Isnin, 20 Januari 2014

TABUR FITNAH TANDA SAKIT JIWA

Sindiran terhadap pemimpin bagai kutip dosa percuma

Sejak kebelakangan ini dunia maya khususnya laman sosial dihujani gejala negatif yang jelas bertentangan etika Islam. Betapa mudah pengguna laman sosial menghamburkan emosi untuk memarahi individu lain melalui tulisan yang sangat rendah moralnya.       


Kononnya atas dasar kebebasan bersuara melalui media, maka apa saja ditulis dan dirakamkan demi melunaskan emosi hati. Maka tidak hairanlah sekarang ini laman sosial sudah tidak lagi jernih dan suci sifatnya lantaran segelintir pengguna berjiwa kotor.


Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang menyembunyikan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahannya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Muslim)

Antara sering menjadi mangsa untuk ditabur fitnah dan tohmahan melulu ialah pemimpin. Apa saja terbuku di hati diluahkan melalui laman sosial tanpa sedikitpun berasa berdosa. Tulisan yang dipapar di skrin laman sosial berbentuk kata-kata sindiran, kutukan malah hinaan bertentangan tatasusila kehidupan bersosial ditetapkan Islam.

Mengapakah kita sanggup ‘mengutip’ dosa secara percuma sedangkan kita sedia mengetahui apa yang dilakukan ada pencatat yang tidak pernah cuai daripada tugasan diamanahkan Allah SWT kepadanya, iaitu malaikat pencatat amal manusia.

Jiwa tak takut Tuhan

Inilah akibat apabila jiwa tiada rasa takut terhadap Tuhan dan langsung tiada rasa adanya malaikat mencatat amal. Laman sosial kini menjadi medan untuk menayangkan apa juga keaiban seseorang termasuklah pemimpin negara.
Islam menganjurkan kita berusaha menutup sebarang keaiban insan lain. Nampaknya banyak kalangan kita sudah lupa pesanan Rasulullah SAW dalam sabda baginda: “Tidak ada seorang hamba yang menyembunyikan kesalahan hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahannya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Muslim)

Imam Ahmad ada memberitahu, manusia sangat memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang terang-terangan melakukan kefasikan serta kerosakan.

Maka wajib mencegah dan menzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasik tidak mempunyai kehormatan dan tiada maruah. Begitulah halus dan berhemahnya Islam mengajar kita supaya tidak menjadi manusia berfikiran liar dan bertindak sewenang-wenang untuk menjatuhkan imej, reputasi serta harga diri orang lain.

Begitulah juga Islam meletakkan kedudukan pemimpin di tempat yang mulia dan seharusnya setiap daripada kita memuliakannya dengan tidak sesekali menghina, mengeluarkan kata sindiran mahupun melontarkan fitnah.

Beri teguran berhemah

Pemimpin adalah manusia biasa seperti rakyat di bawah jagaannya, pasti tidak sunyi daripada silap dan salah. Islam menyusun garis panduan begitu murni dengan kaedah memberikan teguran dan nasihat berhemah secara tertutup tanpa perlu dihebahkan untuk pengetahuan khalayak awam.

Pihak yang layak memberikan teguran dan nasihat bukannya semua rakyatnya kerana hanya golongan ulama yang berwibawa perlu tampil untuk melakukan teguran itu.

Imam an-Nawawi mengatakan, menyembunyikan kesalahan yang disunatkan ialah menyembunyikan kesalahan orang kenamaan, pemimpin dan orang berjasa yang tidak masyhur dengan perbuatan jahat, kerosakan serta seumpama dengannya.

Aisyah berkata, Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Maaflah kesalahan-kesalahan orang kenamaan daripada kalangan kamu kecuali kesalahan hudud.” (Riwayat Abu Daud)

Jika dilihat senario semasa, jelaslah peringatan Rasulullah SAW ini kita abaikan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya apa yang menjadi kegemaran jiwa adalah menuruti hawa nafsu liar yang negatif.

Sedangkan kita didik dengan etika hidup berbudaya tinggi dan akhlak peribadi yang mulia. Islam tidak pernah memberi ruang sedikitpun untuk umatnya bertatasusila buruk dalam apa juga lapangan kehidupan di dunia ini.
Hal itu sudah tentulah termasuk dalam kaedah menggunakan kemudahan laman sosial yang menjadi kegilaan manusia kini.

Melemparkan fitnah, sindiran mahupun apa saja kata-kata negatif terhadap pemimpin melalui laman sosial petanda penggunanya sedang dilanda ‘sakit jiwa’ kerana diri sudah tumpas dan terjerumus dalam kancah mungkar yang dihasut oleh syaitan.

Zahir rasa syukur

Sepatutnya kita sebagai rakyat menzahirkan rasa syukur dengan taat kepada pemerintahan negara dan sentiasa berusaha menjadikan negara aman, harmoni serta makmur. Bukannya menjadi pencetus api permusuhan dan batu api dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin.

Mukmin yang menghayati sunnah tentunya berasa berdosa apabila membuat sesuatu yang aib terhadap pemimpin sendiri. Rakyat yang bertanggungjawab akan melakukan yang terbaik untuk negara dan tidak sesekali menjadi penyebab kepada kekeruhan hubungan antara rakyat jelata dengan pemimpin.

Keadaan senang atau susah, rakyat seharusnya sentiasa bersama pemimpin selain bersedia menghulurkan idea atau sumbangan demi kelangsungan kehidupan bernegara yang harmoni dan sejahtera.

Tiada ulasan: