Selasa, 13 Ogos 2013

Sedekah rapatkan jurang golongan miskin, kaya

Daripada Abu Hurairah ra katanya: Rasulullah SAW bersabda “Bukanlah (yang dikatakan) miskin itu seorang yang rela menerima pemberian satu atau dua biji tamar, satu atau dua suap makanan, sesungguhnya orang miskin yang sebenarnya ialah yang tidak meminta-minta daripada orang lain walaupun dia berhak menerima sedekah”. 

Dalam riwayat as-Sohihain pula: “Bukanlah yang dikatakan miskin itu seorang yang meminta-minta daripada orang lain dan yang menerima sanak atau dua makanan, sebiji atau dua biji tamar diketahui, tetapi orang miskin yang sebenarnya ialah yang tidak memperoleh kekayaan untuk memenuhi keperluannya, tidak diketahui pula kemiskinannya untuk diberi kepadanya sedekah dan tidak pula dia pergi meminta-minta kepada orang.” 

Islam menganggap orang miskin itu adalah mereka yang tidak mempunyai apa-apa pun untuk keperluan hidupnya dan tidak pula menunjukkan kemiskinannya kepada umum dengan cara meminta-minta. 


Orang miskin, kaya maruah 

Orang miskin tetapi kaya maruah tidak bergantung harap dan belas kasihan daripada orang lain. Sekalipun tidak berharta, mereka tidak menunjukkan kelemahan dan kekurangannya itu dengan cara mendesak, meminta-minta sedekah daripada orang lain, tetapi berusaha memperbaiki nasib dirinya dengan segala tenaga dan upaya, melakukan sebarang pekerjaan yang halal untuk mencari rezeki. 

Kemiskinan memang diakui wujud dalam masyarakat dan agama Islam menetapkan garis panduan untuk mengurangkan atau menghapuskannya dengan bantuan mereka yang kaya menerusi sumbangan sedekah. 

Nabi Muhammad SAW sendiri sering mengingatkan umatnya supaya sentiasa bersedekah kerana ia adalah perbuatan yang mulia dan disanjung Islam berbanding mereka yang meminta-minta. 
Dalam satu hadis lain, Baginda SAW bersabda: “Tangan yang di atas (memberi) itu adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta) dan mulakan pemberian itu kepada mereka yang di bawah tanggunganmu. 

“Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berada (tidak memerlukan bantuan). Sesiapa yang dapat menahan diri daripada meminta-minta (walaupun dia miskin) maka Allah akan mencukupkan keperluannya dan sesiapa yang merasa cukup untuk diri dan keluarganya maka Allah akan memberi kekayaan kepadanya”. (Abu Hurairah). 

Utamakan keperluan insan di bawah tanggungan 

Mengikut hadis itu, keperluan dan perbelanjaan keluarga dan insan yang di bawah tanggungjawab mereka perlu diutamakan. Malah, sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang mencukupkan perbelanjaan untuk keluarganya. 

Islam menggalakkan umatnya supaya bersifat pemurah, bersabar atas kemiskinan dan merasa cukup dengan apa yang ada tanpa meminta kepada orang lain. Islam juga benci kepada orang yang suka meminta-minta. Allah SWT akan memberi kekayaan kepada seseorang yang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya walaupun dia miskin. 

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qada dan qadar.” 

Hasad dengki adalah antara sifat mazmumah (tercela) yang boleh menjauhkan hati daripada mengingati Allah SWT. 

Tidak boleh melihat orang lain lebih daripada kita dan cuba menjatuhkannya adalah antara sifat dengki yang dilarang Allah SWT. 

Takdir yang ditentukan Allah SWT terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut. 

Namun, Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir dengan reda, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya, pastinya mereka tahu hikmah menguntungkan yang dikurniakan kepada mereka daripada Penciptanya... 

Tiada ulasan: