Rabu, 1 Januari 2014

Perkukuh rohani, jasmani ummah tempuhi 2014

Sekularisme, hedonisme jejas akidah cabaran utama pertahan kesucian Islam

Salam tahun baharu 2014 kepada semua pembaca. Dengan ujian mencabar sepanjang 2013, saya singkapkan perkara penting berkaitan umat Islam dalam mendepani 2014 yang kita doakan menjadi lebih baik dan sejahtera. 


Sekularisme, secara tegar atau anjal, adalah sepenuhnya berdasarkan kehendak manusia dan meletak
kan akal manusia pada tempat yang lebih tinggi daripada kepercayaan agama”

Oleh itu, kita memerlukan tenaga yang kuat dan strategi yang tepat untuk menjadikan 2014 sebagai tahun sejahtera bagi rohani dan jasmani, jiwa dan raga seluruh warga Malaysia dan umat Islam khususnya.

Sekularisme gugat Islam

Kita hendaklah kuat dan kukuh dalam menjaga agama Islam serta syariah dan syiarnya. Andainya tidak, sekularisme akan mengambil tempat. Sekularisme akan melemahkan ikatan persaudaraan orang Islam daripada berpegang kepada tali Allah dan mengikis kesucian Islam dalam jiwa raga umat Islam. 

Sekularisme memusnahkan imej Islam dalam pemikiran umat Islam sendiri. Sekularisme menjajah minda umat Islam. Sekularisme menggunakan kesamarataan antara agama dan menjadikannya nilai pembaharuan. Ia menjadikan umat Islam lupa neraca dan nilai agamanya sendiri, bahkan lebih berbangga dengan neraca dan metodologi sekularisme. 
Penemuan sains dan hujah logik memenuhi ruang dan alam pemikiran umat Islam. Kesannya peta pemikiran umat Islam bertukar arah. Kompas kepercayaan dan keimanan umat Islam yang menghala ke arah kerohanian diubah dengan meletakkan dan membuka ruang logik yang lebih besar. Sekularisme, secara tegar atau anjal, adalah sepenuhnya berdasarkan kehendak manusia dan meletakkan akal manusia pada tempat yang lebih tinggi daripada kepercayaan agama.

Seterusnya, cabaran dan ancaman sepanjang 2013 ialah liberalisme agama yang terangkum juga pluralisme menyanggah bahawa al-Quran itu adalah wahyu dan secara teologinya menganggap penganut semua agama adalah sama dan setaraf dan seterusnya membawa kepada penolakan kepada hukum syariah. Pluralisme agama dianggap sebagai penyelesaian kepada konflik agama.

Ancaman pluralisme ini merebak di serata dunia Islam dan Malaysiajuga merasai kesannya. Pluralisme agama, iaitu fahaman bahawa semua agama adalah sama dan menolak ketinggian agama Islam berbanding agama lain mengancam akidah umat Islam. Bagi akidah umat Islam, Islam adalah satu-satunya agama yang sempurna dan diredai Allah SWT. Andainya pluralisme agama tidak dihapuskan, kesejahteraan kita tidak dapat disandarkan kepada paksi agama yang tepat dan kukuh.

Sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama berkait rapat antara satu sama lain. Apabila agama dipisahkan daripada kehidupan, maka ia membebaskan manusia daripada kepercayaan agama. Ia menganggap semua agama adalah sama. Seterusnya, liberalisme memuliakan kebebasan seksual dan hedonisme, iaitu budaya hiburan melampau.

Di depan mata kita lihat kebebasan seksual dan hedonisme dengan begitu jelas. Kita dapati beberapa kumpulan giat mempromosi, atas tiket memberi faham kepada masyarakat, perkara berkaitan lesbian atau gay contohnya. Gerakan untuk menyemak semula undang-undang berkaitan kemoralan seperti kelucahan melampau dan liwat. Amat menyerlah dan jelas ialah laporan COMANGO kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ini bukan sesuatu yang tersorok lagi. Kelantangan suara kumpulan ini begitu terserlah tahun ini.

Disogok hiburan Barat

Dalam konteks hedonisme, orang Islam disogok dengan hiburan Barat yang sudah tentu bercanggah dengan nilai agama Islam. Berleluasanya pengambilan arak dan hiburan melampau yang bukan saja melalaikan, tetapi memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal boleh dilihat dipelbagai tempat dan keadaan. Ia bukan rahsia lagi, bahkan perlahan-lahan menjadi cara hidup masyarakat. Penajaan yang tinggi oleh syarikat tertentu bagi tujuan hedonsime juga sudah begitu jelas dan nyata.

Bagi menghadapi 2014, perkara ini perlu diberikan perhatian serius di samping meletakkan tanggungjawab kepada setiap individu untuk menjaga diri sendiri, Raja-raja, barisan pimpinan kerajaan, pemimpin politik (parti pemerintah atau pembangkang), pembuat polisi dan pimpinan masyarakat juga memikul tanggungjawab utama. Saraf dan kekuatan umat Islam, iaitu akidah dan pemikiran, terletak di atas bahu sekalian pemimpin...

Tiada ulasan: