Isnin, 15 Julai 2013

Definasi Fiqh al-Waqie.




Fiqh al-Waqie adalah gabungan dua suku kata yang menjadikannya satu Istilah iaitu perkataan fiqhdan waqie. Perkataan Fiqh pada bahasa bererti faham dan waqie bermakna realiti. Maka maksudnya pada bahasa ialah memahami realiti.
Perkataan Fiqh atau faqeh dalam pemakaian ulama Usul Fiqh bukan sekadar memahami sesuatu perkara atau hukum secara mudah dan tanpa membuat analisa seperti memahami air boleh menghilangkan dahaga tetapi istilah fiqh atau faqeh di sisi ulama ialah kefahaman mendalam yang berasaskan kepada metodologi ijtihad. Ia adalah kesimpulan dan keputusan  yang lahir daripada usaha yang bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para ulama bagi memahami sesuatu perkara daripada dalil-dalil, atau petunjuknya yang terperinci secara kritis dan analisis.
Oleh itu Fiqh al-Waqie bermaksud memahami realiti atau hakikat sebenar sesuatu perkara setelah diteliti dengan terperinci.
Fiqh al-Waqie berkaitan rapat dengan Fiqh al-Maqasid, Fiqh al-Muwazanat dan Fiqh al-Awlawiyat.
Fiqh al-Maqasid ialah memahami objektif-objektif Syarak sama ada objektif umum Syariat Islam atau objektif khusus sesuatu hukum. Imam al-Syatibi berkata seseorang itu tidak layak digelar mujtahid sehingga beliau memahami maqasid Syarak.
Fiqh al-Muwazanat ialah memahami asas bagaimana membuat pertimbangan dalam menentukan Fiqh al-Awlawiyat.
Fiqh al-Awlawiyat ialah memahami keutamaan sesuatu perkara di dalam Syarak.
Allah menurunkan al-Quran sebagai hidayah kepada manusia. Di dalam al-Quran terdapat Syariat yang wajib dilaksanakan. Syariat ini diperundangkan sebagai satu metod agar terlaksana objektif-objektif Allah mencipta dan menurunkan manusia ke muka bumi ini. Namun bagi merealisasikan objektif Syarak Allah memwajibkan manusia berusaha dengan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk melaksanakannya dengan mengambil-kira realiti kekuatan, kelemahan, cabaran dan peluang yang sedia ada.
Oleh kerana objektif Syarak terlalu banyak manusia perlu memahami apakah yang perlu diutamakan dan apakah yang perlu dita’khirkan . Inilah di namakan fiqh al-awlawiyat dan fiqh al-awlawiyat ditentukan berasaskan fiqh al-muwazanat.
Categories:Usul Fiqh

Fiqh al-Waqie Bukan Bid`ah.


Muqaddimah.
Antara ciri Syariat Islam ialah waqieyyah atau realistik.
Firman Allah S.W.T
 لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا  إِلاَّ وُسْعَهَا  
“Allah tidak mentaklifkan seseorang manusia melainkan sesuatu yang di dalam kemampuannya”
Ayat ini memberi maksud bahawa Allah hanya mentaklifkan sesuatu tanggungjawab kepada manusia perkara yang mampu dilakukan oleh mereka secara asasnya.Jika ada hukum-hakam yang tidak mampu dilakukan oleh manusia Syariat memberi rukhsah dan keringanan dalam melaksanakannya mengikut kemampuan mereka.
Contohnya; diharuskan bertayammum menggantikan wudu’ jika sakit atau tidak mempunyai air yang mencukupi. Boleh melakukan solat sambil duduk atau berbaring jika tidak mampu berdiri. Tidak diwajibkan berpuasa jika sakit atau bermusafir. Tidak diwajibkan menunaikan zakat dan haji jika tidak mempunyai kemampuan harta.Meraikan realiti manusia adalah menunjukkan Syariat Islam Manhaj yang realistik atau waqieyyah.
Waqieyyah adalah manhaj Allah dalam mendidik, merubah dan mentaklif manusia.Ketika Allah mendidik manusia, menegur sikap manusia, membetulkan akhlak manusia, mentaklifkan hukum-hakam, Allah S.W.T. sentiasa meraikan realiti kemampuan dan keperluan manusia.
Allah mendahului mendidik asas-asas keimanan sebelum mentaklifkan hukum-hukum ibadah dan jihad peperangan.Allah bukan sahaja memenuhkan minda manusia dengan kepercayaan tetapi membangkitkan emosi agar merasa takut dan bimbang terhadap kegagalan di hari perbicaraan pada hari akhirat tetapi manusia juga dibangkitkan dengan perasaan inginkan kenikmatan syurga yang terlalu indah.
Inilah realiti manusia; mempunyai minda dan emosi yang mendorong tindakan. Allah yang mengetahui hakikat realiti makhluk ciptaannya ini lalu Allah mengisi minda manusia dengan hakikat-hakikat keimanan dan mendorong emosi manusia agar takutkan neraka dan inginkan syurga. Setelah 13 tahun manusia dipersiapkan dengan asas-asas keperibadian unggul barulah mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas Syarak yang lebih berat termasuk berjihad mengorbankan harta dan jiwa raga.
Pakar-pakar motivasi moden memahami bahawa tindakan manusia di dorong oleh emosi mereka dan emosi lahir berdasarkan apa yang mereka percayai sama ada kepercayaan itu betul ataupun salah. Jika manusia percaya ditanah perkuburan ada hantu dan hantu boleh menyakiti mereka maka manusia akan takut melalui ditanah perkuburan terutamanya pada malam hari. Sebaliknya jika mereka tidak percaya hantu boleh menyakiti fizikal mereka maupun emosi mereka tidak takut untuk tinggal ditepi tanah perkuburan.
Allah yang mengetahui tentang realiti dan tabiat manusia ciptaannya memulakan aktiviti merubah mereka dengan mengubah minda dan kepercayaan mereka melalui ayat-ayat Makkiah yang sarat dengan aspek keimanan dan kefahaman sebenar terhadap seluruh hakikat kuwujudan ini.
Kefahaman dan keimanan mengenai Syurga dan Neraka menimbulkan perasaan takut kepada kesakitan neraka dan inginkan kenikmatan syurga. Perasaan ini merupakan perasaan asas yang menolak manusia untuk beramal. Kefahaman yang sebenar terhadap hakikat Rububiyyah Allah S.W.T. akan melahirkan rasa terhutang budi dalam diri manusia dan perasaan ini menjadikan manusia ingin bersyukur. Apabila manusia sering berbicara dan meluahkan segala perasaannya kepada Allah dan mengiktiraf seluruh nikmat kurniaan Allah kepadanya akan lahirlah perasaan reda dan kasih kepada Allah. Perasaan cinta merupakan puncak kekuatan yang mendorong manusia membuat pengorbanan untuk agama Allah.
Inilah sebahagian contoh Syariat Islam memiliki ciri realistik. Apabila gerakan Islam meletakkan Fiqh al-Waqie sebagai sebahagian asas ijithad mereka dalam menentukan siasah harakah Islamiyyah maka ia bukan suatu perkara bid`ah yang diada-adakan pada masa kini.

Tiada ulasan: