Isnin, 15 Julai 2013

Maqasid al-Syari’

Perkataan `maqasid’ adalah kata plural kepada perkataan `maqsad’. `Qasd’ bermaksud tujuan, tumpuan sesuatu dalam setiap perbuatan. Niat dalam bahasa Melayu adalah tujuan atau objektif. Dalam kitab fekah disebut sebagai tujuan sesuatu yang disertakan dalam setiap perbuatan.
Perkataan ‘al-Syari’ ‘ adalah kata nama kepada perkataan Syara`a. yang bermaksud Pensyariat. Syariat asalnya bermaksud sumber air dan juga sistem hidup. Tanpa air semua makhluk tidak akan hidup begitu juga tanpa Syariat Allah kehidupan manusia di dunia ini akan porak peranda.
`Maqasid al-Syari’ bermaksud objektif-objektif Allah sebagai Pensyariat ketika Allah mensyariatkan sistem hidup untuk manusia di dalam al-Quran. Allah juga mahu manusia membetulkan niat dan tujuan amalan mereka agar selari dengan maqasid Allah.
Allah menegaskan bahawa tidak ada satupun ciptaannya yang diciptakan dengan sia-sia dan tanpa tujuan. Dalam aqidah Islam, Allah bersifat Suci dan Qudus sebaliknya melakukan sesuatu tanpa tujuan adalah sifat kelemahan dan merupakan sesuatu yang mustahil bagi Allah SWT.
Allah menegaskan bahawa tujuan manusia diciptakan adalah untuk menjadi hamba kepadaNya dengan perhambaan yang tulus ikhlas. Allah menurunkan manusia hidup di bumi supaya manusia melaksanakan peranan sebagai KhalifahNya dalam mentadbir dan memakmurkan dunia ini.
Allah mengutuskan al-Rasul supaya menyeru manusia mentauhidkan Allah, membacakan kepada manusia ayat-ayatnya, membersihkan diri manusia daripada aqidah syirik dan khurafat, membersihkan jiwa manusia daripada sifat-sifat tercela dan mendidik mereka memiliki sifat-sifat terpuji, menjadi qudwah kepada manusia, memberi peringatan dengan balasan syurga atau neraka.
Allah mentaklifkan al-Rasul supaya berusaha membuat perubahan dalam tamaddun manusia sehingga dunia seluruhnya menikmati ke Rahmatan dan kedamaian. Allah membimbing al-Rasul dalam melaksanakan peranannya supaya menjadi sunnah, qudwah dan ikutan umat-nya dalam meneruskan usaha beramal bagi merealisasikan maqasid al-Syari’ yang telah diSyariatkan kepada manusia.
Allah menurunkan al-Kitab bertujuan menjadi panduan dan petunjuk kehidupan manusia. Allah menceritakan sejarah asal usul mereka, memperkenalkan kepada mereka musuh-musuh mereka daripada keturunan Jin dan manusia, sejarah perjuangan manusia sejak zaman Adam a.s. hingga zaman nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan realiti perjuangan hingga hari kiamat. Allah membongkar rahsia kelemahan yang terdapat di dalam diri manusia dan cara bagaimana manusia akan dapat menyelamatkan diri daripada kelemahan dirinya dan menjadi manusia unggul sebagaimana keunggulan ashab al-kahfi, ghulam di zaman ashab al-ukhdud dan keunggulan generasi sahabat yang terdahulu yang diredai Allah. Allah juga mendedahkan perasaan musuh-musuh agamaNya, usaha-usaha mereka, tipu-helah mereka, strategi mereka dan sikap mereka kepada orang-orang yang beriman supaya umat Islam mengenali musuh mereka dan tahu cara untuk berinteraksi dengan mereka.
Setiap perbuatan Allah ada tujuannya, ada rahsia dan hikmahnya. Malah setiap huruf yang digunakan dalam al quran setiap surah yang diturunkan, setiap perkara yang di dahulukan dan di ta’khirkan. Hikmah dan tujuan ini ada yang dinyatakan dan ada yang tidak dinyatakan secara jelas tetapi dapat difahami oleh orang-orang yang dibukakan pintu hatinya untuk memahami.
Apabila dalam surah yang pertama yang diturunkan kepada nabi s.a.w. iaitu surah al-`Alaq, Allah perintahkan nabi memulakan bacaannya dengan Bismillah. ” Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan”.. Lalu Allah mulakan surah al-Fatihah, permulaan al-Quran dengan Bismillah. Rasulullah s.a.w. pun akan memulakan semua perbuatannya dengan bimisllah dan doa. Rasulullah juga menggalakkan umatnya memulakan seluruh perbuatannya dangan membaca bismillah. Tujuannya supaya setiap saat manusia mengiktiraf dirinya adalah hamba Allah yang hanya akan mentaati Allah dalam setiap detik kehidupannya. Muraqabatullah adalah asas ubudiyyah.
Dalam ayat kedua Surah al-Fatihah Allah memulakan dengan ” al-Hamdulillahi Rabbil `alamin”.  Puji-Pujian hanyalah milik Allah, Allah sahaja Tuhan yang sempurna, yang mengetahui, yang kaya. Manusia makhluk yang lemah, jahil, tidak memiliki apa-apa dan tidak berhak dipuji dan mendapat pujian.
Tujuannya supaya manusia menyedari hakikat Rububiyyah, Uluhiyyah dan Mulkiah Allah. Juga supaya manusia menyedari bahawa sebijkamana sekalipun manusia itu, sekaya manapun dia dan segagah manapun dia, manusia tetap makhluk ciptaan Allah yang tidak ada apa-apa daya. Manusia tidak perlu menunjuk-nunjuk sesama manusia, merasai takjub terhadap kelebihan dirinya, merasa takbur, memandang tinggi manusia lain ataupun memandang hina kepada mereka; kerana manusia di sisi Allah adalah sama sahaja melainkan orang-orang yang bertakwa.
Apabila seseorang yang beriman melihat kemungkaran dia akan berusaha mengubahnya sama ada dengan kuasa, teguran atau kebencian yang dilahirkan. Setinggi-tinggi darjat keimanan adalah mengatakan kebenaran walaupun memalukan dirinya. Kerana dia tahu manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa membuat kesilapan. Tidak timbul dalam dirinya perasaan takut untuk berterus-terang, takut kelemahannya diketahui orang, takut pendapatnya salah atau kurang tepat dan sebagainya yang menghalang dia bercakap apa yang disangkanya benar. Sebagai manusia dia amat sedar manusia lain sepertinya juga pernah membuat kesilapan. Dalam Islam bukanlah keaiban melakukan kesilapan tetapi keaiban adalah orang yang tidak mengiktiraf kesilapannya dan tidak bertaubat.
Mengiktiraf hanya Allah yang sempurna dan berhak dipuji menimbulkan perasaan merendah diri sesama  manusia dan mengiktiraf pendapat dan hak-hak mereka. Lantaran itu rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya agar membudayakan meminta izin dalam setiap komunikasi mereka. Memintan izin untuk masuk kerumah dengan memberi salam, meminta izin untuk mencelah percakapan, meminta izin untuk duduk di antara dua orang, meminta izin untuk memberi pendapat dan meminta izin untuk keluar daripada majlis.
Sikap takbur merupakan punca segala kekotoran hati. Sikap merendah diri merupakan asas membersihkan diri daripada takbur. Oleh itu adalah menjadi amalan sunat untuk kita memperbanyakkan berzikir dengan tasbih, tahmid dan takbir supaya hakikat keagungan Allah itu meresap ke dalam urat nadi kita dan hilang rasa takbur, riya dan ujub dalam diri atau rasa terlalu rendah diri kepada manusia lain yang menjadikan kita hamba kepada manusia. Rasulullah s.a.w. tahu dengan kita mengulangi kata-kata posistif dalam hidup kita kebaikan akan menjadi tabiat hidup kita. Rasulullah s.a.w. juga melarang kita menganggap sesuatu itu membawa sial tetapi memerintah kita bersangka baik. Bersangka baik terhadap diri sendiri asas perubahan diri.
Anthony Robin menasihatkan audiennya agar mengulangi kata-kata positif setiap pagi supaya sifat positif itu menjadi tabiat kehidupan yang memandu kepada kejayaan. Kalau seseorang itu rasa takut, tidak boleh melakukan sesuatu, tidak yakin, rendah diri dan sebagainya hendaklah diulang-ulangkan sehingga seratus kali. ” Aku boleh!”, “Aku hebat!”, ” Aku berani !” ” Aku berdisiplin !” ” Aku berjaya !”.
Ini adalah sebahagian rahsia penciptaan akal atau minda dalam diri manusia...

Tiada ulasan: