Khamis, 9 Januari 2014

Andrew perlu faham Perkara 11 Perlembagaan - Pakar perundangan

KIRI: LAWRENCE ANDREW, MUSA AWANG, AZRIL MOHD. AMIN
KUALA LUMPUR 9 Jan. - Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew digesa mendapatkan pandangan pakar undang-undang berhubung tafsiran sebenar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan beragama di negara ini.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, hak untuk mengembangkan agama, selain Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11 (4) yang menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam.
“Perkara 11 (1) hendaklah dibaca secara bersekali dengan Perkara 11 (4). Mungkin Andrew kurang faham tetapi beliau tidak boleh selama-lamanya dalam keadaan begitu.
“Kalau Andrew masih ingin berkeras, saya cadangkan beliau membuat permohonan ke Mahkamah Persekutuan untuk mentafsirkan Perkara 11 (1) dan Perkara 11 (4)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Musa mengulas keengganan Andrew untuk tunduk terhadap desakan pihak-pihak yang mahukan beliau menarik balik dan memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini supaya gereja Katolik terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di Selangor.
Andrew memberi alasan bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, termasuk Fasal 3 yang membenarkan mana-mana kumpulan agama menguruskan agamanya sendiri.
Musa menambah, terdapat kemungkinan Andrew menggunakan alasan itu bagi melindungi perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Mungkin juga beliau ingin menjadikan bantahan umat Islam terhadap kenyataannya sebagai isu dan untuk menunjukkan kononnya Islam itu radikal, zalim serta kejam," ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Azril Mohd. Amin memberitahu, akidah umat Islam di negara ini pada hakikatnya diberi perlindungan yang sewajarnya daripada pengaruh iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam seperti yang termaktub di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Bukan Islam) Selangor 1988 juga melarang orang bukan Islam menggunakan sebanyak 26 perkataan yang bersumberkan ajaran Islam termasuk kalimah Allah dalam kegiatan keagamaan mereka.
“Sehubungan itu, tuntutan umat Islam agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Andrew di bawah enakmen tersebut adalah wajar," jelasnya dalam kenyataan menerusi blognya di http://azrilmohdamin.com hari ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling memberitahu, Andrew seharusnya merujuk kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, klausa tersebut menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini.
“Maksudnya masih ada kelonggaran kepada penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing selagi tindakan mereka tidak menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan," jelasnya.
Mohamad Faisol berpandangan, mana-mana tindakan yang mengganggu-gugat Islam adalah bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan dianggap salah dari segi perundangan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140110/dn_05/Andrew-perlu-faham-Perkara-11-Perlembagaan---Pakar-perundangan#ixzz2pySN6h00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan: