Ahad, 21 Julai 2013

Maklumat Awal Bantu Pasukan Keselamatan Bertindak Segera- ESSCOM

Maklumat Awal Bantu Pasukan Keselamatan Bertindak Segera- ESSCOM

Eastern Sabah Security Command
Sandakan, 21 Julai – Masyarakat khususnya penduduk pesisir pantai
diminta menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa keselamatan sekiranya mendapati terdapat sebarang pergerakan mencurigakan di sini.
Ketua Staf Pasukan Gerakan Khas Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) SAC Mohammad Nasir Ramli berkata maklumat awal akan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani peristiwa tidak diingini daripada berlaku.
Menurut beliau insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada awal tahun ini perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak agar memberi kerjasama sewajarnya kepada pihak berkuasa demi keselamatan negara.
“Maklumat awal akan dapat membantu pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak kejadian sama daripada berulang,” katanya ketika ditemui selepas Program Berbuka Puasa ESSCOM bersama penduduk kampung Bokara dekat sini semalam.
Di majlis itu, beliau menyampaikan bantuan Ramadan kepada 25 orang balu dan fakir miskin.
Mohammad Nasir berkata pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu memberi sejarah pahit dan peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pasukan keselamatan terutamanya menyalurkan maklumat sewajarnya.
ESSCOM, katanya, sentiasa memantau keadaan semasa di pesisir pantai negeri ini sebagai langkah berjaga-jaga meskipun insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu telah ditangani.- BERNAMA


Pengganas Sulu Jangan Mimpi Mahu Balas Dendam – Zahid

July 21, 2013   
kiram2
Kerajaan memberi amaran kepada pengganas Sulu supaya jangan cuba mengugut untuk masuk semula ke Sabah bagi tujuan membalas dendam selepas insiden pencerobohan Februari lepas. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan polis dan tentera yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang ancaman kumpulan itu.
“Jangan cuba ugut kami. Jangan cuba melakukan sesuatu kerana bukan sekadar pihak polis dan tentera malah rakyat Malaysia akan bangun menentang ancaman daripada pengganas Sulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 455 orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di Bagan Datoh, Sabtu.
Ahmad Zahid mengulas tindakan Polis Sabah yang memulakan siasatan ke atas surat yang kononnya ditulis oleh militan Sulu yang mendakwa mereka akan datang ke Tambunan, Sabah untuk membalas dendam. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata polis telah mengesan sumber surat itu walaupun ia disyaki tiada kaitan dengan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu awal tahun ini.
Menurut laporan itu, surat bertarikh 3 Julai yang ditandatangani oleh ‘Komando Militan’ bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan memberi amaran bahawa mereka mahu memulakan perang di daerah Tambunan sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampong Tanduo, Lahad Datu, menjelang Ogos ini.
Ahmad Zahid berkata pelbagai khabar angin termasuk kononnya bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari juga akan datang ke Sabah. “Jangan dengar sebarang khabar angin. Tidak ada orang nak bagi ugutan atau nak masuk…beritahu (kita) lebih awal. Jika benar mereka hendak masuk dalam bulan Ogos, bulan Julai kita sudah tunggu,” katanya.
Beliau mengingatkan seluruh rakyat Sabah jangan memandang ringan ancaman daripada luar kerana pengganas Sulu sememangnya terkenal dengan budaya membalas dendam. “Kita jangan leka. Kalau kita leka memang mereka akan menceroboh masuk,” katanya. –BERNAMA

Tiada ulasan: