Isnin, 1 Julai 2013

Sekat warga ketagih shisha


Pemandangan orang ramai tidak mengira bangsa menghisap shisha di cafe, restoran dan kedai mamak di sekitar ibu kota khususnya di Sri Hartamas, Jalan Doraisamy, Bukit Bintang dan banyak lokasi sudah menjadi satu perkara biasa. 

Menghisap shisha juga dianggap amalan gaya hidup moden bukan saja membabitkan pelancong asing, malah penduduk tempatantermasuk belia dan remaja dilihat ramai menghisap shisha tanpa mengambil kisah ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil dalam tempoh jangka masa panjang.
Dengan cafe shisha yang khusus menyediakan ruangan lebih selesa diiringi aluan muzik, aroma wangian menyusuk hidung, ditambah pula cita rasa tembakau shisha pelbagai berperisa menjadikan sedutan dan kepulan asap menerusi hos serta paip yang disalurkan daripada bekas gelas kaca penuh berwarna-warni menambah keasyikan mereka.

Suasana itu pula sangat santai sambil menikmati makanan, berbual panjang dengan rakan atau melayari laman sesawang tanpa disedari mereka boleh menghabiskan masa berjam hanya untuk menghisap shisha.

Begitulah lazim disaksikan di pusat terbabit. Adakah penggemar shisha ini pernah terfikir kesan jangka panjang pengambilannya jika diambil berterusan? Rasanya rata-rata orang tahu ia boleh memudaratkan kesihatan. Cuma tidak tahu kadar asap yang dihisap itu bahayanya sampai ke tahap mana.

Yang jelas, sudah banyak kajian dan isu diperkatakan mengenai tabiat menghisap shisha khususnya berkaitan kesan terhadap kesihatan. Meskipun ada pelbagai pandangan berkaitannya, namun ia seakan tidak mengubah gaya hidup masyarakat dunia terhadap tabiat itu.

Shisha, pada awalnya diamalkan penduduk di Utara India, kemudian berkembang ke Iran, Turki, Iraq dan Mesir sejak lebih 500 tahun lalu. Malah kegiatan semakin meledak dan amat popular bermula 1980-an apabila seorang pedagang Mesir menambah cita rasa keenakan tembakau dengan sari buah-buahan tembakau ia membangkitkan minat yang begitu drastik dalam kalangan masyarakat.
Haramkan shisha

Hakikatnya, penyelidikan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendapati jumlah asap disedut shisha dalam tempoh sejam dianggarkan bersamaan merokok antara 100 dan 200 rokok.

Kajian diketuai oleh penyelidik bebas dari Royal University Arab Saudi pula menunjukkan asap shisha adalah 30 kali lebih pekat dalam bahan kimia daripada asap rokok. Malah paip atau shisha asap adalah 200 kali lebih toksik daripada asap rokok.

Kajian pakar perubatan di negara ini juga menjelaskan, shisha tembakau yang dicampurkan dengan sirap pekat, perisa buah-buahan dan produk tembakau sama bahaya dengan rokok kerana mengandungi lebih 3,500 bahan kimia meliputi 200 toksik dan 43 adalah karsinogenik.

Jika disingkap semua kajian dilakukan pakar perubatan dunia mereka tidak menggalakkan tabiat menghisap shisha. Begitu juga dengan ulama yang menganggap tabiat itu, hukumnya haram.

Selain Melaka, Perlis baru-baru ini mengambil langkah sama apabila Jawatankuasa Fatwa negeri itu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok. Kita puji dan amat alu-alukan langkah itu untuk kebaikan warga sejagat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya menjelaskan amalan menghisap shisha bukan saja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Kenyataan itu amat tepat. Justeru Majlis Fatwa Kebangsaan sewajarnya mengadakan perbincangan terperinci dan tidak melengah-lengahkan menyelaraskan keputusan sama di seluruh negara.

Apa yang dikhuatiri, amalan hisap shisha yang kini sudah menular dalam kalangan remaja termasuk gadis dan wanita akan semakin sukar dibendung jika tiada langkah sepatutnya diambil. Tambahan pula remaja adalah golongan yang paling mudah terikut-ikut dan suka mencari kelainan. Kita bimbang mudarat shisha akan lebih hebat lagi jika tembakau itu dicampur dengan bahan lain bukan setakat boleh membawa ketagihan dan mengkhayalkan mereka tetapi risiko jangkitan pelbagai jenis penyakit seperti tuberkulosis dan kanser paru-paru.

Kempen kesedaran

Apa yang diharapkan kempen kesedaran mengenai kesan bahaya shisha ini seharusnya dipergiatkan seperti dilakukan terhadap kempen berhenti merokok. Walaupun kempen merokok juga gagal menghentikan sepenuhnya tabiat merokok, tetapi ia tetap ada kesannya. Bagaimanapun, ketika ini, isu menghisap shisha jarang dibangkitkan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan dan persatuan pengguna dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Konsep cafe terbuka dengan budaya orang ramai yang suka melepak memang memberi peluang lebih luas kepada pengusaha menyediakan kemudahan seumpama itu bagi menarik pelanggan mengunjungi premis mereka.

Tidak mustahil dapat kita saksikan semakin banyak peralatan shisha dari sehari ke sehari. Penguatkuasaan tidak dapat dijalankan kerana setakat ini tiada undang-undang boleh mensabitkan terhadap kesalahan itu...

Tiada ulasan: