Isnin, 15 Julai 2013

HAJI

Baitullah Aku Datang
Baitullah Aku Datang oleh Hisham Ahmad
Mencari Sunnah Dalam Haji

Keinginan Pergi Haji
KITA semua ingin pergi haji. Sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Bagi yang kaya dan sederhana, untuk direalisasikan tidaklah payah. Bagi yang susah tentulah tidak mudah kerana kos, masa serta keinginan dan rezeki menjadi faktor yang harus diberi pertimbangan.

Haji memerlukan pengorbanan masa, sejumlah wang yang besar dan tertakluk pula kepada kuota. Kuota ini, maksudnya bukan sahaja had jumlah jemaah yang dibenarkan untuk pergi haji bagi tahun tertentu, tetapi sama ada nama kita disenaraikan oleh Tabung Haji untuk pergi pada tahun itu atau tidak.

Syarat paling penting ialah hasrat dan keinginan mendalam yang sudah tidak tertahan. Keinginan mendalam membawa maksud, kita mendaftar nama untuk haji dan kemudian berusaha menukarkan daripada impian kepada kenyataan.

Kita perlu bekerja, mengumpul wang, menambah ilmu, memperbaiki ibadat dan amal kebajikan. Berdoa dan bertawakal. Memahami maksud selain daripada itu, adalah kepalsuan dalam keinginan.

Janganlah berkata, “Aku nak pergi...” tapi tidak daftar lagi. “Aku memang nak ke sana…” tapi malas bekerja. “Aku serius nak pergi ni...” tapi duit tidak mahu dicari, ilmu tidak mahu dipelajari, solat tidak cukup sehari lima kali.

Paling tidak sedap didengar, “Aku nak pergi tapi tak ada seru lagi!”. Inilah keinginan palsu. Sekadar di mulut tidak di‘tasdiq’ di kalbu.


Ketidakstabilan

Percayalah, apabila hendak menunaikan umrah (wajib) dan haji (wajib) buat pertama kali, kita akan berada dalam keadaan yang tidak begitu stabil sama ada pada hati, perasaan, pemikiran dan perlakuan.

Ketidakstabilan ini akan lebih getir lagi jika kita bukan sekadar mahu melepaskan kewajipan tetapi kerana hendak melaksanakan ibadat haji dan umrah secara paling baik.

Ketidakstabilan diri berlaku kerana kita berasa ber-semangat, gembira, tidak sabar, (eager and excited)dan pada masa yang sama berasa risau, takut dan tidak begitu yakin.

Tindakan dan perlakuan harian kita pun tidak begitu tenang. Hari bertolak semakin hampir sehingga sering bertanya pada diri sendiri, “Ya ALLAH, sudahkah aku bersedia?”

Semua perasaan yang bercampur baur ini adalah normal dan biasa. Tujuan dan maksud tiada yang lain kecuali yang tulus ikhlas dan suci murni untuk mencapai impian haji yang diterima ILAHI.


Ilmu dan Ilmu Haji

Kita perlu berusaha mendapatkan ilmu dan maklumat yang banyak tetapi harus sahih dan benar. Maksudnya, bukan sekadar pemahaman pada perlakuan kerja haji dan umrah tetapi perkara lain yang mustahak dalam menentukan kedudukan nilai kerja haji kita.

Kursus-kursus haji telah mendedahkan ilmu yang banyak mengenai cara membuat haji dan umrah tetapi:

·        Adakah ilmu akidah kita telah mantap supaya kelak tidak tergoda dan terpedaya lalu terikut melakukan perbuatan yang berunsur khurafat, karut dan syirik? Bagaimana pula tahap kesabaran apabila ditimpa ujian? Usaha, doa dan tawakal yang berterusan. Kemudian redha dan pasrah atas apa jua ketentuan.
 
·        Adakah ilmu solat telah cukup kuat untuk kita kekal dalam solat jemaah di Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi dan kesan istiqamahnya kekal di tanah air nanti? Adakah juga solat kita bersifat hampir sama seperti solat Nabi? Pernahkah kita membuat semakan dalam hal ini setelah sekian lama menganggap diri sebagai seorang pencinta Nabi?
 
·        Adakah ilmu akhlak telah menguasai peribadi sehingga ia mengawasi perlakuan diri dalam apa jua situasi? Berebut naik bas tolak markah haji, berebut makan tolak markah haji, berkasar, berbantah dan berkata lucah. Tolak dan tolak markah.
 
·        Di sebalik mempelajari bagaimana ia dilakukan, mus-tahak untuk memahami kenapa sesuatu itu dilakukan, kepentingan sesuatu dilakukan serta falsafah dan hik-mah yang menunjangi perlakuan. Kepentingan ilmu akidah, kepentingan menghayati solat dan solat jemaah, kepentingan istiqamah, kepentingan akhlak diri mencermin perbadi-perkara paling sukar diperolehi.

 
Haji Nabi, Haji Menurut Sunnah

Bagaimana pula kisah perjalanan haji Nabi Muhammad SAW yang kita begitu cintai? Nabi SAW membuat haji sekali sahaja pada tahun 10 Hijrah. Ia dikenali sebagai Haji Wada’.

Namun haji jenis apa? Ifrad, Tamattuk, atau Qiran? Bagaimana pula yang dianjurkan baginda kepada sahabat untuk dilakukan? Ini hanya satu persoalan daripada pelbagai kemusykilan.

Bagaimana dengan saudara saudari pembaca, mungkin pernah diganggu dengan pelbagai persoalan? Kemudian, setakat mana pula beroleh mendapat jawapan daripadanya.

 sekiranya tidak dapat memberikan jawapan yang kita mahu, memadailah jika dapat menyuntik rasa ingin tahu...

Tiada ulasan: