Ahad, 14 Julai 2013

PENGALAMAN MENDIDIK MANUSIA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. SubhanaAllah, Maha Suci Allah yang menciptakan bumi ini dan seluruh isinya dengan begitu indah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas kurniaan nikmat Iman dan Islam. Allahuakbar, Allah Maha Besar yang menunjukkan kekuasaanNya melalui pelbagai fenomena alam... 

“Kenapa nak baca pasal berita-berita ni? Buku Pathology yang tebal tu pun tak khatam lagi.” 

“Kenapa perlu tahu perkembangan semasa?” 

“Kenapa nak sibuk-sibuk tahu hal Muslim negara lain, hal sendiri dah cukup terjaga ke?” 

Pernahkah persoalan-persoalan ini terlintas di hati kita? Jika pernah, hadis ini adalah jawapannya: 
Daripada Huzaifah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka. Sesiapa yang ada pada pagi dan petangnya tidak ikhlas kepada Allah dan RasulNya dan KitabNya dan pemimpinnya dan kepada umat Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka (umat Islam).” (riwayat Thabrani)
Cuba bayangkan jika kita hidup seperti katak di bawah tempurung. Mesti bosan kan? Terperuk dalam hidup kita sendiri. Kita tak tahu pun tentang keindahan dunia luar. Tak tahu pun tentang bahaya yang mendatang sehingga kita tak dapat nak bersedia untuk menghadapi bahaya tersebut. Kalau kita tak tahu tentang hal ehwal semasa, macam mana kita nak kenal musuh-musuh Islam? Macam mana kita nak sedar dan mempersiapkan diri kita melawan ideologi-ideologi mereka dalam menghancurkan umat Islam? 

Oleh sebab itulah Islam memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Islam menghimpunkan agama dan ilmu kerana ilmu itu sendiri amat penting untuk kita mengenal agama kita. Dengan ilmulah kita dapat mengenal dan jatuh cinta dengan Allah S.W.T dan RasulNya. Dengan ilmulah kita dapat melaksanakan 2 tujuan hidup kita iaitu beribadat dan menjadi khalifah di muka Bumi dengan sebaiknya. Ilmu jugalah yang dapat mengeluarkan kita daripada kejahilan. Ilmu juga menjana daya pemikiran kita dan membolehkan kita membuat perbezaan antara hak dan batil. 


Antara dalil-dalil dan hadis tentang kedudukan serta martabat orang yang berilmu: 
“…nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan” (Al-Mujadilah: 11)
“…Katakanlah, “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran” (Az-Zumar: 9)
“Dia memberikan hikmah (kebijaksanaan) kepada siapa yang Dia kehendaki. Barang siapa diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal sihat.” (Al-Baqarah: 269)
Dari Ibnu Mas’ud r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya: “Jangan ada perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebaikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan agama, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi) 
Suatu ketika dahulu Islam begitu pesat membangun dengan berkembangnya ilmu pengetahuan umatnya sehingga terlahirlah tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Al-Razi, Ibnu Khaldun, Al-Farabi, Ibnu Battuta dan ramai lagi. Bidang pengetahuan tokoh-tokoh ini tidak hanya terbatas kepada satu-satu bidang sahaja, tetapi bidang yang mereka kuasai adalah pelbagai dan luas. Sebagai contoh, Al-Khawarizmi bukan sahaja fasih dalam bidang syariat, tetapi juga dalam bidang falsafah, matematik, musik, kimia dan sejarah (2). MasyaAllah. 


Rahsia kejayaan tokoh-tokoh ini bukanlah kerana mereka mempunyai otak yang lebih hebat dari kita. Tetapi adalah kerana kecintaan mereka kepada ilmu dan kefahaman yang mendalam tentang tujuan berpengetahuan luas demi mencari keredhaan Ilahi. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, di mana ramai antara kita yang sangatlah “exam-oriented”. Baca buku, pergi sekolah, tuntut ilmu semuanya adalah untuk lulus exam, dapat hadiah masa Hari Anugerah Cemerlang, atau dari ibu dan ayah. Harapnya, di usia matang ini, kita semakin sedar akan tujuan menuntut ilmu. 

InsyaAllah, sekarang kita dah faham tentang kepentingan berpengetahuan luas. Bagaimana pula caranya untuk kita praktiskan kefahaman kita? Pertama-tama sekali, kita hendaklah betulkan niat Lillahi Taala dan berdoa supaya Allah S.W.T. ilhamkan rasa kasih dan cinta kepada ilmu. 
“Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku.” (Surah At-Toha: 114)
“Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana” (Al-Baqarah: 32) 
Antara cara-cara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kita adalah dengan membaca buku-buku dan artikel di luar bidang pengkhususan, menghadiri majlis-majlis ilmu atau latihan praktikal yang bermanfaat, mendengar berita-berita di radio atau television, berjaulah, bertukar-tukar pendapat dengan sahabat-sahabat dan banyak lagi. Memanglah ada di antara cara-cara tersebut memerlukan pengorbanan masa mahupun wang. Tetapi, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” kan? 

Kata-kata Dr Yusuf al-Qardawi: “Kurangnya matlamat keilmuan dalam tarbiyah Ikatan Muslimin yang menyebabkan anggotanya lemah dalam ilmu pengetahuan.” Makanya, marilah kita bersama-sama menjadi muslim yang berpengetahuan luas yang dapat mengembalikan era kegemilangan Islam. Ingatlah, sesungguhnya ilmu Allah S.W.T. itu sangatlah luas tidak terhingga. 
“Katakanlah (Muhammad): “Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)..” (Al-Kahfi: 109) ...

Tiada ulasan: