatan berbeza. 


Jiwa wasatiyyah semestinya didukung oleh kekuatan ilmu, jalur rohaniah, pancaran amal dan pekerti teladan. Kejahilan dan tidak bijaksana adalah musuh kerana keadilan tidak boleh terjadi jika manusia memiliki jiwa gopoh serta terburu-buru. 

Ia bakal menghasilkan keputusan dan rumusan yang berat sebelah dan bercanggah dengan konsep adil serta berimbang. 

Umat dituntut berpegang kepada etika dakwah seperti yang terungkap firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana, pekerti teladan yang baik dan bila berhujah gunakan hujah yang terbaik.” (Surah an-Nahl, ayat 125) 

Wasatiyyah merintis jalan kepada hikmah 

Wasatiyyah merintis jalan kepada hikmah, sikap melampau merintis jalan kepada konflik dan permusuhan. Jika wasatiyyah mengukuh di hati, warga umat akan memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. 

Dakwah Islamiah terpancar daripada hati yang ikhlas dan adil. Ikhlas bermaksud dalam kalangan mad’u atau sasaran, wujud manusia yang perlukan bisikan dan ajaran yang boleh menjadi asbab kepada turunnya hidayah. 

Tidak ada jalan pintas mengajak manusia kembali kepada kebenaran dan fitrah. 
Rasulullah SAW mengambil masa yang lama di Makkah dan Madinah untuk mencetuskan asbab ke arah perubahan kepada akidah tauhid. 

Rasulullah SAW berupaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dan asas ini memberi kekuatan untuk membina Sahifah Madinah di samping pendekatan berimbang menyantuni yang bukan Islam dalam tahalluf (kerjasama) diizin syarak. 

Sahifah Madinah akhirnya mampu meletakkan Islam sebagai agama rahmah alamiah dan sesuai untuk sepanjang zaman. 

Islam menyusur galur ilmu dalam dua bentuk. Satu ilmu naqliah atau wahyu yang amat penting bagi hubungan manusia dengan Pencipta. Satu lagi ilmu akliah yang penting bagi manusia berfikir serta menghasilkan pemikiran, karya dan mendukung syariat. 

Dalam bahasa mudahnya ialah ilmu fardu ain yang dihubungkan sebagai ilmu urus diri wajib dipelajari. Ilmu bersifat diniah seperti akidah, ibadah, syariah dan akhlak adalah satu tuntutan kerana akal harus diurus corak pemikirannya, hati diurus rasa timbangannya dan daya diurus corak amalnya. 

Ilmu urus diri akan menjadi ilmu yang berimbang jika ditautkan dengan ilmu urus sistem. Kehebatan akal fikir, ketangkasan hati dan daya menyebabkan ia terpancar dalam upaya menguasai ilmu mengurus sistem. 

Sistem lahir modal insan hebat 

Umat Islam yang dibangunkan dengan kekuatan ilmu urus diri dan ilmu urus sistem bakal melahirkan modal insan yang bukan saja hebat dalam orientasi ilmu diniahnya tetapi pada masa sama mampu mengurus sistem. 

Bayangkan dengan hanya menguasai ilmu diniah semata-mata tidak mungkin umat Islam mampu membangunkan tamadun Abbasiah, Andalusia, Othmaniah dan lain-lain jika tidak ada gandingan ilmu mengurus sistem. 

Daripadanya lahir ilmuwan seperti Ibn Sina, al Khuwarizmi, Abu Qasim Az Zahrawi, Ibn Haytem, Ar-Razi dan ramai lagi yang menyumbang kepada kebangkitan ilmu dan tamadun. Barat dan Timur terhutang ilmu kepada tamadun Islam yang menjadikan ilmu sepadu dan menghasilkan insan holistik. 

Inilah kekurangan sedang dialami umat Islam kerana tidak wujud suasana berimbang antara ilmu urus diri dan ilmu urus sistem yang menyebabkan binaan tasawwur atau pandangan semesta Islami menjadi tidak sempurna. 

Pendekatan integrasi dan Islamisasi ilmu suatu pendekatan wasatiyyah yang ingin mengembalikan ilmu dalam acuan berimbang. Acuan yang berimbang ini menjadi sangat penting supaya kajian ilmu terhubung dengan alam dan Pencipta...

Tiada ulasan: