Selasa, 7 Januari 2014

Yayasan Ayahanda Se-Malaysia wujud tabung kebajikan bantu ahli

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Yayasan Ayahanda Se-Malaysia (YAS) hari ini menubuhkan Tabung Pembangunan Ukhuwah Ayahanda yang bertujuan menjaga kebajikan kira-kira 1,200 ahli bergelar Ayahanda di seluruh negara.
Pengerusi Eksekutifnya, Syed Husain Al-Shahab berkata, penggunaan tabung tersebut akan diutamakan kepada ahlinya yang sakit dan memerlukan bantuan kewangan dengan segera.
Menurut beliau, usaha menubuhkan tabung itu digerakkan selepas menyedari tiada pihak yang membela golongan tersebut biar pun mereka merupakan pejuang kepada agama, bangsa dan tanah air.
"Perlu diingatkan Ayahanda adalah golongan yang bersama-sama berkorban membina kemakmuran dan keamanan negara tanpa meminta sebarang imbuhan, sehubungan itu perlu diberi penghargaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar YAS, Hassan Salleh; Pengurus Perhubungan Awam YAS, Ibrahim Khatib; Ketua Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bersama YAS, Mazni Ghani dan Setiausaha Eksekutif YAS, Ruzi Yusuf.
YAS yang dilancarkan pada Oktober 2012, merupakan NGO yang berfungsi untuk mengumpul, mengeratkan dan menjaga kebajikan ahli selain bekerjasama dengan NGO lain yang mempunyai misi sama.
Tambah Syed Husain, YAS sudah mengenal pasti kira-kira 40 Ayahanda di seluruh negara yang kini uzur dan menghidap pelbagai penyakit kronik tanpa sebarang pembelaan.
"Kewujudan tabung ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban mereka terutamanya dalam soal kewangan untuk melakukan pemeriksaan di hospital," katanya.
Sehubungan itu kata Syed Husain, YAS mempelawa mana-mana pihak termasuk syarikat milik kerajaan (GLC), pihak korporat dan swasta termasuk individu yang prihatin untuk memberi sokongan dana kepada tabung itu.
"Pelbagai program sudah dirancang YAS sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengumpul dana terhadap tabung tersebut.
"Antaranya majlis makan malam, sembahyang hajat dan tahlil serta penganjuran program-program ukhuwah antara kaum di negara ini," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_17/Yayasan-Ayahanda-Se-Malaysia-wujud-tabung-kebajikan-bantu-ahli#ixzz2pmOLgK33
© Utusan Melayu (M) Bhd 




Tiada ulasan: